20 June 2015

Fenomena Pelik Ramadan



Fenomena masjid dan surau penuh pada malam-malam awal Ramadan adalah lazim di negara kita. Seronok dan meremang bulu roma apabila melihat berbondong-bondong jemaah lelaki berketayap, wanita bertelekung dan kanak-kanak memasuki masjid. Lebih ramai daripada solat jumaat. Saf panjang dan tersusun sehingga ke kawasan berumput di luar masjid dan surau. Apa agaknya perasaan rakan-rakan non-muslim kita yang melihat suasana ini.

Ramadan adalah masa kebanyakan kita berlumba-lumba buat benda baik. Semua tahu sebabnya. Ganjaran pahala berlipat kali ganda. Buat yang wajib pahalanya tujuh kali berganda, buat yang sunat dapat pahalanya macam buat yang wajib. Itulah tanda-tanda Rahmat Ilahi dan bukti kasih Allah yang mahukan hamba-hambaNya menjadi penghuni syurga.

Namun, setiap kali Ramadan kita pasti dengar orang-orang masjid samada imam atau ajk yang merungut tentang fenomena jemaah sesak pada minggu pertama Ramadan sahaja. Maka, berpesanlah mereka supaya jemaah kekalkan momentum untuk penuhkan masjid terutamanya sehingga ke minggu terakhir Ramadan.

Kebanyakannya ajak-ajak ayam sahaja sebab orang-orang masjid ini tahu ajaklah macam mana pun jemaah pasti akan berkurangan. Ramai mula sibuk buat persiapan sambut hari raya. Setakat ini itulah logiknya. Tarikan hari raya yang satu hari lebih kuat daripada malam al Qadar yang bersamaan 30,000 hari. Pernahkah anda cuba fikirkan sebab-sebab lain?

Sekarang cuba kita renung sekejap! Pahala yang mana lebih besar, amalan wajib atau amalan sunat? Pastilah yang wajib. Jadi yang wajiblah sepatutnya ditingkatkan dan yang sunat menjadi penambah. Fokus kita berbondong pada malam hari Ramadan untuk buat yang wajib atau yang sunat?

Cuba bayangkan kalau kita berbondong untuk solat berjemaah maghrib, isyak, subuh, zuhur dan asar. Bagaimana agaknya suasana Ramadan jika fenomena itu berlaku? Kita pasti menjadi umat yang menggempar dan menggentarkan!

Andai kita berbondong lima waktu yang wajib dalam bulan Ramadan, mungkin tanpa perlu diajak, masjid dan surau akan sesak sepanjang 29 hari Ramadan. Bahkan akan beri kesan limpah (spillover effect) selepas Ramadan, masjid dan surau sentiasa penuh dengan jemaah.

Kenapa jemaah susut selepas seminggu Ramadan? Mungkin kerana titik fokus ibadah Ramadan kita tersasar. Kita fokus kepada yang sunat bukan yang wajib. Banyak masjid tidak lokek mengeluar biaya untuk melantik imam-imam hafiz dalam atau luar negara. Juga untuk memberi fokus kepada yang sunat bukan yang wajib.

Mengukuhkan lagi premis ini ialah cara kita jalani ibadah puasa. Ibadah puasa adalah satu pakej. Ia termasuk sahur, niat, menahan makan, minum, syahwat sepanjang siang dan iftar. Hikmah berpuasa adalah supaya kita fahami dan insafi erti perut kosong. Ibadah ini ada caranya. Semua sudah jelas terpandu dalam sunnah Nabi SAW.

Namun amalan puasa kita tetap memberi fokus kepada makan. Lihatlah cara kita bersahur dan iftar. Promosi dan iklan berkaitan Ramadan, semuanya pasal makan. Ramadan juga amat sinonim dengan bazar. Akibatnya, latihan 14 jam berlapar selama sebulan langsung tidak memberi kesan kepada diri kita. Lebih malang lagi ada yang sudah puluhan tahun melalui Ramadan tetapi Ramadan hanya memberi mereka lapar dan dahaga. Fokus kita silap.

Melakukan ibadah wajib sedikit berat berbanding amalan sunat. Itu sebab pahalanya besar. Dengan memfokus niat, cinta, tenaga dan masa untuk meningkatkan dan menyempurnakan amalan ibadah wajib dalam bulan Ramadan pasti akan mencetuskan momentum yang memberi impak besar.

Masjid-masjid usah berlumba promosikan solat tarawih atau iftar tapi promosikan bersungguh-sungguh solat fardhu yang lima terutamanya subuh. Jika solat subuh di masjid kita jemaahnya berbodong-bondong, usah risau zuhur, asar, maghrib, isyak apatah lagi tarawih, masjid pastikan sahaja sejadah dan tikarnya cukup.

Jika datang Ramadan masjid dan surau hanya ramai pada waktu iftar dan tarawih, maka selepas Ramadan masjid dan surau pasti kembali menjadi bangunan-bangunan sunyi.

Jika sejak sekalian lama, ajk masjid buntu mencari jalan untuk meramaikan jemaah, solusinya ada dalam Ramadan tapi bukan pada tazkirah oleh penceramah glamour, imam hafiz tarawih, tarawih 20 rakaat atau ruang solat berdingin hawa tetapi pada solat berjemaah lima waktu yang fardhu.

Wallahu a'lam.