18 March 2014

Pengurus Besar Yang Mana Satu Lebih Baik?



Nak kaya seperti orang lain? Jom hari ini kita mula ‘berfikir besar’ (think big). Berfikiran besar akan ‘menghasilkan’ diri kita yang sebenar kerana diri kita adalah produk fikiran kita sendiri.

Menurut Dr. David J. Schwartz dalam bukunya The Magic of Thinking Big, minda kita ibarat sebuah kilang yang besar dan hebat sebenarnya. Ia beroperasi mengeluarkan produk (fikiran) dalam jumlah yang tak terbilang banyaknya setiap hari. Produk yang terhasil inilah yang akan membentuk siapa diri kita.

Jika hebat kualiti produk kilang ini, maka hebatlah diri anda. Dan jika rendah kualiti produk kilang ini, maka itulah diri anda.

Kilang kita ini dikendalikan oleh ‘dua orang Pengurus Besar’. Pengurus Besar pertama saya panggil En. Segala Bin Mudah dan yang kedua saya panggil En. Segala Bin Susah. Dr. David memanggilnya Mr. Triumph dan Mr. Defeat.

En. Segala Mudah bertanggungjawab memastikan kilang anda menghasilkan produk yang hebat dan positif. Dia pakar dalam mencari sebab kenapa anda boleh, kenapa anda layak, kenapa anda hebat dan akhirnya memang anda berjaya.

Sebaliknya En. Segala Susah pula pakar dalam menghasilkan produk negatif, lemah dan menggagalkan. Dia pakar memberi anda alasan kenapa anda tak boleh, kenapa anda lemah, kenapa anda tiada kelebihan dan akhirnya memang anda gagal.

Dua orang Pengurus Besar kilang anda ini amat setia, rajin dan sensitif. Mereka sentiasa berebut-rebut untuk menerima arahan daripada anda dan akan terus memulakan tugas. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memberi isyarat mudah.

Jika isyarat positif yang anda berikan seperti mengangguk-angguk dan senyum maka En. Segala Mudah akan bingkas tampil dan mulakan operasi kilang anda dan begitu jugalah sebaliknya jika isyarat negatif yang anda beri seperti menggeleng-geleng dan memuncungkan mulut maka sepantas kilat En. Segala Susah akan memulakan tugasnya.

Mari kita cuba teknik mudah memberi isyarat kepada dua orang Pengurus Besar ini.

Anda sangat berpotensi untuk menggantikan bos anda suatu masa nanti. Sekarang, angguk-anggukkan kepala anda dan senyum. BERHENTI. Sekarang, cuba pula geleng-gelengkan kepala dan muncungkan mulut anda. Dapatkah anda rasakan perbezaan operasi kilang anda?

Sekarang anda pilih siapa yang anda mahu untuk mengurus kilang anda? Siapa pun diri kita sekarang, dengan berfikiran besar, kita boleh menjadi seseorang yang jauh lebih hebat.

Pemimpin-pemimpin kita, bukan semua asalnya ‘seseorang’ seperti mereka hari ini. Tokoh-tokoh korporat dan akademik, ramai di kalangan mereka juga satu masa dulu hanyalah orang biasa.

Dengan pilihan yang tepat, saya, anda dan kita semua boleh menjadi jauh lebih hebat daripada hari ini. Jom buat pilihan hari ini dan saya amat setuju dengan Henry Ford apabila dia berkata “If you think you can or you think you cannot, you are right.”

Terima kasih kerana sudi membaca. Semoga bermanfaat.

Che E
Perunding Utama AsasInsan