Kenapa kami
anjurkan bengkel ini?
Membantu
organisasi untuk melatih dan membangunkan para pekerja yang berjiwa besar dan
berfikiran terbuka. BERFIKIR BESAR (THINK BIG).
Keupayaan
untuk berfikir besar bukan hanya milik mereka yang berjawatan tinggi walaupun
kebanyakan mereka berada pada posisi itu disebabkan oleh keupayaan mereka
berfikir. Sesiapa pun boleh berfikiran besar. Tiada had jawatan dalam berfikir.
Sayangnya
ramai di kalangan kita menjadikan jawatan atau pangkat sebagai had kemampuan
berfikir. Seolah-olah pekerja bawahan tidak boleh berfikir. Mereka hanya buat
apa yang diarahkan sahaja. Berfikir kerja orang atas.
Lebih malang
lagi kadang-kadang terjadi ada orang atas yang tidak berupaya untuk berfikir,
berfikir besar. Hasilnya keputusan yang dibuat bersifat kecil-kecilan atau
biasa-biasa sahaja. Tiada impak. Orang bawah pun tersenyum sinis melihat
keputusan yang mereka buat. Lebih pelik lagi ada orang atas yang takut kalau
ramai orang bawah yang pandai berfikir. Susah kita nanti, kata mereka.
Peraturan alam memang selalu kata yang kecil takut kepada yang besar. Kenapa
agaknya?
Dengan
berfikir besar bukan bermaksud kita perlu terus menjadi pegawai atas. Mana
mungkin hari ini kita kerani dek kerana kita mampu berfikir besar bulan depan
kita terus dinaikkan pangkat menjadi ketua jabatan. Cubalah fikir besar
sedikit.
Apakah hasil
berfikir? IDEA! Adakah bangsa kita bangsa yang banyak idea? Kenapa
negara-negara maju maju kerana warga mereka berfikir. Seluruh rakyat berfikir
dan bukan hanya pemimpin atau orang-orang atas sahaja yang menjalankan tugas
ini.
Sesiapapun
boleh melontarkan idea. Soalnya jika minda kita tidak dilatih untuk berfikir
mana mungkin ia akan menghasilkan buah fikiran yang bernas, berasas atau
bermanfaat.
Cuba lihat
rutin hidup kita setiap hari, adakah kita berfikir untuk menjalani kehidupan
kita atau kita hanya buat apa yang telah biasa kita buat tanpa perlu banyak
berfikir atau langsung tidak perlu berfikir?
Berfikir
maknanya kita menggunakan minda sedar kita untuk menilai dan menganalisis
persekitaran. Menjalani kehidupan tanpa perlu berfikir maknanya kita hanya
menggunakan minda bawah sedar. Minda bawah sedar adalah sistem fikiran
autopilot. Tidak perlu dikemudi secara nyata dan ia bergerak dengan sendiri.
Malas
berfikir bermakna kita memenjarakan diri kita sendiri. Walaunpun secara fizikal
kita bebas namun hakikatnya kita terpenjara dek kerana minda kita terhenti.
Cuba bayangkan kehidupan seorang banduan di sebalik dinding besi, apakah yang
mereka fikirkan selain menjalani kehidupan seperti yang telah ditetapkan oleh
pihak pegurusan penjara.
Namun
sejarah juga menunjukkan berapa ramai mereka yang badannya dipenjara tetapi
minda mereka bebas berkicauan dalam ruang legar berfikir yang mega luas.
Dinding-dinding penjara langsung tidak menembokkan minda mereka untuk berfikir
dan mengasilkan idea-idea yang berupaya merubah dunia.
Minda perlu
dibajai dengan bahan yang betul agar ia boleh terus berfikir, berfikir
hebat-hebat. Apa kita baca, dengar dan lihat adalah bahan semaian yang akan
mencorak pertumbuhan daya fikir kita. Hebat yang kita baca, dengar dan lihat
maka hebatlah cara kita berfikir. Begitu jugalah sebaliknya.
Kenapa ramai
anak bangsa kita terlibat dengan gejala yang merugikan diri sendiri, keluarga,
bangsa, agama dan negara? Jelas sekali mereka ini kebanyakannya bukan dari kalangan
yang berupaya berfikir. Meraka hanya fikir yang kecil-kecil. Keseronokan hari
ini, esok dan lusa sahaja. Apa selepas itu minda mereka tidak upaya untuk
menjangkaunya. Sayang sekali.
Orang lain
melalui hari Isnin hingga Ahad sama seperti kita tetapi mereka berupaya melihat
apa akan jadi puluhan tahun dari sekarang. Itulah sebabnya cara mereka
bertindak hari ini sedikit berbeza daripada kita. Apakah pencetus perbezaan
ini? Berfikir.
Dalam Bengkel Booster Estim Diri
ini kami cuba berkongsi tip, panduan dan pengalaman dengan para peserta tentang
khazanah berfikir besar. Apakah impaknya jika kita rajin berfikir? Kenapa takut
dan salahkah kalau berfikir? Bagaimana kehidupan kita jika kita berfikir?
Apakah kerja yang kita buat 10 tahun akan datang jika kita berfikir? Apakah
racun yang melumpuhkan daya berfikir? Bagaimana mencergaskan semula tenaga
berfikir?
Tiada jalan
lain untuk sesebuah organisasi untuk maju kehadapan melainkan semuanya perlu
dijana oleh individu-individu yang mahu, bijak dan rajin berfikir. Mereka pekerja 'Superstar'. Cuba
bayangkan jika organisasi kita dioperasikan oleh ramai pekerja Superstar. Atas meja mereka tersusun bahan-bahan bacaan yang menyegarkan minda.
Isi perbualan mereka bukan pasal movie, bola atau gadis-gadis lawa tetapi
isu-isu mega. Mungkinlah sekali-sekala pasal resepi.
Ada berani?
Cubalah! Semoga bengkel kecil ini akan memberi manfaat besar kepada kita semua.
Untuk
menghantar penyertaan, sila berhubung terus dengan Unit Pengurusan Program kami
di talian 03-89222934 atau daftar online sila klik di sini.