13 November 2013

Jika si kecil boleh bertindak, kenapa tidak kita?

Masuk sahaja kereta, anak saya Nur Fatimah Zulaikha yang baru darjah dua terus menghulurkan kepada saya secebis kertas fotostat.

Dengan penuh semangat dia bercerita bahawa pagi tadi dia dengan kawan-kawannya tak guna pun duit belanja untuk beli makanan macam biasa sebab mereka guna duit masing-masing untuk fotostat keratan akhbar (Harian Metro) di kedai buku sekolah.


Keratan akhbar itu tentang kisah adik Nur Qaireena Sofea berusia 6 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang yang memerlukan duit lebih kurang RM40,000 untuk kos rawatannya. Mereka buat kempen di sekolah dengan mengedarkan kertas itu kepada rakan-rakan dan guru-guru supaya menyumbang untuk bantu adik kecil yang sakit itu. 


Jika si kecil ini boleh berfikir, merasai dan bertindak untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain, mengapa kita yang dewasa ini sering ragu-ragu, prejudis atau lewat untuk bertindak? Sesuatu yang kecil kita lakukan hari ini mungkin menghasilkan kesan besar pada masa hadapan.

JOM BANTU! Hari ini hari orang lain perlukan kita untuk membantu, esok lusa mungkin hari kita pula memerlukan bantuan orang lain.

Di bawah ini saya petik laporan berita hari ini daripada www.hmetro.com.my

JUMPA DOKTOR ESOK

Kuala Lumpur: Adik Nur Qaireena Sofea Azhar berusia enam bulan yang dikesan menghidap penyakit jantung berlubang akan menjalani pemeriksaan doktor di Prince Court Medical Centre, di sini, esok.

Ibunya, Intan Hazreena Hamidee, 27, berkata, sehingga hari ini tahap kesihatan anaknya tidak banyak berubah dan pemeriksaan esok adalah pemeriksaan biasa.

“Pemeriksaan esok bagi membolehkan doktor melihat tahap kesihatan anak saya terutama lubang pada jantungnya,” katanya.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan rayuan seorang ibu yang memohon sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM40,000 bagi membolehkan anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang menjalani pembedahan segera.

Pemeriksaan doktor mendapati lubang itu membesar sehingga 10.3mm berbanding hanya 10mm ketika pemeriksaan kali pertama.

Selain itu, Nur Qaireena Sofea turut mengalami masalah Patent Ductus Arteriosus (PDA) apabila salur pembuluh darah dipanggil ductus arteriosus gagal menutup secara normal menyebabkan darah bercampur dan oksigen kurang sehingga mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan menulis nama Nur Qaireena Sofea Azhar di belakang cek dan dihantar kepada Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/13 (Boleh baca di sini http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jumpadoktoresok/Article/index_html)

Atau kita juga boleh terus menyumbang ke akaun 1550 1497 3919 Maybank - Intan Hazreena Hamidee (ibu). Dipetik dari http://anajingga.blogspot.com/2013/11/nur-qaireena-sofea.html.

Semoga Allah SWT memberi ketabahan hati kepada kedua ibubapa adik Nur Qaireena dalam mengharungi ujian hebat ini. Amin.

Terima kasih. Wallahu a’lam

Che E
Perunding Utama
AsasInsan Resources & Training