Assalamu ’alaikum buat ibu ayah yang melayari laman blog ini. Terima kasih atas masa yang diluangkan.
Saya pasti, tuan-puan melayari laman blog ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Seminar Aku Remaja Genius! (SARG!) sebuah program motivasi yang akan mengubah perspektif anak-anak remaja kita tentang peranan diri mereka sebagai anak, pelajar, ahli masyarakat dan muslim.
Penekanan yang terlalu tertumpu kepada aspek akademik menyebabkan kita cenderung terlupa memberi perhatian dan penekanan kepada pengukuhan aspek-aspek lain yang sama penting dalam tumbesaran seorang anak remaja.
Bagi kebanyakan kita berapa banyak A dalam peperiksaan adalah terlalu penting. Ramai ibubapa yang menunjukkan kekecewaan terhadap anak mereka hanya kerana si anak tidak mencapai jumlah A yang diharapkan.
Inilah keadaan ibubapa yang sering saya temui dalam mengendalikan program remaja sejak lebih 10 tahun lalu. Soalnya sekarang siapa sebenarnya yang perlukan A tersebut, si anak atau si ibubapa? “Anak I dapat 10A, anak U?”
Keadaan ini berlaku rentetan sistem pendidikan di sekolah yang terlalu berorientasikan peperiksaan yang mengukur tahap pencapaian seorang pelajar berdasarkan berapa banyak A yang dicapai dalam peperiksaan. Rajin tolong guru bukan lagi ciri-ciri hebat yang dinilai dan dihargai di sekolah.
Akibatnya, walaupun si Ahmad seorang anak remaja yang suka menolong orang lain, sopan tutur kata atau rajin ke surau tidak lagi dilihat sebagai HEBAT atau CEMERLANG kerana dia mencapai hanya satu A dalam peperiksaan. Lebih buruk lagi jika tiada A langsung yang dicapai. Pelik bukan?
Keadaan ini telah mempengaruhi ‘pandangan kendiri’ anak-anak remaja kita. Mereka percaya bahawa jika tiada A dicapai dalam peperiksaan maka mereka adalah seorang anak yang gagal, mengecewakan dan merugikan.
Maka, tidak hairan mengapa ramai remaja Melayu terjerumus dalam masalah berkaitan akhlak berbanding remaja bangsa lain. Kenapa?
Jawapannya mudah. Mereka ‘melihat’ diri mereka sebagai tidak lagi bernilai kepada orang lain. Mereka bukan seorang yang cemerlang dalam kelas. Tiada yang suka kepada mereka. Ibubapa tidak pernah bangga dengan mereka. Sanak-saudara tidak pernah teruja untuk bertanya tentang mereka. Guru-guru tidak pernah pun ingat nama mereka.
Apapun yang mereka mahu lakukan terhadap diri mereka (biasanya perkara-perkara yang merosakkan diri) tidak akan merugikan sesiapa kerana mereka sememangnya tidak lagi bernilai. Lantas, tuan-puan bayangkanlah akibatnya. Dasyat bukan?
Inilah juga di antara faktor mengapa ramai pelajar lelaki Melayu keciciran di sekolah dan mengurangkan jumlah mereka yang berjaya masuk ke universiti. Sebaliknya, lelaki jugalah yang menjadi majoriti penghuni pusat pemulihan seperti penjara dan pusat serenti. Rugi bukan?
Tuan-puan yang saya hormati,
Sedikit berbeza dengan anak remaja bangsa lain seperti Cina dan India. Mereka sedari kecil kerap diyakinkan oleh ahli keluarga, sekolah (biasanya jenis kebangsaan) dan masyarakat bahawa setiap mereka ada peranan untuk majukan keluarga, bangsa (dan negara).
Mereka mesti belajar rajin-rajin untuk masa depan. Tapi jika mereka tidak berjaya dalam akademik jangan sesekali rosakkan diri (masa depan) dan mereka mesti berusaha tingkatkan ‘nilai diri’ supaya nanti mereka boleh membantu ‘orang lain’. Apa maksud membantu ‘orang lain’?
Menyumbang. Ya, mereka diasuh agar membesar sebagai seorang yang berkeupayaan untuk menyumbang kepada orang lain. Jika tidak mampu menyumbang idea kerana ‘tidak berapa pandai’ maka mereka mesti boleh menyumbang dari segi tenaga dan kerajinan. Pendek kata, mereka mesti menjadi seorang yang berguna tidak kisahlah berapa banyak A yang mereka capai dalam peperiksaan.
Ini menyebabkan anak-anak remaja bangsa lain mempunyai ‘pandangan kendiri’ yang sangat tinggi dan positif.
Sewaktu saya mengendali kursus motivasi yang melibatkan beberapa orang pegawai kanan sebuah syarikat pengendali lebuhraya, saya bertanya kepada seorang pengurus besar bahagian pengambilan dan latihan jurutol, mengapa tiada orang Cina bekerja sebagai jurutol?
Jawapan yang diberi ialah tiada permohonan daripada mereka untuk menjadi jurutol. Ulasan beliau ialah orang Cina tidak minat dengan kerja tersebut kerana terlalu sedikit peluang untuk membina kemahiran diri.
Seminggu sebelum cuti sekolah hujung tahun lepas, saya telah mengendalikan slot motivasi persediaan cuti sekolah di beberapa buah sekolah termasuk yang berstatus SBP. Apabila ditanya apakah aktiviti masa cuti yang akan mereka lakukan, rata-rata anak-anak kita memberikan jawapan tipikal seperti layari internet, lepak dengan kawan, main video games dan shopping. Tiadakah anak-anak remaja yang sanggup dan mahu melakukan perkara yang membawa manfaat kepada orang lain selain diri mereka sendiri? Contoh, klik di sini.
Kesimpulan yang boleh saya buat ialah anak-anak kita berjiwa kecil, spoon-fed dan hanya tahu ‘membelanjakan duit mak ayah’. Jangan salahkan mereka kerana siapa mereka adalah siapa kita. Kita jarang sedar atau disedarkan bahawa ramai sebenarnya anak remaja yang hebat di luar sana. Mereka jarang ditonjolkan untuk menjadi inspirasi kepada orang lain. Kenapa bukan anak remaja kita yang tampil?
Tuan-puan yang saya hormati,
Matlamat menganjurkan SARG! ialah untuk membantu para ibubapa seperti tuan-puan untuk menyuntik dalam minda dan semangat anak-anak remaja kita bahawa dunia ini luas dan bukan hanya terikat dengan jumlah A yang dicapai dalam peperiksaan.
Jangan takut jika tidak berjaya mencapai A kerana terlalu banyak potensi lain dalam diri yang boleh diterokai, dibangunkan dan dibanggakan. Skor A dalam peperiksaan hanya merujuk kepada kecerdasan minda (IQ). Bagaimana dengan kecerdasan lain yang berpotensi seperti kecerdasan emosi (EQ)? Soalnya sekarang adakah anak-anak kita sedar perkara ini?
SARG! bermatlamat membantu melahirkan anak-anak remaja yang mempunyai perspektif hidup yang luas, estim diri yang tinggi, berkeyakinan untuk bersaing dan berani untuk melakukan sesuatu yang mencabar. Mahu menjadi seorang anak remaja yang ada manfaat kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Hanya mereka yang cerdas EQ dan IQ mampu melakukan perkara ini.
Tuan-puan yang dihormati,
Membesarkan anak-anak sememangnya memerlukan sedikit pengorbanan. Tempoh sebelum anak mencapai usia 20 tahun iaitu fasa remaja adalah saat kritikal (penting) yang perlu diberi lebih perhatian.
Jika kita berjaya membimbing mereka melalui laluan ini dengan selamat maka untuk tempoh yang seterusnya bukan lagi masalah. Mereka pasti boleh membawa diri selepas itu. Kita hanya perlu meneruskan dengan berdoa yang terbaik untuk mereka pada ketika itu. Mereka pasti akan kembali kepada kita dengan cerita yang menggembirakan.
Beri peluang kepada anak-anak remaja tuan-puan menyertai program bermanfaat ini yang dikendalikan dengan cara yang tersendiri dan berbeza daripada program ceramah motivasi yang biasa. Mereka pasti bercerita sesuatu kepada tuan-puan sekembali dari SARG! Itu saya pasti.
SARG! akan menjadi pencetus kepada anak-anak remaja kita untuk menjadi seorang yang tidak memandang rendah potensi dan kebolehan diri sendiri.
SARG! akan memberi idea kepada anak remaja kita bagaimana menetukan apa yang mereka mahu dalam hidup dan mencari kaedah terbaik untuk mencapainya.
SARG! akan membantu anak-anak remaja kita merasa bangga dilahirkan sebagai REMAJA MELAYU MUSLIM!
Saya tunggu anak-anak remaja tuan-puan dalam SARG! 26 Februari ini. Jumpa di sana.
Klik di sini untuk daftar online.
Klik di sini untuk daftar online.
Ikhlas,
Perunding Utama
AsasInsan Resources & Training