Assalamu ‘alaikum wrt. wbh.
“Tuan-tuan dan puan-puan hadir ceramah ini sebab tengok gambar saya atau
tajuk ceramah dalam poster?” Tanya saya kepada hadirin dalam slot ceramah
kekeluargaan sempena Progam Semarak Ilmu di MAMPU Jabatan Perdana Menteri baru-baru
ini.
Kedengaran suara majoriti menjawab serentak “Tajuk ceramah!”. Saya
bertanya soalan ini sekadar ingin membuktikan kepada pegawai penyelaras
program, seorang pegawai kanan wanita yang kelihatan cukup trampil dan
dedikasi, bahawa dakwaan saya betul.
Sewaktu saya tiba di lokasi program, saya lihat poster promosi slot
ceramah yang bakal saya kendalikan terpampang di beberapa sudut strategik
termasuk di dalam lif. Poster tersebut bagi saya direka cukup menarik. Cuma
satu perkara yang menggusarkan dan membuat saya berfikir ialah foto saya juga
terselit dalam poster tersebut.
Saya faham mengapa promosi program sebegini mesti dibuat bergrafik,
menarik dan membujuk (compelling). Ia majlis ilmu, perlu berfikir, menaakul dan
membuat analisis kendiri, bukannya acara hiburan.
Jujur dan tegas saya katakan kepada pegawai wanita tersebut sewaktu kami
mula-mula bertemu bahawa tiada perlunya foto saya diletakkan dalam poster
tersebut. Ia tidak akan mempengaruhi jumlah kehadiran peserta. Tanpanya peserta
tetap akan hadir.
Manusia adalah makhluk visual. Tingkahlaku kita memang mudah dipengaruhi
melalui kesan visual. Mari kita uji. Bayangkan anda baru sahaja masuk ke bilik
hotel dan mendapati di atas meja ada nota tertulis ‘Bilik Ini Seram’. Apakah
yang anda akan lakukan? Dan cuba bayangkan pula jika bukan nota yang diletakkan
tapi foto seram berambut panjang dengan sedikit catatan ‘Ada Dalam Bilik Ini’.
Yang mana satu membuatkan anda lebih cepat untuk minta bertukar ke bilik lain?
Dalam kempen pilihanraya, foto calon-calon yang bertanding akan
terpampang di merata tempat. Tujuannya untuk memperkenalkan calon parti
masing-masing kepada rakyat yang bakal mengundi.
Namun dalam politik, biar tampan wajah calon yang dipampang dalam poster,
akhirnya rakyat akan memilih calon atau tokoh yang ada substance bukan berwajah
segak tapi cakapnya kosong. Jadi kepada calon-calon pilihanraya jangan marah
jika ada poster wajah kalian yang dikoyak, diconteng, didialogkan dan diedit
bertanduk bertaring. Kenali rakyat sebelum anda mahu dikenali.
Berbeza pula halnya dengan rokok. Kesan visual nampaknya seperti kurang
menjadi untuk menurunkan nafsu perokok. Grafik ngeri yang dicetak pada kotak
rokok seolah-olah menambah selera para perokok. Kesan ketagih mengatasi kesan
visual.
Tetapi tidak pasti apa kesannya jika ditulis pada kotak rokok ‘Ini
Mungkin Kotak Terakhir Anda, Peluk Eratlah Mereka Yang Tersayang Dan
Wasiatkanlah Rokok Yang Terakhir Kepada Anak Kesayangan Anda.’ Gantikan grafik
penyakit dengan grafik jenazah berkafan putih dalam liang lahad. Hendak seribu
daya tak hendak macam-macamlah alasan kita beri.
Berbalik kepada promosi program ilmiah berfoto, saya berpandangan kita
jangan tersilap dalam membentuk minda dan persepsi masyarakat. Biarlah ilmu
yang menjadi penarik bukan individu. Kita elak bibit-bibit budaya pengidolaan
atau dalam istilah yang agak keras ‘pemberhalaan’. Semak kamus dan lihat kata
asal idola.
Mungkin inilah hikmahnya Islam melarang memvisualkan figura para Nabi.
Mengelak pemberhalaan. Tanpa visual atau foto para Nabi khususnya Nabi Muhammad
SAW, Islam tetap sampai kepada kita walaupun terjarak lebih 1,400 tahun daripada baginda. Lihat apa yang terjadi kepada agama Kristian. Graham E. Fuller dalam
bukunya A World Without Islam menulis bahawa orang Islam sering menegaskan
bahawa kerja-kerja seni yang mempersenda para Nabi termasuk Jesus (Nabi Isa AS)
adalah berdosa. Bahkan menurutnya lagi orang Yahudi dan Islam tidak boleh
menerima apabila orang Kristian memvisualkan Jesus dalam bermacam rupa.
Biarlah orang ramai berbondong-bondong masuk ke dewan orang ramai,
masjid, stadium, auditorium atau padang kerana terhidu wanginya ilmu yang bakal
ditimba dan mengangkat darjat diri, bukan kerana terpesona ingin melihat kelibat-kelibat
fatamorgana, yang kalau bernasib baik dapatlah disalam atau diselfie tapi yang
pasti tidak boleh dibawa balik.
Pesan saya kepada penyampai-penyampai ilmu dalam apa jua bidang di luar
sana, jauhi perasaan suka dipuja dan suka diberhalai. Takut-takut kalian
memperdaya bukan mendaya.
Terima kasih kerana membaca. Allah sahajalah yang Maha Tahu.
Che E