28 December 2013

Jom mulakan langkah awal SPM 2014

<![endif]-->

Cetus emosi hebat dalam Seminar Syoknya Belajar!

Lebih kurang 2 bulan sebelum SPM 2013 yang lepas, saya dijemput oleh beberapa buah sekolah untuk mengendalikan ceramah motivasi untuk calon-calon SPM sebagai pecutan terakhir.

Score Target & Keputusan Hebat

Satu fakta menarik yang menjadikan saya PELIK ialah majoriti pelajar yang saya tanya tidak membuat sebarang SASARAN atau SCORE TARGET untuk subjek-subjek yang mereka ambil untuk SPM. Tulis dan tampal jauh sekali. Samada A, B atau C mereka seolah-olah tak pernah ambil kisah. Tapi yang pasti apabila ditanya samada mereka yakin boleh skor A, ramai yang hanya tersenyum senget persis kerang busuk. Saya faham maksud mereka.

Persoalannya, bagaimana mereka belajar kalau tidak ada matlamat. Ramai yang mengambil sikap ‘buat saja, apa dapat esok kita fikirlah kemudian’. Inilah puncanya esok selepas keputusan SPM keluar mereka hilang arah dan tidak pasti ke mana hendak dituju. Orang lain masuk universiti, mereka juga nak masuk universiti tapi orang lain ada target yang jelas, mereka terkial-kial. Sekarang bukan lagi zaman BERSUAP atau ditunjukkan. Ini zaman BERDIKARI atau cari sendiri. Siapa cekap dia dapat, siapa terkial-kial dia tertinggal. Cukuplah!

Satu lagi yang bermain dalam fikiran saya ialah adakah guru-guru tidak menegaskan tentang pentingnya SCORE TARGET atau MATLAMAT dalam belajar. Bukanlah maksud saya matlamat mesti Semua A tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu kemampuan dan kemahuan diri untuk setiap subjek yang diambil. Biarlah C sekalipun, ia tetap TARGET. Tetapkan, tulis dan tampal dari awal akan memudahkan mereka untuk mencapainya. Mungkin guru-guru dah cakap tapi anak murid yang buat-buat tak dengar. Kalau begitu, cukupkah sekadar bercakap?

Mungkin ramai yang tidak nampak dengan jelas apa perkaitan di antara Score Target, prestasi belajar dan keputusan peperiksaan. Maka dalam seminar ini kami bantu untuk MENJELASKANNYA.

Set Minda Betul

Dalam seminar ini, para pelajar tingkatan 5 dibantu untuk membentuk set minda yang betul sebagai persediaan menghadapi SPM. Set minda umpama niat dalam ibadah, tanpanya ibadah menjadi sia-sia. Tanpa set minda yang betul tubuh badan dan sistem tingkahlaku kita tidak mendapat 'arahan' yang jelas apa patut dibuat apabila tiba masa yang sepatutnya untuk kita belajar. Akibatnya masa berharga tersebut berlalu begitu sahaja tanpa kita gunakan sebaiknya. Rugi. Dalam Surah Al Asr, Allah SWT telahpun mengingatkan kita dengan firmanNya "Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian."

Bukan sedikit mahasiswa universiti dan kolej yang saya temui dalam program-program Starting School (semester pertama) yang kami kendalikan mengakui jurusan dan institusi yang mereka pilih bukanlah kerana mereka sememangnya mahu atau minat tetapi lebih kerana itu sahaja jurusan atau kolej yang 'layak' mereka mohon berdasarkan keputusan SPM yang mereka perolehi. Jadi, kenapa bertangguh lagi. Bertindaklah betul hari ini untuk menyedarkan pelajar-pelajar tingkatan 5 anda agar mereka mula daripada awal untuk menetapkan matlamat yang betul dan praktikal demi masa depan mereka sendiri. Jika kita biarkan mereka untuk 'sedar sendiri', saya yakin selepas keputusan SPM keluar baru ramai daripada mereka sedar.

Personaliti & Teknik Ulangkaji Berkuasa

Personaliti dan gaya belajar, kemahiran dan teknik belajar berkesan dan teknik menyusun menggunakan 'waktu berkuasa' untuk belajar yang berkesan adalah di antara 'know-how tips' yang sangat penting untuk diketahui oleh pelajar tingkatan 5 yang didedahkan dalam seminar ini. Dalam 24 jam sehari masa yang Allah SWT berikan, ada waktu berkuasa untuk menghafal, membaca, mengira, menulis, berbincang dan berdoa. Bila waktunya? Saya yakin ramai pelajar kita kurang perasan fakta ini kerana mungkin ia jarang dikongsikan. Ramai pelajar tingkatan 5 yang belajar ikut cara kawan. Kawan belajar aku belajar, kawan belajar sains aku belajar sains, dan esok kawan masuk kolej C aku masuk kolej C. Semua ikut kawan. Sampai bila? Belajarlah dengan cara kita sendiri. Allah SWT menganugerahkan kita dengan minda yang cukup luar biasa hebat. Gunakannya, tapi kenalah tahu teknik dan caranya. Memulakan persediaan SPM tanpa mengetahui teknik-tekniknya seumpama anda cuba memandu kereta buat pertama kali.

Adab & Akhlak Dalam Menuntut Ilmu

Berilmu tanpa amal, sia-sia. Belajar tanpa adab, sesat. Belajar ilmu pengetahuan sepatutnya meningkatkan nilai dan darjat diri seseorang. Allah SWT telahpun menegaskan di dalam Al Quran bahawa orang-orang yang berilmu akan diangkatkan beberapa tingkat darjat mereka. Sayangnya ramai anak-anak didik kita hari ini walaupun telah berada di tingkatan 5, akhlak, nilai diri, perilaku, sikap dan tabiatnya masih di takuk budak-budak hingusan. Kenapa?

Saya pernah diberitahu oleh seorang guru sebuah sekolah menengah di Rawang beberapa tahun lepas bahawa dia dipanggil 'Botak' oleh beberapa orang pelajar di sekolah tempat dia mengajar. Biarlah dia botak untuk seribu tahun sekalipun, apa hak seorang pelajar untuk memanggil seorang guru seperti itu? Di mana nilai akhlak dan adab? Apa hebatnya kita jika nak dibandingkan dengan penuntut-penuntut ilmu agung seperti Imam Al Ghazzali atau Imam Syafie? Mereka bukan sekadar hormat tetapi amat memuliakan guru-guru mereka. Itu sebab saya kata, belajar tanpa adab kita sesat. Sebab esok apabila 'pelajar-pelajar tidak beradab' itu menjadi pemimpin cuba bayangkan apa mereka akan panggil orang bawahan dan rakyat jelatanya? Mungkin anjing kurap. Dalam seminar ini, kami akan menegaskan dan menekankan tentang adab dalam menuntut ilmu.

Anjurkan Awal Tahun Untuk Kesan Lebih

Seminar ini boleh dianjurkan pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun, yang paling penting sebelum SPM. Tetapi cuba bayangkan jika ada pelajar tingkatan 5 sekolah anda yang baru mengetahui tentang teknik membuat Score Target dan sedar ianya penting selepas hadir seminar ini dan SPM tinggal 2 bulan sahaja lagi, saya pasti kita dapat rasakan betapa berat tekanan dan besar penyesalan yang ditanggungnya. Jadi anjurlah seminar ini seawal yang boleh. Lagi awal lagi bagus. Kami sentiasa bersedia membantu.

Bantulah anak-anak bangsa kita untuk sedar dari lena. Lena yang telah terlalu lama. Lena yang mungkin diwarisi daripada moyang, datuk dan bapa. Sampai bila lagi kita perlu lena. Sedarkan mereka hari ini. Jentik minda mereka awal-awal. Sirami jiwa mereka daripada sekarang.

Sejak 2004 kami sentiasa komited membantu. Setia berdiri di sini menghulur tangan untuk mengajak sesiapa sahaja untuk bangkit dari lena. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk kami terus berdiri dan kita semua cekal bangkit mendepani cabaran masa depan yang kian menghimpit.

Ya betul, ini cuma seminar belajar dan apa kena mengena dengan masa depan? Tapi perlu diingat para pesertanya bukan pelabur atau pendatang asing tetapi anak-anak bangsa yang akan mewarisi tampok ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, doktor, polis, guru, ustaz, mufti, menteri kabinet dan perdana menteri satu masa nanti.

Jadi tunggu apa lagi, JOM gemilangkan masa depan negara kita hari ini! Berbanggalah, keringat, hembusan nafas, kantuk dan demam kita hari ini mencanting molek masa depan negara. Kita tak akan sampai ke mana kalau asyik dengar apa orang kata atau takut dengan bayang-bayang sendiri. Cabaran bukan untuk dijauhi tetapi dihadapi, barulah bernilai kita dilahirkan sebagai insan.

Ya Allah Ya Tuhanku, Kau berkati dan rahmatilah segala jasa dan pengorbanan guru-guruku yang telah bersusah payah mencelikkan mindaku, membangunkan jiwaku dan meneguhkan pendirianku bermula dari aku darjah satu. Amin

Terima kasih.

M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak (Che E)
Perunding Utama AsasInsan Resources & Training
28 Disember 2013