29 December 2013

Tahun 2014 tiada makna?


Assalamu 'alaikum wrt. wbh. & Selamat Menghadapi Cabaran Tahun Baru 2014.

Angka tahun berubah lagi. Kita sambut meriah. Angka hari berubah kita tak sedarpun.Tapi apabila hayat sampai di hujung tempoh angka saat pun kita cakna. Bukan saya yang kata tetapi Tuhan telah mengingatkan, apabila ajal tiba, ia tidak cepat sesaat ataupun lewat sesaat (Surah Yunus: 49). Itulah masa.

Masa akan terus berubah. Pokoknya kenapa kita sebagai manusia selalu berhadapan dengan masalah untuk berubah. Berubah hari ini esok lusa kembali ke takuk lama. Sedangkan kita tak punya masa yang panjang.



Kalau semua sudah selesa, apa perlunya berubah. Kenapa perlu melompat keluar dari balang selesa itu? Ia mungkin selesa bagi kita tetapi tidak bagi orang lain. Kita mungkin selesa datang lewat ke pejabat. Kena marah, tegur, perli hatta hukuman potong gaji sekalipun anda mungkin tanya "ada aku kisah?". Anda mungkin tak kisah tetapi orang lain kisah kerana 'keselesaan' anda ternyata telah dijangkiti virus NSB (Negative Self-Belief) dan menggugat kelancaran tugasan orang lain. Lebih dirisaukan ia selalunya berjangkit.


Senang kata daripada buat. Lidah tak bertulang katalah apa sahaja tapi badan kita ini bertulang-tulang itulah susah nak berubah. Hendak seribu daya tak hendak seribu alasan, tepuk dada tanya kemahuan. Jika mahu berubah pasti ada caranya. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ia bukan jalan biasa yang kita lalu setiap hari mungkin perlu belok sedikit ke kiri atau ke kanan. Sedikit sahaja. Tak tahu bukan alasan sebab malas bertanya sesat jalan. Signboard besar bukan jaminan mungkin kita tersesat jalan. Kalaupun tersesat baliklah ke pangkal jalan. Mulakan sedikit dahulu tetapi selalu. Sikit-sikit lama jadi tabiat.


Cuba kira berapa umur kita sekarang. Cuba kira berapa banyak kejayaan yang telah kita capai. Cuba kira juga berapa kali kita tersungkur gagal. Cuba kira sekali lagi berapa kali kita bangkit dari gagal. Dan cuba kira pula berapa kali kita bersyukur dalam sehari atas segalanya yang kita terima. Tabiat yang hebat kita buat tanpa kita sedar. Tiba-tiba sahaja kita buat. Tak perlu fikir panjang. Lalu sahaja tabung derma di depan mata tangan kanan tanpa disuruh-suruh menyeluk saku dan terus memindah milik berapapun yang ada. Sesiapa yang bersedekah dengan tangan kanan dan tangan kirinya tak tahu, dia mendapat jaminan di padang Mahsyar. Bukan saya kata tapi Nabi SAW yang berpesan. Cuba uji, kita sedar atau tidak?


Tahun baru 2014 tidak akan memberikan apa-apa makna kepada kita. Kitalah sebenarnya yang memberikan makna kepada tahun itu. Sikap baru, pencapaian baru, pejabat baru, pekerja baru, keuntungan baru, perkhidmatan baru, kualiti baru dan semua yang baru-baru. Barulah ada makna. Kami hadir bukan untuk merubah sesiapa tetapi sekadar memudahcara. Semoga program ini ada manfaat.


Terima kasih kerana melayari, membaca dan menonton. Selamat Tahun Baru 2014. Semoga Allah SWT menerima dan memberkati segala amalan kita yang ikhlas keranaNya.

M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak (Che E)
Perunding Utama
ASASINSAN RESOURCES & TRAINING
29 Disember 2013