31 October 2012

Motivasi Untuk Ibu Dan Ayah? Jom Cuba Sekali..!

Alhamdulillah, nampaknya berderu-deru panggilan telefon yang kami terima daripada ibubapa yang bertanyakan tentang kem motivasi anak-anak sempena cuti sekolah yang tak lama lagi. Pendaftaran untuk Kem I'bad Siri Pertama di Masjid Negara pada 11-13 Disember 2012 juga telahpun ditutup. Tahniah kami ucapkan kepada ibubapa yang amat prihatin.

Cuma untuk kali ini, saya ingin mengajak ibubapa pula untuk menyertai program motivasi. Tiap-tiap tahun anak-anak kita 'hantar' sertai program motivasi untuk 'proses' menjadi anak-anak yang soleh dan taat. Tetapi berapa kerap pula kita sebagai ibubapa pergi program motivasi untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan semangat untuk menjadi ibubapa soleh dan cemerlang kepada anak-anak kita?

Sangat besar faedah dan kesan apabila ibubapa menyertai program motivasi berbanding anak-anak. Jika anak-anak menyertai program motivasi, jangkaan dan harapan kita ialah agar dia berubah menjadi lebih baik. Jarang kita mengharapkan dia akan membantu merubah ibubapanya.

Tetapi apabila si ayah yang menyertai program motivasi, bukan sekadar si ayah yang dapat berubah bahkan ia akan memberi kesan kepada si ibu, anak-anak dan juga ahli keluarga yang lain. Contohnya, dalam program motivasi kita kerap menyarankan anak-anak untuk menunaikan solat fardhu di awal waktu dan berjemaah. Ia hanya tinggal saranan apabila mereka kembali ke rumah kerana majoriti ayah gagal menjadi imam di rumah kepada si ibu dan anak-anak. Beratus kalipun si anak sertai kem motivasi, jika si ayah tidak mulakan maka tiada apa yang boleh diharapkan. Hendak harapkan si anak menjadi imam kepada si ayah? Bila agaknya?

Namun, jika si ayah yang sertai program motivasi dan terjentik hati kecilnya untuk komited dengan solat berjemaah selepas itu, ia lebih mudah 'mengajak' si isteri dan anak-anak untuk menyertainya. Perubahan dalam rumahtangga akan lebih mudah berlaku. Subhaanallah.

Jadi, jom kali ini kita buat sedikit kelainan. Mula-mula biarkan anak-anak kita berseronok dalam kem motivasi yang mereka sertai. Selepas itu kita pula sebagai ibu dan ayah mengambil tempat. Yang pasti, sedikitpun tidak rugi menyertai program motivasi. Saya teringat kata-kata Sahibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Sembilan sewaktu merasmikan Kem I'bad di Masjid Ar Raudhah, Senawang, Negeri Sembilan pada tahun lepas, "kepada ibu ayah sekalian, jangan risau dengan duit yang kita belanjakan untuk anak-anak menyertai program ini. Jika kita ikhlas demi tugas sebagai ibubapa, insyaallah semuanya Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik."

Apabila semuanya telah tersuntik dengan semangat, pengetahuan dan kesedaran baru, cuba bayangkan apa akan berlaku tahun hadapan? Insyaallah kita berdoa semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita untuk membentuk sebuah keluarga yang diredhaiNya. Bertindaklah segera kerana kita tidak tahu bila masanya kita hanya mampu berharap doa daripada anak-anak yang soleh sebagai bekalan.

Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan BENGKEL KENALI ANAK.

Terima kasih. Wassalam

Che E
Motivator/Perunding Utama AsasInsan Resources & Training