12 June 2015
Ayuh detox jiwa dengan Al Quran. Selamat Datang Ramadan.
Assalamu 'alaikum wrt. wbh.
Minggu depan kita akan berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu. Semoga Allah SWT memberi kesempatan.
Bersiaplah sedialah kita untuk menyambut bulan mulia ini dengan membersihkan jiwa. Hati yang keras, semangat yang lemah, fizikal yang sakit-sakit, fikiran yang berserabut dan segala macam penyakit diri sebenarnya boleh sembuh dalam klinik Ramadan.
Sambut Ramadan bukan sekadar berpuasa sahaja. Jika yang kita faham hanya puasa, maka fokus kita ialah iftar iaitu buka puasa (makan). Makanya tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Tidak hairan kenapa ada yang berkelahi berebut tapak bazar Ramadan sebab fokus kita, makan! Allahuakbar semoga kita diberikan hidayah agar melalui Ramadan kali ini dengan lebih baik.
Beberapa detik sebelum Ramadan baru tiba, ada baiknya kalau setiap kita ambil sedikit masa untuk merenung prestasi Ramadan tahun lepas. Apa azam Ramadan tahun lepas? Apa hasil Ramadan tahun lepas? Adakah ia berhasil? Ada atau tiada, yang penting tetapkan sasaran baru tahun ini. Mohon hidayah dan kekuatan daripada Allah SWT agar kita istiqamah dalam membuat perubahan diri.
Al Quran adalah detox terbaik untuk muslim. Ia membersihkan jiwa, hati, fikiran bahkan fizikal. Cuba cari jalan untuk menghampiri Al Quran. Ia milik semua bukan milik ustaz, ulama atau para hafiz sahaja. Boleh khatamkan bacaan Al Quran dalam Ramadan itu terbaik.
Tetapi membaca Al Quran walau sepotong ayat sehari itu jauh lebih baik jika kita memang jenis yang malas mendekati Al Quran. Mintalah bersungguh-sungguh daripada Allah SWT semoga kita diberi hidayah dan kekuatan untuk terus membaca ayat-ayatNya walaupun sepotong sehari tetapi setiap hari sampailah ke hujung hayat kita.
Ingin seronok menjadi muslim? Bersungguhlah dirikan Solat dan dekati Al Quran. Tatkala solat anda mengadu kepada Allah dan di waktu mengaji Al Quran, Allah SWT berbicara dan menjawab segala aduan kita.
Selamat menyambut Ramadan. Semoga Allah SWT memudahkan dan merahmati segala usaha kita untuk menuju ke arah kebaikan. Amin.
Labels:
Artikel Che E