04 November 2010

Jemputan Kepada MASJID-MASJID Selangor & KL

Sedar tak sedar sekarang kita sudah pun masuk bulan November 2010. Ini bermakna tidak lama lagi anak-anak kita yang bersekolah akan bercuti panjang. Bahkan ramai anak-anak kita ada yang sudah mula liat nak ke sekolah kerana telah mula menghidapi sindrom cuti. Itu lumrah, tiada apa yang perlu dirisaukan.

44 hari bercuti bukan satu tempoh masa yang sikit. Banyak perkara boleh dilakukan dalam tempoh itu. Bagi anak-anak peniaga inilah masa terbaik untuk mereka turun membantu ibubapa berniaga samada di kedai atau pasar malam sambil menajamkan lagi ilmu bisnes walaupun masih 'budak-budak'. Soalnya berapa ramai orang kita yang berniaga yang boleh bagi peluang sebegini kepada anak-anak? Ada tapi mungkin tak ramai.

Bukan berniaga yang saya nak sentuh di sini. Sebenarnya saya ingin bertanya tuan-tuan dan puan-puan yang mungkin membaca ruangan ini, berapa ramai dari kalangan kita (ibubapa dan anak-anak) yang akan memasukkan masjid dalam senarai sebagai salah satu destinasi yang akan dikunjungi sempena cuti sekolah akan datang ini? Aahah! Sesuatu yang menarik untuk kita renungkan bersama.

Atas dasar itu, kami di AsasInsan sentiasa membuka ruang selebar-lebarnya kepada pengurusan Masjid dan Surau atau jawatankuasa penduduk untuk bekerjasama menganjurkan Kem Kembara Ibadah dan Jatidiri Remaja atau lebih dikenali dengan nama I'BAD Camp!@MASJID khusus untuk anak-anak kita yang berusia dalam lingkungan 10-17 tahun sempena cuti sekolah ini.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, sambutan ibubapa dan anak-anak terhadap program ini sangat luar biasa. Yang pasti mereka teruja apabila melihat bagaimana kami 'menukar' suasana dan persekitaran masjid menjadi tak ubah seperti sebuah camp site. Anak-anak kita secara tidak semena-mena, minat dan terkinja-kinja hendak ke masjid! Bukankah itu suatu yang menarik?

Masjid adalah sebuah INSTITUSI Pembangunan Jiwa untuk ummah yang dinamik. Oleh itu, pendekatannya juga mesti dinamik. Untuk memikat lebih ramai masyarakat Islam ke masjid, pendekatan Masjid juga perlu pelbagai dan menarik. Masjid bukan tempat solat semata-mata. Pandangan tersudut ini perlu kita kikis. Jika tidak masjid akan kekal sebagai sebuah binaan batu yang kaku yang bakal usang dan akhirnya rebah ditelan peredaran zaman memahat sejarah untuk bacaan generasi akan datang.

Oleh itu, sejak 2004 kami telah membangunkan modul kem ini sebaiknya agar mampu membimbing anak-anak kita menghabiskan masa cuti dengan lebih bermanfaat dan berkesan. Bukan sekadar berehat, lepak dan membuang masa.

Kepada ibubapa, kesediaan tuan-tuan dan puan-puan mengizinkan anak-anak menyertai program ini dan sumbangan RM120 sebagai yuran penyertaan pasti berbaloi. Untuk tahun 2010 ini, kami telah memasukkan elemen/ pengisian baru yang cukup menarik dan berbeza pada hari terakhir kem iaitu slot Mak Ayah Sayang Kamu... iaitu slot istimewa motivasi kekeluargaan yang patut dihadiri oleh semua kita yang bergelar ibu dan ayah. Jangan lepas peluang ini. Tonton klip, sila klik di sini.

Jika tuan-tuan dan puan-puan tinggal di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, silalah bertanyakan dengan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid atau Surau di tempat tuan berkenaan program ini. Kami telahpun menghantar surat jemputan kepada 500 masjid dan surau untuk menjadi penganjur program istimewa ini.

Oleh itu, saya amat berbesar hati mewakili pihak pengurusan AsasInsan, mempelawa mana-mana Masjid dan Surau terutamanya sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk menghubungi kami dan seterusnya berbincang berkenaan cadangan ini. Pihak kami mensasarkan untuk menganjurkan kem ini pada tarikh-tarikh berikut:

Masjid 1: 3-5 Disember 2010
Masjid 2: 10-12 Disember 2010
Masjid 3: 17-19 Disember 2010
Masjid 4: 24-26 Disember 2010 - Ditempah oleh MASJID HIDAYATUL MUNTAQIN, SHAH ALAM


Harapan saya semoga usaha kita pada hari ini yang berterusan walaupun kecil akan memberi kesan besar kepada ummah pada masa akan datang. Insya Allah.

Wallahu A'lam.

M.K. Fuad Hj. Che Ab. Razak (Che E)
Perunding Utama
ASASINSAN RESOURCES & TRAINING