Perlukan Kaunseling?

 Jika anda sedang mencari info khidmat kaunseling 
 kerana anda sekarang benar-benar perlukan kaunselor, 
 SILA KLIK DI SINI.

Tetapi jika tidak, dan anda sekadar mencari maklumat tentang kaunseling,
ambillah masa santai anda untuk membaca artikel bermanfaat tentang kaunseling ini.

KAUNSELING BUKANLAH nasihat atau memberi-mendengar nasihat seperti yang difahami oleh ramai orang. Kaunseling ialah sesi membimbing individu untuk mengenal diri dan mengenal pasti punca masalah atau kekeliruan dalam kehidupan dengan matlamat untuk membantu individu tersebut mencari jalan penyelesaian yang wajar berdasarkan kemampuan dan potensi diri yang dimiliki. Bimbingan profesional ini dilakukan melalui proses interaksi bersemuka di antara pakar (kaunselor) dan individu (klien).


Dalam kata lain, kaunseling ialah satu proses profesional di mana seorang kaunselor membantu klien yang sedang menghadapi konflik, masalah atau kekeliruan. Matlamatnya ialah membantu klien untuk mengenal pasti perasaan diri dan punca konflik, masalah atau kekeliruan yang dihadapi. Proses ini dibuat bagi membantu klien menjadi celik akal (berfikiran dengan waras dan wajar) dalam mencari alternatif penyelesaian secara bijak dan rasional menerusi usaha bersama kaunselor.

Kenapa perlu berjumpa kaunselor?
Anda boleh pilih untuk bercakap seorang diri atau menulis berjela-jela masalah anda dalam diari atau blog atau ‘meluahkan’ masalah anda kepada benda lain seperti kucing kesayangan, kereta, pokok atau laut. Adakah anda tenang dan puas selepas itu? Selesaikah masalah anda?

Berapa ramai orang berasa lega, tenang dan ‘JUMPA’ cara untuk menghadapi atau menyelesaikan masalah mereka hanya selepas meluahkan apa jua yang terpendam dalam minda dan hati mereka kepada SESEORANG. Luahkan! Ya, luahkan. Itu adalah fitrah kejadian manusia. Kita perlukan seseorang untuk berkongsi dan meluahkan perasaan. Lupakah kita tentang kisah Nabi Allah Adam a.s. yang awalnya dicipta seorang diri di dalam syurga yang telah sempurna segalanya?

Tiada orang yang hendak mendengar masalah anda? Atau tidak tahu kepada siapa untuk berkongsi cerita pasal masalah yang anda sedang hadapi? Atau orang yang anda berkongsi cerita pasal masalah anda kurang atau tidak memahami anda?

Apabila seseorang menghadapi keadaan ini dan dia sampai kepada tahap buntu, ia boleh menjejaskan kemampuan kognitif (berfikir) dan emosinya. Lantas, ia boleh menyebabkan indidivu tersebut bertindak kurang rasional atau diluar jangkaan. Sebagai contoh, kebanyakan kes bunuh diri adalah bermula daripada situasi sebegini.

Oleh itu, jangan tunggu sehingga keadaan parah. Kaunselor dilatih untuk menjadi pendengar yang baik (a good listener). Itu sebab dalam sesi kaunseling profesional, ‘percakapan’ lebih banyak dibuat oleh klien dan bukannya kaunselor. Kaunselor mendengar, memberi respon di mana perlu dan membuat refleksi supaya anda ‘NAMPAK’ dengan jelas keadaan diri atau punca masalah anda yang sebenar.

Kenapa kaunselor terikat dengan Etika Kerahsiaan?
Dalam sesi kaunseling, kaunselor terikat secara profesional dengan etika amalan kaunselor. Sebagai contoh, etika kerahsiaan (counselor-client privilege) membolehkan anda bebas untuk meluahkan atau berbincang apa sahaja dengan kaunselor dalam sesi kaunseling yang dijalankan kerana setiap kaunselor bertauliah adalah terikat dan dilarang daripada mendedahkan isi perbincangan dalam sesi kaunseling kepada sesiapa pun selain kliennya. Bahkan maklumat peribadi klien dan nota catatan sesi kaunseling mestilah disimpan rapi dalam almari khas berkunci yang hanya boleh diakses oleh kaunselor.

Siapakah sebenarnya Kaunselor?
Di sinilah ramai yang salah faham. Puncanya kerana istilah kaunseling telah digunakan secara meluas tetapi dalam konteks yang jauh menyimpang daripada bidang, displin dan amalan ilmu kaunseling yang sebenar.

Biasa kita dengar orang berkata ingin berjumpa ustaz atau ustazah untuk mendapatkan kaunseling sebab ada masalah peribadi. Ada agensi yang menggunakan istilah kaunseling untuk membantu individu yang terbelenggu dengan masalah hutang dan kewangan. Bahkan kaunseling rumahtangga di jabatan agama yang perlu dilalui oleh pasangan suami isteri yang hendak bercerai juga umumnya tidak mengguna pakai amalan kaunseling yang sebenar. Kurang pasti sampai bila kekeliruan ini akan berterusan.

Umumnya, ramai beranggapan apabila seseorang berjumpa kaunselor maka dia akan mendengar ‘segala macam nasihat’ daripada ‘kaunselor’ untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.  Itu sebab kita mempunyai perspektif yang negatif apabila anak dipanggil oleh guru kaunseling di sekolah atau pasangan suami isteri berjumpa dengan pegawai agama untuk kaunseling atau pekerja dipanggil untuk oleh jabatan HR untuk kaunseling. Mereka mesti bermasalah?

Di sini suka kami jelaskan bukan mudah dan bukan semua orang boleh menjadi kaunselor. Bahkan menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)  adalah menjadi kesalahan mana-mana individu menggunakan gelaran kaunselor jika dia tidak memiliki kelulusan dalam bidang kaunseling, tidak terlatih dan tidak bertauliah sebagai kaunselor sebagaimana yang disyaratkan seperti di dalam akta tersebut.


Kaunselor merupakan seorang pengamal kaunseling profesional yang memiliki kelulusan dalam bidang kaunseling, mendapat latihan formal dan memiliki tauliah amalan di bawah Akta Kaunselor.  Dengan kepakaran yang ada padanya, seseorang kaunselor akan berusaha menjadikan kliennya tenang, gembira atau sekurang-kurangnya bebas daripada tekanan perasaan serta dapat mempercepatkan proses kliennya dalam membuat keputusan yang wajar untuk menghadapi apa jua isu, kebuntuan atau masalah dalam kehidupannya.

Oleh itu, suka kami jelaskan di sini bahawa anda tidak perlu bimbang untuk mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor yang bertauliah. Sama seperti doktor, peguam, ahli farmasi, arkitek dan jurutera. Yang anda perlu bimbang jika individu itu tidak bertauliah tetapi mengaku sebagai kaunselor.

Bahkan motivator juga bukan kaunselor. Sememangnya motivator boleh memberi nasihat dan inspirasi dalam meningkatkan motivasi kita. Tetapi jika dia tidak bertauliah sebagai kaunselor maka dia bukan kaunselor. Perlukan khidmat kaunseling? Klik di sini.


Di Pusat Kaunseling & Motivasi AsasInsan, kaunselor-kaunselor kami adalah berkelulusan dalam bidang kaunseling, terlatih, berpengalaman dan yang lebih penting bertauliah. Kaunselor yang bertauliah adalah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan mempunyai nombor rujukan Sijil Tauliah dan Sijil Perakuan Amalan Tahunan. Untuk kepastian, setiap kali anda mendapatkan khidmat kaunseling sila pastikan ‘kaunselor’ anda mempunyai dua sijil ini. Itu hak anda sebagai klien. Klik di sini untuk baca biodata kaunselor kami.