07 August 2013

Selamat Hari Raya Eidul Fitri 1434H

Assalamualaikum wrt. wbh.

Sedar tak sedar kita telah sampai ke penghujung Ramadhan 1434H. Tahniah kepada yang berjaya melalui latihan intensif dalam sekolah Ramadhan tahun ini. Kami percaya ramai yang berjaya melaluinya dengan penuh ketaqwaan dan pasti ada juga yang kurang berjaya. Siapapun kita, berdoalah semoga kita diberi usia yang panjang untuk bertemu dengan Ramadhan lagi. Nabi Muhammad SAW pernah berpesan bahawa sebaik-baik umatnya ialah mereka yang berumur panjang dan baik amalannya. Tahniah!

Di kesempatan ini, pihak pengurusan AsasInsan ingin merakan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pelanggan kami terutamanya kepada organisasi yang berjaya menganjurkan program Terapi Salam Inspirasi Ramadhan 1434H (TSR). Sebanyak 14 siri TSR telah berjaya dilaksanakan bermula 2 Ramadhan. Insyaalah kita akan bertemu lagi dalam siri TSR 1435H.

Alhamdulillah sepanjang siri jelajah TSR 1434H, sebanyak RM4,870 telah berjaya dikumpul untuk tabung derma Palestin yang disalurkan kepada NGO Aman Palestin. Wang derma tersebut telahpun selamat disampaikan kepada NGO tersebut pada 6 Ogos 2013. Terima kasih kepada yang menderma semoga Allah SWT memberkati amal baik tuan-puan dan diperluaskan rezeki hendaknya.

Akhirnya, kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemenangan Eidul Fitri. Semoga segala amalan kita dalam bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT. Kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf dan ampun sekiranya sepanjang kami menyediakan perkhidmatan ada sebarang kekhilafan dan kekurangan. Kami adalah insan-insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Semoga kita semua dikurniakan rezeki yang halal, baik dan berkat oleh Allah SWT.

Minal E'id Wal Faizin, Kullu Aa'm Wa Antum Bikhair.

Penagarah Urusan & Warga Kerja
ASASINSAN RESOURCES & TRAINING