04 August 2015

Apa dosa ulangkaji SPM last minute?




Bukanlah satu yang pelik jika hari ini masih ada pelajar tingkatan lima yang masih belum lagi memulakan apa-apa persediaan untuk menghadapi SPM 2015. Mereka mungkin anak atau anak murid anda.

Jika hari ini ulangkaji belum lagi mereka mulakan, rasa-rasa apa target mereka untuk SPM?
Tanggal 2 November 2015 masih terlalu jauh bagi mereka. Mereka sangka masa masih banyak dan mereka lupa topik yang perlu dibaca juga banyak.

Lebih 100 topik yang perlu dibaca dan difahami, dan mereka hari ini hanya ada masa kurang daripada 90 hari. Bermakna jika mereka baru hendak mula, mereka perlu habiskan (membaca sehingga faham) setiap topik tidak lebih dari 1 hari.

Akhirnya, teknik belajar saat akhir (last minute study) adalah penyelesaian terbaik buat mereka. Mereka tiada pilihan. Teknik ini bakal memberi macam-macam kesan kepada mereka.

Tiada fokus, faham separuh-separuh, tidak dapat baca semua topik dan kemuncaknya mereka akan menjadi sangat tertekan. Apa yang menarik dalam hal ini ialah mereka tahu keadaan ini akan terjadi kepada mereka tetapi mereka tetap tidak mahu melakukan apa-apa.

Pemerhatian saya setelah mengendalikan ribuan program motivasi pelajar sejak 20 tahun lepas, rata-rata anak-anak kita ini menghidap satu sindrom keturunan iaitu 'sindrom tengok dan ikut apa kawan buat'. Peliknya sindrom ini, yang ditengok dan diikut biasanya tabiat atau perkara negatif dan merugikan.

Sindrom ini bertambah parah apabila ditambah dengan satu lagi sindrom sampingan iaitu 'malu tidak bertempat'. “Takut kalau kawan-kawan nampak saya belajar. Nampak macam rajin sangat. Malulah!”

Sering juga saya menguji anak-anak ini dengan bertanya siapakah yang ingin dan suka kalau dapat ‘masuk’ universiti. Ramai pula yang angkat tangan! Lebih bertambah pelik.

Apabila ditanya tentang target keputusan dan perancangan selepas SPM, jawapan lazim mereka ialah “Tengoklah macam mana keputusan nanti. Kalau OK boleh sambung belajar, kalau teruk saya kerjalah.” Ternyata hidup ini mudah bagi mereka. Satu prinsip hidup yang saya kira menarik dan praktikal.

Untuk menyalahkan mereka 100% adalah satu yang keterlaluan bagi saya. Mereka adalah hasilan acuan kita. Persekitaran merekalah yang menjadi acuan hidup mereka. Adakah anda acuan itu?

Last minute study bukanlah satu dosa besar. Bahkan guru matematik saya semasa di tingkatan lima dahulu mengajar saya teknik ini yang baginya sangat bagus dan berkesan. Ternyata ia memerlukan kemahiran dan bukan boleh ‘dibuat’ sesuka hati. Dan bukan semua orang boleh guna teknik ini.

Persoalannya siapa yang boleh ajar mereka teknik ini dengan cara, petua dan kaedah yang betul? Kerana mereka ternyata memerlukannya. Ayuh mari kita sama-sama bantu mereka!

SPM 2015 kurang 90 hari.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a'lam

Che E