20 July 2014

Bengkel Persediaan Psikologi Peperiksaan 2014



Persediaan terbaik untuk mencapai keputusan hebat dalam peperiksaan bukan sekadar membuat ulangkaji. Kawalan gemuruh, kecergasan, kesihatan, kecerdasan, motivasi dan keseimbangan emosi penting untuk calon-calon peperiksaan. Bolehkah semua itu diperolehi dengan hanya membuat ulangkaji?

Sama seperti ahli sukan, pemain bola sepak atau badminton sebagai contoh. Membuat latihan bermain (sama seperti ulangkaji dalam belajar) akan memberikan mereka kecekapan, kemahiran dan seni dalam bermain. Tetapi tanpa kekuatan minda, psikologi dan fizikal yang mantap, kemahiran bermain semata-mata sukar menghadiahkan kemenangan kepada mereka. Lihat dan nilailah sendiri. Pasukan Piala Thomas negara kita tewas kepada pasukan Jepun bukan kerana pemain kita tidak mahir bermain tetapi mereka sedikit kurang mantap dari segi psikologi. Mungkin perkara sama terjadi kepada pasukan Brazil dalam Piala Dunia yang baru sahaja berakhir.

Melalui pengalaman kami mengendalikan program motivasi persediaan psikologi peperiksaan sejak 10 tahun lalu, kami dapati majoriti calon SPM tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam menghadapi peperiksaan penting tersebut. Mereka langsung tidak menetapkan sasaran skor yang ingin dicapai. Rata-rata mereka belajar ikut rasa (mood) sahaja. Sampai masa jawablah apa jua soalan yang tertera dalam kertas soalan. Kemudian tunggulah apa jua keputusan yang bakal keluar. Selepas itu mohon apa sahaja kursus pengajian tinggi yang layak dengan keputusan yang diperolehi. Kalau langsung tak layak, kerja. Fuh, sungguh mudah hidup mereka. Bukan seorang dua tetapi majoriti pelajar yang kami temui.

Mengajar para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti SPM bukan satu tugas yang mudah. Kami yakin itulah yang dilalui oleh guru-guru. Tugas ini menjadi bertambah mencabar apabila kelompok pelajar yang diajar langsung tidak mempunyai perspektif dan halatuju yang jelas tentang masa depan mereka sendiri. Guru-guru penat menolak sedangkan mereka bergerak pun tidak mahu. Yang anehnya kenapa kelompok ini majoriti?

Tetapi bagi para pelajar yang mempunyai matlamat yang jelas sejak dari awal, estim diri, cara blajar dan keberhasilan mereka ternyata berbeza. Kalaupun tidak mencapai keputusan luar biasa mereka tetap terkelompok dalam golongan yang berjaya. Golongan ini dengan sedikit tolakan dari guru, ibubapa, rakan atau sesiapa sahaja, mereka terus meluncur laju.

Sekadar menyalahkan yang majoriti tidak akan merubah apa-apa. Bahkan kita akan kekal ditakuk lama. Maka, ambillah langkah proaktif dan berdoa. Melalui program ini, walaupun singkat ia ternyata telah membantu ramai pelajar yang kebanyakannya dari kelompok majoriti di atas. Program ini juga menjadi pengukuh dan pencetus semangat kepada golongan minoriti di atas.

Dengan kadar yuran kami yang sangat berpatutan dan dikendalikan oleh perunding profesional kami yang berpengalaman luas, kami yakin banyak sekolah boleh menganjurkan dan memperoleh manfaat daripada program ini.

Membiarkan anak-anak bangsa kita belajar tanpa haluan bagai mencurah air ke daun keladi atau mencurah garam ke laut, sia-sia. Bimbang esok tugas mulia kita mendidik mereka menjadi beban tak terpikul apabila kita diaudit di mahkamah Tuhan kelak lantas kita sekadar mengajar menghabiskan masa yang telah dijadualkan. Tugas mendidik anak-anak bangsa bukan sekadar menghabiskan lembaran bercetak dalam buku teks tetapi memimpin mereka untuk merentas laluan masa depan yang cukup beranjau.

Laluan masa depan boleh disuluh dengan perspektif, halatuju dan matlamat yang jelas. Soal sampai ke destinasi atau tidak, itu babak kedua. Yang penting matlamat mesti dijelaskan. Jika ia tidak dijelaskan maka kita membiarkan anak-anak bangsa kita meredah masa depan mereka dengan mata terbuka tetapi dalam laluan yang gulita tanpa cahaya.

Selamat maju jaya kepada semua adik-adik yang bakal menduduki PT3, SPM, STAM & STPM 2014.

Untuk organisasi atau sekolah yang berminat menganjurkan bengkel ini, sila berhubung terus dengan Unit Pemasaran AsasInsan di talian 03-89222934.