29 September 2014

PRODUKTIF ITU GAYA HIDUP SUNNAH

Seorang peserta bengkel yang kami anjurkan bercerita sewaktu minum pagi. Katanya syarikat tempat dia bekerja sedang dalam usaha mempraktiskan budaya korporat islamik. Kecerdasan emosi (EQ) adalah salah satu elemen yang amat ditekankan di tempat kerjanya.

Saya bersetuju dengan beliau bahkan memuji usaha baik majikannya itu. Saya berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan segala usaha syarikatnya dalam menegakkan syariah dan syiar Islam dalam nilai dan budaya urus tadbir syarikat.

Saya menegaskan kepada beliau bahawa Islam secara fitrah adalah sangat korporat sifatnya. Kita tidak perlu ‘mengkorporatkan’ Islam. Ia sememangnya korporat.

Budaya korporat sangat menekankan nilai kerja yang produktif. Bukankah produktiviti sangat ditekankan oleh Islam?

Sewaktu saya bertugas dengan sebuah syarikat korporat multinasional suatu masa dahulu, mereka sangat menekankan kepada disiplin kakitangan untuk melaksanakan tugas mengikut sistem dan piawai yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi apa yang telah ditetapkan akan menyebabkan ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Budaya ini diakronimkan sebagai PONC (price of non conformance). Harga ini adalah satu kerugian bagi syarikat kerana ia tidak perlu dibayar jika kakitangan melaksanakan tugas dengan betul, cekap dan amanah.

Saya suka budaya ini kerana ia amat Islamik. Islamik tidak perlu kepada label. Ia hanya perlukan amalan yang tulus, telus dan sejajar dengan apa yang telah Islam tunjukkan. Jelas sekali budaya ini akan merangsang integriti, kecekapan dan produktiviti kakitangan.

Mengambil contoh mudah budaya menjawab panggilan telefon. Ada sesetengah organisasi panggilan telefon diurus dengan cekap, mesra dan produktif. Panggilan telefon adalah simbol kewujudan sesebuah organisasi diperlukan. Jika tidak diperlukan tiada siapa yang akan menghubunginya.

Bagaimana cara kakitangan di tempat anda melayan panggilan telefon? Adakah pejabat anda dibingitkan oleh deringan telefon bertali arus? Berapa cepat kakitangan anda mengangkat gagang telefon untuk melayan panggilan? Adakah orang ramai selesa membuat panggilan telefon ke organisasi anda? Atau adakah robot yang menjawab panggilan telefon di pejabat anda? Perlu diingat tiada robot yang membuat panggilan telefon tetapi sayang banyak pejabat membiarkan robot yang menjawab panggilan telefon. Panggilan telefon adalah menifestasi hubungan dan interaksi insani, iaitu manusia dengan manusia bukan manusia dengan robot.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW melayan setiap pertanyaan dan permintaan samada daripada ahli keluarga, para sahabat mahupun golongan yang menentang Baginda. Jika orang bernada lembut maka Baginda lebih lembut lagi dan jika orang bernada keras Baginda tetap bernada lembut. Bukankah itu korporat dan produktif?

Saya pernah ditanya oleh seorang pegawai bank berbangsa Cina. Dia bertanya siapakah yang bangun lebih awal, orang Melayu atau orang Cina. Satu soalan yang saya kira cukup sinikal.

Jawapan saya dan beliau sering saya kongsikan dalam bengkel-bengkel yang saya kendalikan.

Cuma di sini ingin saya tegaskan bahawa pekerja muslim sebenarnya amat produktif jika mereka benar-benar mengamalkan sunnah Nabi SAW. Tetapi sayang perkara ini bagai fatamorgana. Belum ramai atau tidak cukup ramai yang terkesan dengan sunnah Nabi SAW.

Dalam satu hadith Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai berdoa kepada Allah SWT agar umat Islam peduli dan mengoptimumkan waktu pagi yang amat bernilai dan istimewa.

Nabi SAW berdoa: “Ya Allah, berkahilah umatku di pagi hari.” Rasulullah SAW biasa mengirim sariyyah atau pasukan perang di awal pagi dan Sakhru merupakan seorang pedagang, ia biasa menghantar kafilah dagangnya di awal pagi sehingga dia sejahtera dan hartanya bertambah.” (Riwayat Abu Dawud)

Justeru itu mengamalkan budaya hidup dan cara kerja yang produktif bukan sahaja memberi impak besar kepada prestasi pekerja dan organisasi tetapi ia sebenarnya membuka jalan untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Barulah kerja kita menjadi ibadah. Baca lanjut tentang Slot Booster Produktif 1.5 (Executive Talk), klik di sini.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam

CHE E
Perunding Utama AsasInsan

05 September 2014

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR 2014


Motivasi Kemahiran Insaniah Untuk Mahasiswa Baru

Tahniah kepada semua universiti dan kolej!

Pasti semua universiti sedang sibuk melayan karenah pelajar-pelajar baru yanng baru sahaja menjejakkan kaki ke manara gading. Universiti atau kolej mana pilihan mereka itu tidaklah penting. Yang penting langkah awal mereka di menara gading mestilah betul dan tepat.

Masuk universiti atau kolej bukanlah jaminan mereka akan keluar sebagai insan yang cemerlang. Cara dan gaya hidup mereka di kampus sangat mempengaruhi kualiti kegraduanan mereka kelak. Kita mahu graduan yang berkualiti tinggi dalam usaha melahirkan masyarakat yang berbudaya tinggi.

Berapa ramai graduan yang malas dan kurang membaca. Buktinya, ramai eksekutif atau pegawai samada di organisasi kerajaan atau swasta yang hadir seminar atau kursus anjuran kami yang tidak minat atau kurang membaca.

Di mana mereka mulakan tabiat kurang maju ini kalau bukan di bangku sekolah atau menara gading. Belajar di universiti bukan bermaksud mereka hanya perlu baca buku teks atau nota pensyarah. Mereka mesti baca buku tentang realiti kehidupan.

Maka, di sinilah perlunya pihak universiti membuka seluas-luasnya perspektif pelajar-pelajar baru tentang realiti kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Budaya ikut-ikutan atau turun-temurun dalam menggayakan kehidupan kampus harus dilihat semula dengan kritis. Adakah ia lebih banyak membawa kebaikan atau sebaliknya.

Dalam slot motivasi interaktif ini, kami membantu mahasiswa baru untuk melihat bahawa kampus adalah satu medan yang cukup hebat dan istimewa untuk membina kualiti dan nilai diri. Mereka hanya ada masa 3-4 tahun sahaja. Ianya terlalu sekejap maka langkah awal di kampus mesilah betul dan tepat. Mereka pasti teruja jika tahu caranya. Untuk baca lanjut sila klik di sini.

Terima kasih.

Che E
Perunding Utama AsasInsan

Kem cuti sekolah di masjid 2014

Salam buat semua AJK Masjid,

Berapa ramai anak-anak remaja muslim yang menjadi jemaah tetap di masjid tuan-tuan? Bagi orang yang berniaga, pelanggan tetaplah yang akan 'menghidupkan' perniagaan. Begitu juga dengan masjid. Bukan AJK masjid yang menghidupkan masjid tetapi ahli jemaahnya.

Usaha untuk menyemai rasa cinta dan rindukan masjid perlu dipupuk dari usia muda. Masjid akan menjadi hebat dan hidup jika saf-safnya dipenuhi dengan jiwa-jiwa muda.

Stigma masyarakat bahawa masjid adalah tempat kunjungan orang veteran sepatutnya dihapuskan. Ibadah tidak wajib kepada orang veteran sahaja tetapi semua yang bergelar muslim.

Masjid adalah simbol kekuatan umat Islam. Di masjid jiwa-jiwa muslim dibangunkan bukan di pasaraya, pasar malam, padang atau di panggung wayang.

Kini jika musuh-musuh Islam ingin menghancurkan jiwa-jiwa muda mereka pasti tidak akan pergi ke masjid. Kerana terlalu sedikit jiwa-jiwa muda di masjid. Jesteru itu, mereka menggunakan pelbagai cara, helah dan kaedah untuk terus memadamkan naluri masjid dalam jiwa muda-mudi muslim. Mereka perlu dan mesti dijauhkan dari masjid. Makan, sukan dan hiburan cukup untuk menjauhkan anak muda kita dari masjid.

Usaha untuk menarik muda-mudi muslim ke masjid perlu dibuat dengan cara yang berbeza hari ini. Zaman ini adalah zaman yang jauh berbeza. Islam agama yang syumul iaitu sempurna dan sesuai pada setiap zaman dan tempat. Maka masjid sebagai hati Islam sepatutnya sesuai untuk umat Islam sampai bila-bila. Jadi kenapa hari ini kita jauh dari masjid?

Inisiatif yang kami ambil ini sejak dari 10 tahun yang lepas akan terus kami lakukan dalam usaha menjadikan masjid tempat yang menarik, seronok dan 'memorable' untuk dikunjungi. Program Kem Kembara Ibadah Dan Jatidiri Remaja ini kami bangunkan untuk memberi warna berbeza kepada program remaja di masjid.

Bagi masjid-masjid yang mempunyai dana yang besar maka keluarlah dari zon selesa dan laburlah untuk pembangunan ummah. Berapa ribupun dana yang kita laburkan hari ini untuk menaja program seumpama ini sebenarnya adalah terlalu kecil nilainya jika hendak dibandingkan dengan kesannya pada masa hadapan.

Masjid punyai sumber dan dana, kami punyai kepakaran dan tenaga, masyarakat punyai anak-anak remaja yang perlu diisi jiwa-jiwa mereka. Usaha berganding kita dalam hal ini diharap dapat mencorak wajah umat yang lebih indah dan hebat di masa hadapan. Semoga kita lebih dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah Maha Pencipta.

Hubungi kami untuk perbincangan dan tempahan tarikh. Terima kasih kepada 3 buah masjid yang telah membuat tempahan tarikh awal, Masjid Ar Ridha Sepang, Masjid Al Islahiah Kuang dan Masjid Asy Syakirin Dengkil. Klik di sini untuk baca lanjut tentang program ini.

Wallahu a'lam