02 April 2014

Apa ada di luar zon selesa?

Duduk dalam lingkungan zon selesa kita memang rasa selamat dan stabil. Hampir tiada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan dan rutin hidup kita akan bersilih ganti mengikut kitaran yang biasa. Selepas ini itu, selepas itu ini. Sampai masa habis dan esok mula semula dari awal.

Adakah anda mempunyai apa-apa matlamat yang masih belum tercapai. Ambil contoh mengerjakan haji ke Baitullahil Haram. Jika anda sekarang ini memang telah mula menyimpan untuk tujuan itu dan anda jangka simpanan anda akan cukup dalam tempoh tertentu contohnya 3 tahun dari sekarang, maka matlamat haji anda itu berada dalam zon selesa anda walaupun ia terjarak beberapa tahun dari anda sekarang. Anda selesa dan tidak tertekan menyimpan beberapa jumlah dari gaji bulanan anda. Anda rasa selamat dan stabil kerana sampai masa simpanan anda akan mencukupi.

Memiliki matlamat untuk dicapai dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang tidak bermakna anda telah keluar dari zon selesa. Kenapa pula kita perlu keluar dari zon selesa?

“Your life begins at the end of your comfort zone.” Saya petik kata-kata motivator Brian Tracy. Maknanya kehidupan yang sebenar atau benar-benar memuaskan dan membahagiakan berada di luar garisan zon selesa kita. Apa akan terjadi jika kita melangkah keluar dari garisan tersebut? Jawapannya mudah, risiko dan tiada jaminan.
 

Inilah punca utama kenapa ramai orang memilih untuk tidak melangkah keluar dan kekal dengan keadaan kehidupan yang biasa dalam zon selesa. Ada sesuatu yang mereka tidak miliki!

Dan inilah juga puncanya kenapa orang yang berjaya, kaya, bahagia dan membahagiakan jumlahnya tidak ramai. Mereka berani melangkah keluar dari zon selesa. Berani mengambil risiko. Tidak bimbang dan bijak mengurus sesuatu perkara yang tiada jaminan. Mereka memiliki keberanian.

10 tahun bekerja makan gaji. Dari bergaji mula RM1,500 kini gajinya mencecah hampir RM5,000 sebulan. Anak-anak semuanya telah bersekolah menengah dan ada juga beberapa hutang pinjaman seperti rumah dan kereta. Dengan gaji yang diperolehi walaupun tidak mewah, hidupnya selesa, tiada kebimbangan dan stabil.

Tiba-tiba dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan kehidupan baru dengan bekerja sendiri. Segala-galanya berubah. Tiada lagi keselesaan, kestabilan dan ketenangan seperti sebelum ini.

Tiada lagi keselesaan sebab masa bekerja bukan lagi 8 pagi – 5 petang tetapi 24 jam sehari 7 hari seminggu. Tiada lagi kestabilan kerana perbelanjaan harian dan bulanan adakala cukup adakala tidak. Tiada lagi ketenangan kerana hujung bulan tiada satu angka tetap dalam akuan bank yang boleh dijangkakan.

Jika begitu keadaannya kenapa dia mengada-ngada melangkah keluar dari garisan zon selesanya? Sekarang cuba kita lihat apa yang berlaku.

Dulu setiap bulan jumlah gaji yang berbaki untuk simpanannya adalah sekitar RM500 setelah ditolak segala perbelanjaan. Kiraan mudahnya begini, RM500 x 12 bulan x 5 tahun bersamaan RM30,000. Sudah pasti jumlah simpanannya akan lebih sedikit jika ditambah dengan dividen dan bonus yang diberikan bank. Oklah.

Sekarang dengan bekerja sendiri setelah ditolak segala perbelanjaan jumlah keuntungan yang boleh disimpan selepas 1 tahun ialah sekitar RM50,000. Bermakna dalam tempoh 5 tahun dia boleh menyimpan sebanyak RM250,000. Itu belum ditambah dengan dividen dan bonus yang diberi bank. Dalam kiraan mudah keadaanya selepas keluar dari zon selesa iaitu berhenti kerja ialah 8 kali ganda lebih baik dan memuaskan.

Jadi di mana yang selesa sebenarnya di dalam atau di luar garisan?

Memang benar dengan kekal di dalam zon selesa tiada risiko besar yang dipikul berbanding dengan kerja sendiri (berniaga). Namun, suatu yang pasti dalam zon selesa ialah anda sudah boleh jangkakan penghujung jalan cerita kehidupan anda. Seperti menonton filem Hindi dan sesetengah drama dan filem Melayu. Sebagai contoh, istilah ‘gaji mati’. Kenapa kita perlu benarkan dan redha orang lain ‘mematikan’ hasil yang patut kita dapat daripada modal (potensi), peluang dan kekuatan diri yang kita miliki. Di luar zon selesa tiada istilah seperti itu.

Modal utama yang dimiliki oleh setiap orang adalah sama, hayat. Bezanya cuma jangka hayat, ada yang 40, 55, 62, 71 dan 92. Terserahlah di mana tempat anda melabur modal anda. Contoh, Allahyarham Ustaz Asri Rabbani telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2009 ketika usia 40 tahun, sehingga ke hari ini suaranya tetap menyerikan corong-corong radio dan tv dengan nasyid yang mendidik jiwa, alunan doa, zikir dan solawat. Album-albumnya masih diterbitkan, terjual dan pasti memberi pulangan kepada waris dan syarikatnya walaupun dia telah lama pulang ke pangkuan Penciptanya. Kita pada usia yang mungkin telah lebih dari itu, apakah ‘seri’ yang telah kita hasilkan?

Sekali lagi saya memetik kata-kata menarik Brian Tracy “your comfort zone is the greatest enemy of your self-potentials.”

Keluar zon selesa bukan bermakna berhenti kerja. Itu hanya satu contoh. Solat-solat sunat, puasa sunat, sedekah sunat dan macam-macam lagi amalan sunat adalah contoh lain perkara yang berada di luar zon selesa. Dalam zon selesa kita mungkin cuma ada solat lima waktu.

Cuba 3 hari bermula esok anda keluar dari zon selesa buat berapa amalan sunat yang lain, anda pasti kurang selesa, teragak-agak dan sangat kuat rasa untuk kembali masuk ke zon selesa, tunai hanya yang 5 waktu. Betul tak? Cubalah!

Cuba 3 hari bermula esok anda tunaikan solat yang 5 waktu itu seusai azan, maknanya di awal waktu. Zon selesa benar-benar akan menguji anda.

Cuba 3 hari bermula esok anda datang awal ke pejabat dan buat kerja-kerja extra yang disukai bos yang tidak pernah anda buat sebelum ini. Suara panggilan pulang zon selesa sangat kuat, bukan?

Cuba 3 hari bermula esok anda peluk dari belakang dan cium pipi isteri anda setiap kali dia tengah memasak atau mencuci pinggan di dapur. Anda mungkin boleh dengar ketawa zon selesa di belakang anda?

Cuba 3 hari bermula esok anda baca 5 muka surat buku sebelum tidur. Cuba tengok sampai muka surat berapa zon selesa anda akan suruh anda berhenti membaca!

Tetapi sekarang cuba anda bayangkan pula bagaimana kalau anda boleh abaikan suara-suara manis zon selesa anda. Selepas 3 hari anda teruskan lagi 3 hari sehingga akhirnya menjadi sebulan dan setahun, bagaimana rasanya keadaan diri anda? Ternyata di luar zon selesa keadaan diri kita sangat berbeza. It’s happening and growing! bak kata orang putih.

Fikir dan bertindaklah segera. Itulah yang membezakan orang yang berada di dalam zon selesa dengan mereka yang berada di luar. Zon anda pilihan anda.

Terima kasih kerana membaca. Semoga ada manfaat.

CHE E
Perunding Utama AsasInsan
1 April 2014

Jom sertai bengkel yang boleh bantu kita melatih diri melangkah keluar dari zon selesa, klik di sini.