21 March 2014

Keputusan SPM 2013 Dan Litar Lumba F1?


Anda telah buktikan!

Tahniah kepada mereka yang telah berjaya mengharungi cabaran SPM dan STPM 2013. Semalam adalah hasil dan bukti titik peluh anda, ibuayah, guru-guru dan siapa jua yang menyokong anda selama ini.

Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Hari ini kepada yang berjaya ataupun sebaliknya pasti akan mengakui kebenaran dua pepatah ini.

13,720 daripada 442,588 calon SPM 2013 telah berjaya mencapai keputusan A dalam semua subjek dan 405 daripada mereka berjaya mencapai A+ dalam semua subjek. Lebih menarik lagi 8 orang daripada mereka yang berjaya capai A dalam semua subjek adalah calon berkeperluan khas sama ada buta, pekak dan mengalami kecacatan lain.

Saya petik kata-kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof seperti yang dilaporkan akbar semalam; “Tahniah kepada calon-calon yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM dan berharap mereka dapat meneruskan budaya kecemerlangan dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Kepada calon yang kurang berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan lain pada masa akan datang.”

KURANG BERJAYA? Apakah maksud kurang berjaya? Kurang satu A, tiada A langsung atau gagal dalam semua subjek? Ternyata walaupun hanya kurang satu A anda tidak akan termasuk dalam kelompok 13,720 di atas. Menarik untuk difikirkan.

Ternyata yang akan dijulang oleh kawan-kawan ialah mereka yang dapat semua A atau semua A+. Kurang satu A, siapa akan julang anda?

Kalau yang kurang satu A pun tidak dijulang, bagaimana pula kalau tiada A langsung? Silap-silap kehadiran anda juga tidak disedari. Semua A pasti kehadiran mereka dinanti-nanti.

Tetapi saya sangat bersetuju dengan kata-kata Ketua Pengarah di atas. “Kepada calon yang kurang berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan lain pada masa akan datang.” Pagi tadi saya dengar DJ dalam Radio 24 berpesan SPM dan STPM bukanlah pengakhiran tetapi satu permulaan.

Wah! Jika ia satu permulaan ini adalah satu berita baik. Cuba lihat perlumbaan F1, berapa buah jentera yang boleh duduk di petak pertama? Hanya SEBUAH! Dan adakah pasti dia akan jadi JUARA di akhir perlumbaan? Anda jawab.

Maka, hari ini sesiapa yang tiada A langsung, A kurang satu, semua C atau gagal, anggaplah anda bukan berada di petak pertama perlumbaan F1. Tetapi anda berada dalam litar perlumbaan yang sama. Siapa juara? Belum tahu lagi!

Maka hari ini, biar apapun keputusan anda senyumlah lebar-lebar, sujudlah pada Tuhan tanda syukur tidak terhingga, peluk ciumlah ibu dan ayah anda tanda terima kasih yang tulus atas pengorbanan dan doa mereka dan salam peluk guru-guru anda tanda banyaknya budi mereka yang anda terhutang, dan mulakan langkah seterusnya penuh bergaya.

Insan yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah gagal atau sentiasa berjaya. Tetapi insan berjaya adalah mereka yang tidak pernah jemu bangkit setiap kali tersungkur gagal.

Kejayaan ibarat gula dan kegagalan ibarat pahit. Anda benar-benar menghargai rasa manis kerana tahu bagaimana peritnya rasa pahit.

Kami di AsasInsan mengucapkan setinggi tahniah kepada semua yang telah berjaya mengharungi cabaran dalam SPM dan STPM 2013.

Kepada ibuayah dan guru-guru, TAHNIAH! dan teruskanlah berdoa untuk anak-anak kita demi kejayaan mereka yang sebenar di masa hadapan.

Kepada adik-adik yang bakal bertarung dengan SPM tahun ini, jom bersedia dari sekarang. Klik di sini.

Terima kasih. Wallahu a'lam

Che E
Perunding Utama
http://klinikmotivasi.blogspot.com/2012/02/seminar-motivasi-kemahiran-belajar.html