Tiba-tiba perut terasa
kecut. Darah gemuruh pantas menyelinap dan terasa sejuk seluruh badan. “Apa
aku nak cakap ni?” soal saya pada diri sendiri padahal semua persiapan
telah saya buat. Jarang-jarang saya berperasaan sedemikian.
Minggu lepas dalam sebuah
bilik persidangan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, duduk
berhadapan dengan saya ialah dua orang ilmuan bertaraf profesor, Prof. Dr. Ahamad
Tajudin Khader dan Prof. Madya Dr. Putra Sumari. Sebelah kanan saya, Puan
Norlia Mustaffa seorang pensyarah kanan berpengalaman. Di sekeliling saya, kiri
dan kanan, ada ramai lagi ilmuan bertaraf serupa seperti tiga individu di atas.
Saya dijemput untuk mengendalikan program Klinik Motivasi Peningkatan Kualiti
Kerja.
Satu lagi pengalaman yang
hampir serupa sewaktu saya mengendalikan slot motivasi kerja dalam satu seminar
yang dihadiri hampir 60 orang pakar dan pegawai perubatan. Kita panggil mereka doktor
dan doktor pakar. Ada pakar jantung, pakar kanak-kanak, pakar bius, pakar
psikiatri dan macam-macam kepakaran lagi dalam bidang perubatan. Di sini saya
kenal Dr. Wan Mohd Razin Wan Hassan, Pakar Perubatan Dalaman yang bertugas di
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Perasaan tidak keruan seperti
ini pernah juga saya rasa sebelum bergelar perunding motivasi. Waktu temuduga
pentauliahan peguam syarie, saya dikelilingi oleh 11 orang tokoh dan pakar
dalam bidang agama dan perundangan syariah dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Saya
masih ingat antara yang mengajukan persoalan untuk saya jawab ialah Sahibus
Samahah Dr. Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan sekarang. Pada waktu
itu beliau belum lagi bergelar mufti tetapi cukup terkenal sebagai seorang agamawan.
Kenapa saya kecut perut
dalam tiga situasi di atas? Secara psikologinya apabila kita bertembung dengan situasi
yang menggugat kebiasaan (conformity) dan wilayah selesa (comfort zone) kita, minda
bawah sedar kita akan memberi tindak balas spontan bagi membolehkan diri kita
menyesuaikan diri dengan situasi baru tersebut. Gemuruh adalah reaksi semula
jadi dalam sistem tubuh badan kita.
Picu gemuruh terpetik
kerana kita secara tanpa sedar telah meletakkan diri kita dalam realiti orang
lain. Tiba-tiba merasa diri kita berbeza dan kerdil atas faktor realiti kepakaran
yang dimiliki oleh khalayak yang kita depani. Justeru bagaimana saya menangani
situasi ini?
Pertama saya cepat-cepat putarkan
dalam minda “Aku adalah aku. Aku bukan mereka. Mereka bukan aku!” Jadilah diri anda
sendiri. Tidak perlu sama sekali menjadi khalayak anda. Percayalah khalayak
akan menghormati anda jika anda berjaya menampilkan diri anda yang tulen dan
sebenar, bukan berpura-pura.
Tampilkan diri untuk
dihormati bukan untuk dikagumi. Diri anda mesti ada kelebihan dan itulah
sebabnya anda berdiri di hadapan mereka. Khalayak tidak tahu wibawa (credibility)
diri anda sehinggalah anda memulakan bicara. Tegakkan postur badan, pandang
mereka dan mulakan dengan yakin tanpa teragak-agak. Jika langkah pertama ini berjaya
anda lakukan, darah gemuruh akan berlalu pergi dan pentas itu adalah milik
anda.
Kedua, jangan sesekali merendahkan
diri sendiri. Jika anda menjadi orang pertama yang merendahkan diri sendiri, maka
tiada sebab untuk khalayak menghormati dan mempercayai anda. Tidak perlu
perkenalkan kelemahan diri anda, khalayak tidak mahu mendengarnya.
Namun, ia bukan bermakna
anda perlu membesar diri. Anda mestilah menjadi orang pertama yang merendah (tanpa
‘kan’) diri. Tunjukkan nilai tinggi yang ada pada diri anda iaitu sentiasa
mengiktiraf, menghormati dan menghargai siapapun khalayak anda. Belajar perkara
ini, hormatilah orang lain terlebih dahulu sebelum anda berhak dihormati.
Ketiga, berbicaralah dengan bahasa dan nada yang selaras dengan status khalayak anda. Ternyata anda perlu membuat sedikit kerja rumah (homework) untuk memahami siapa khalayak anda. Jangan anggap semua khalayak sama. Pengalaman anda bertahun-tahun bukan alasan untuk anda menggunakan satu gaya bahasa yang sama untuk semua khalayak anda.
Jangan sampai khalayak anda
terasa dihina, dipermain atau dipandang rendah. Contohnya, dalam berbicara, lelucon
(humour) baik untuk menyegarkan emosi khalayak tetapi perlu diselit dengan
cermat, berhemah dan bermakna. Ramai penceramah cenderung untuk berlebihan dan
kadang-kadang berbohong semata-mata untuk memastikan lawaknya menjadi. Itu persis
slapstick, elakkan.
Keempat, jangan jadi ‘makhluk
asing’ hanya kerana anda berbeza bidang dengan khalayak anda. Khalayak akan ‘menolak’
anda jika anda gagal mencapai frekuensi yang sama dengan mereka. Frekuensi yang
betul membolehkan anda menembusi minda bawah sedar mereka lantas menerima anda.
Sebut, ulas dan kongsikan
beberapa perkara yang lazim bagi khalayak anda. Perkara yang memang mereka
lakukan. Perkara lazim tersimpan dalam minda bawah sedar. Sekali lagi anda perlu
membuat kerja rumah (homework). Tidak perlu tunjukkan yang anda tahu segalanya,
cukup sekadarnya. Melakukan perkara ini akan menghantar mesej kepada khalayak
anda bahawa anda prihatin, ambil tahu dan belajar tentang mereka.
Kelima, jangkakan
perbezaan pendapat. Jika bicara anda membugar budaya berfikir maka capahan
pandangan dan idea pasti berlaku. Khalayak memberi respon dan bukan mendengar
semata-mata. Dalam hal ini, saya terkesan dengan teknik ‘Be Agreeable’ yang
dikongsi oleh motivator Brian Tracy dalam bukunya The Power of Self Discipline;
No Excuses.
Elakkan perdebatan dan buatlah
supaya orang lain seronok berbicara dengan anda walaupun apa yang dia kata mungkin
langsung tidak masuk akal atau bertentangan dengan pandangan anda. Sewaktu
mereka menyuarakan pandangan, anda dengar sebaiknya, senyum seikhlasnya, angguk
tanda cuba memahami dan tanya soalan jika perlu. Untuk menang dalam perdebatan,
elakkanlah perdebatan.
Sampaikanlah daripadaku
walaupun satu ayat. Itu pesan Nabi SAW buat kita semua yang bertugas sebagai ‘penyampai
mesej’. Samada anda penceramah, guru, pensyarah, khatib, ustaz, ketua jabatan,
penyampai radio, politikus mahupun DJ kenduri kahwin, sampaikanlah yang benar sahaja
dengan cara yang benar. Baginda Nabi SAW, dilatih Tuhan 40 tahun sebelum
dilantik menjadi Penyampai risalahNya yang benar.
Semoga perkongsian ini
bermanfaat. Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam.
Che E