29 September 2014

PRODUKTIF ITU GAYA HIDUP SUNNAH

Seorang peserta bengkel yang kami anjurkan bercerita sewaktu minum pagi. Katanya syarikat tempat dia bekerja sedang dalam usaha mempraktiskan budaya korporat islamik. Kecerdasan emosi (EQ) adalah salah satu elemen yang amat ditekankan di tempat kerjanya.

Saya bersetuju dengan beliau bahkan memuji usaha baik majikannya itu. Saya berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan segala usaha syarikatnya dalam menegakkan syariah dan syiar Islam dalam nilai dan budaya urus tadbir syarikat.

Saya menegaskan kepada beliau bahawa Islam secara fitrah adalah sangat korporat sifatnya. Kita tidak perlu ‘mengkorporatkan’ Islam. Ia sememangnya korporat.

Budaya korporat sangat menekankan nilai kerja yang produktif. Bukankah produktiviti sangat ditekankan oleh Islam?

Sewaktu saya bertugas dengan sebuah syarikat korporat multinasional suatu masa dahulu, mereka sangat menekankan kepada disiplin kakitangan untuk melaksanakan tugas mengikut sistem dan piawai yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi apa yang telah ditetapkan akan menyebabkan ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Budaya ini diakronimkan sebagai PONC (price of non conformance). Harga ini adalah satu kerugian bagi syarikat kerana ia tidak perlu dibayar jika kakitangan melaksanakan tugas dengan betul, cekap dan amanah.

Saya suka budaya ini kerana ia amat Islamik. Islamik tidak perlu kepada label. Ia hanya perlukan amalan yang tulus, telus dan sejajar dengan apa yang telah Islam tunjukkan. Jelas sekali budaya ini akan merangsang integriti, kecekapan dan produktiviti kakitangan.

Mengambil contoh mudah budaya menjawab panggilan telefon. Ada sesetengah organisasi panggilan telefon diurus dengan cekap, mesra dan produktif. Panggilan telefon adalah simbol kewujudan sesebuah organisasi diperlukan. Jika tidak diperlukan tiada siapa yang akan menghubunginya.

Bagaimana cara kakitangan di tempat anda melayan panggilan telefon? Adakah pejabat anda dibingitkan oleh deringan telefon bertali arus? Berapa cepat kakitangan anda mengangkat gagang telefon untuk melayan panggilan? Adakah orang ramai selesa membuat panggilan telefon ke organisasi anda? Atau adakah robot yang menjawab panggilan telefon di pejabat anda? Perlu diingat tiada robot yang membuat panggilan telefon tetapi sayang banyak pejabat membiarkan robot yang menjawab panggilan telefon. Panggilan telefon adalah menifestasi hubungan dan interaksi insani, iaitu manusia dengan manusia bukan manusia dengan robot.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW melayan setiap pertanyaan dan permintaan samada daripada ahli keluarga, para sahabat mahupun golongan yang menentang Baginda. Jika orang bernada lembut maka Baginda lebih lembut lagi dan jika orang bernada keras Baginda tetap bernada lembut. Bukankah itu korporat dan produktif?

Saya pernah ditanya oleh seorang pegawai bank berbangsa Cina. Dia bertanya siapakah yang bangun lebih awal, orang Melayu atau orang Cina. Satu soalan yang saya kira cukup sinikal.

Jawapan saya dan beliau sering saya kongsikan dalam bengkel-bengkel yang saya kendalikan.

Cuma di sini ingin saya tegaskan bahawa pekerja muslim sebenarnya amat produktif jika mereka benar-benar mengamalkan sunnah Nabi SAW. Tetapi sayang perkara ini bagai fatamorgana. Belum ramai atau tidak cukup ramai yang terkesan dengan sunnah Nabi SAW.

Dalam satu hadith Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai berdoa kepada Allah SWT agar umat Islam peduli dan mengoptimumkan waktu pagi yang amat bernilai dan istimewa.

Nabi SAW berdoa: “Ya Allah, berkahilah umatku di pagi hari.” Rasulullah SAW biasa mengirim sariyyah atau pasukan perang di awal pagi dan Sakhru merupakan seorang pedagang, ia biasa menghantar kafilah dagangnya di awal pagi sehingga dia sejahtera dan hartanya bertambah.” (Riwayat Abu Dawud)

Justeru itu mengamalkan budaya hidup dan cara kerja yang produktif bukan sahaja memberi impak besar kepada prestasi pekerja dan organisasi tetapi ia sebenarnya membuka jalan untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Barulah kerja kita menjadi ibadah. Baca lanjut tentang Slot Booster Produktif 1.5 (Executive Talk), klik di sini.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam

CHE E
Perunding Utama AsasInsan