06 October 2016

Berdoalah tatkala Tuhan memanggil.

“Terima kasih tuan. Satu ceramah yang bagus! Tapi saya rasa apa yang tuan sampaikan tadi pada realitinya sukar dibuat.”

Itu komentar spontan seorang peserta lelaki terhadap ceramah motivasi yang saya sampaikan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban baru-baru ini. Slot ceramah motivasi saya bertajuk ‘Nasi Lemak Kacang Lebih: Rahsia Seronok Bekerja.’

Sukar dibuat? Adakah perkara-perkara yang saya sarankan dalam ceramah itu terlalu bersifat tulus, mulus dan retorik? Sehingga ia kelihatan ‘cantik’ disebut tetapi hakikatnya tiada sesiapa yang mampu mencapainya.

Bukankah seorang motivator sememangnya retorik? Saya periksa maksud ‘retorik’ dalam enjin carian dan ini jawapan yang saya dapat: Language designed to have a persuasive or impressive effect on its audience, but often regarded as lacking in sincerity or meaningful content.

Mungkin saya boleh bersetuju dengan saudara yang memberi komen tersebut tentang susunan kata, tutur bicara dan gaya penyampaian saya. Ia mungkin retorik dalam erti kata bicara saya kelihatan begitu ‘real’ dan bersungguh-sungguh. Sehingga hilang suara saya dua-tiga hari selepas itu.

Tetapi niat saya dalam menyampaikan sesuatu yang baik dan membakar semangat khalayak untuk bergerak ke arah yang lebih baik bukanlah retorik.

Saya bagi contoh. Dalam ceramah tersebut saya pampangkan kiraan mudah untuk jadi ‘kaya’ seperti berikut:

200 bungkus nasi lemak / 8 lokasi = 25 bungkus di setiap lokasi
200 bungkus x RM1.50 sebungkus = RM300 hasil jualan sehari
RM300 sehari x 25 hari berniaga = RM7,500 kutipan kasar sebulan

Jika kos ialah ialah 1/3 daripada kutipan kasar, maka untung bersih ialah RM5,000 sebulan.

Bangun awal pagi setiap hari untuk sediakan 200 bungkus nasi lemak dan edarkan hanya 25 bungkus di setiap 8 lokasi berbeza. 25 bungkus lebih mudah terjual berbanding 200 bungkus. Ini berniaga ala gerila namanya.

Jam 11.00 pagi, saya kata pada hari itu, ialah masa untuk kutip hasil! Saya bertanya pula kepada para peserta, “Jadi petang nak buat apa?” Ada yang menjawab dengan kuat “TIDUR!” sambil disambut dengan gelak tawa seisi dewan.

Jadi adakah saya retorik? Adakah kiraan mudah yang saya tunjukkan itu lacking meaningful content. Maksudnya saya tidak jujur dan semua kiraan itu tidak berasas, tidak betul dan tidak boleh dipakai. Ia sekadar penyedap rasa untuk pembentangan seorang penceramah motivasi.

Betul, saya sendiri tidak pernah menjual nasi lemak. Saya tiada pengalaman menjual nasi lemak. Saya tidak pandai buat nasi lemak. Saya sendiri tidak suka makan nasi lemak. Tapi, kalau makan nasi lemak, saya suka nasi lemak lengkap bukan nasi lemak ‘telanjang’ bak kata Chef Wan.

Cuma, sejak Mei lepas saya baru mula menjual Nasi Lemak Kacang Lebih, bukan nasi tapi buku karangan saya terbitan Must Read Sdn. Bhd. dan boleh dibeli di kedai-kedai buku MPH dan Popular berhampiran anda. Tajuk ceramah saya di HTJ adalah sempena tajuk buku pertama saya ini.

Tetapi apa yang lebih penting ialah, bukan satu kisah benar yang saya tahu tentang ‘jasa’ nasi lemak sebagai talian hayat. Banyak! Saya yakin anda juga serupa. Mungkin lebih hebat kerana anda sendiri tahu atau pernah menjual nasi lemak.

Terbaru sewaktu saya berjalan kaki dari stesyen LRT KLCC ke Menara Lembaga Getah Malaysia untuk menyampaikan ceramah di LGM, saya melintasi seorang lelaki yang berniaga nasi lemak di siar kaki dan kedudukannya betul-betul menghadap menara berkembar tertinggi di dunia. Dia tenang, bersungguh-sungguh melayan pelanggan dan kelihatan cukup ceria.

Maknanya, di situ tegak berdiri menara mercu kekayaan sebuah negara yang menggali minyak dan juga sebuah meja lipat penanda si pengais mencari sesuap rezeki dengan menjual nasi lemak.

Saya pernah dikunjungi oleh seorang bisnesman yang usianya pertengahan 50-an di pejabat saya. Dakwanya dia dan isterinya dahulu masing-masing memandu kereta mewah. Dia mewah dan banyak duit. Tapi hari itu, dia hulurkan resume untuk minta kerja yang sesuai di pejabat saya. “Bisnes saya sudah gulung tikar.” katanya. “Sekarang saya dan isteri menjual nasi lemak di hujung simpang sana untuk sara anak-anak.” Saya gamam.

Semasa saya belajar di universiti dahulu, ada seorang rakan saya hampir setiap malam pergi ke Jalan Chow Kit dan dia biasanya akan balik semula ke asrama sebelum subuh. Satu hari dalam was-was saya bertanya dia “Apa kau buat setiap malam ke Chow Kit?” Rupa-rupanya dia membantu pakcik saudaranya berniaga nasi lemak bungkus di Jalan Chow Kit. Sebungkus RM0.50 dan biasa orang beli paling sikit 2 bungkus. Satu hari dia beri tahu saya yang pakciknya itu baru beli kereta mewah second hand, cash!

Pastinya ini bukan retorik. Semua kisah ini benar. Benar-benar terjadi kepada insan-insan hebat di luar sana. Menjadi inspirasi buat kita yang masih lagi tercari-cari.

Suka saya petik pesanan Steve Jobs: “And the only way to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking. Don’t settle. As with all matters of the heart, you’ll know when you find it.”

Seronok mencari rezeki adalah kunci kebahagiaan. Setiap rezeki yang sampai kepada kita adalah kiriman penuh kasih sayang daripada Tuhan yang maha Pencipta. Dia beri apa yang kita perlukan.

Berdoalah tatkala menerima rezeki kerana saat itu Tuhan sedang memanggil anda. Dalam ceramah saya di HTJ, saya ada kongsikan sepotong ayat Al Quran yang baik dibaca tatkala menerima rezeki, Surah As-Sad 38:54. Tapi sayang, berapa ramai yang dengar panggilan Tuhan. Kita merungut, mencebik dan komplen pada rezeki yang tiba. Sikit, tak cukup, balik-balik yang sama. Sedang Tuhan lebih tahu apa yang kita perlukan. Bersyukurlah.

Beli dan baca buku Nasi Lemak Kacang Lebih untuk ketahui lebih banyak rahsia dan petua mencapai keseronokan dalam bekerja. Wallahu a’lam.

Terima kasih kerana membaca.


Che E