Seorang bapa muda bertanya semasa sesi
soal jawab dalam Forum Kekeluargaan sempena Jelajah Generasi Idaman Selangor
(GeMS) di Kuala Selangor pada 23 Oktober lepas, soalnya “berapakah usia paling
awal untuk melatih anak berniaga?”.
Tiada jawapan spesifik untuk soalan ini. Jika anak anda mahu berniaga sedangkan dia masih di tadika, apa salahnya. Saya secara peribadi melibatkan anak-anak saya dalam aktiviti perniagaan saya
sejak mereka bayi lagi. Tidur, mandi, bermain, melukis, solat, buat kerja
sekolah, ulangkaji dan macam-macam lagi di tempat saya berniaga.
Tetapi sebelum itu perlu diingat perniagaan
dan duit tidak boleh dipisahkan. Oleh sebab itu penting untuk terlebih dahulu membentuk
perspektif yang betul tentang duit dalam minda anak anda sebelum melatihnya ‘berniaga’.
Pendekatan ini juga baik bagi ibubapa yang bekerja makan gaji.
Apa anak anda fikir tentang duit?
Aiskrim, mainan, ‘jajan’, kantin, tabung, hari raya, habiskan, sedekah, simpan
atau cari?
Anak kecil tidak mengerti tentang nilai
duit dengan sendirinya. Ibubapalah yang membentuk pandangan anak terhadap duit.
Simpan atau belajakan.
Bermula dari kecil didiklah anak anda
untuk melihat duit sebagai perkara yang bernilai, perlu usaha untuk mendapatnya
dan mesti disimpan untuk dapat lebih banyak. “Money is not taught in schools.”
Tulis Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad.
Perkenalkan tabung kepadanya seawal mungkin.
Balik dari pejabat, semua duit syiling dalam poket anda serah padanya dan asuh dia
untuk masukkan semua ke dalam tabung. Lakukan setiap hari seawal usianya satu
tahun.
Begitu juga di masjid. Jika anda hanya masukkan
duit syiling ke dalam tabung masjid, maka anak-anak akan ‘memahami’ bahawa nilai
duit dalam bersedekah biarlah yang sedikit. Justeru berhati-hati dengan
tindakan anda agar anda tidak tersilap dalam mendidik anak.
Mengizinkan anak membeli benda-benda
remeh seperti makanan ringan, permainan dan ‘tikam-tikam’ sebenarnya anda menanam
dalam sistem fikirnya bahawa duit tidak bernilai. Apatah lagi jika ia sedikit,
seringgit atau duit syiling.
Memburukkan lagi keadaan apabila anak-anak
melihat ibubapa sendiri sewenang-wenangnya berbelanja untuk perkara-perkara yang
kurang berfaedah. Tak perlulah saya senaraikan perkara-perkara tak berfaedah
tersebut di sini. Faham-fahamlah sendiri.
Natijahnya, anak-anak sukar menghargai
duit dan akan berbelanja acapkali memiliki duit biarpun sedikit. Mereka sukar
menyimpan. Tabiat menyimpan hanya mudah diasuh jika seseorang menghargai nilai
duit.
Ada graduan yang baru mula bekerja kelabu
mata melihat duit gaji yang banyak. Wah! banyaknya duit aku. Mereka bandingkan
duit belanja saraan ibubapa semasa di kolej dengan duit gaji yang diterima,
memanglah banyak bezanya. Mereka berbelanja semahu-mahunya. Maka tidak
hairanlah mengapa PTPTN berhadapan kesukaran untuk mengutip hutang mereka.
Jika anda seorang peniaga, adalah penting
untuk ‘melibatkan’ anak anda sejak dia kecil dalam perniagaan anda. Melibatkan di
sini bermaksud membiarkan anak anda melihat betapa mendapatkan duit memerlukan
usaha dan kesungguhan. Bukan hanya dengan tekan-tekan nombor di mesin ATM atau
meleretkan kad-kad kredit.
Kelebihan ibubapa yang berniaga berbanding
mereka yang makan gaji ialah anak-anak boleh nampak dengan jelas ‘usaha dan kesungguhan’
atau susah payah mereka dalam mendapatkan duit. Lantas lebih mudah untuk asuh
mereka menghargai nilai duit.
Lihat sahaja anak-anak peniaga pasar
malam yang duduk sama di gerai ibubapa mereka. Adakah pandangan mereka tentang ‘usaha
mencari duit’ sama dengan anak-anak yang tidak pernah langsung nampak bagaimana
keadaan ibubapanya berkerja di pejabat. Yang dilihat lebih mudah difahami
berbanding yang hanya didengar.
Namun begitu, dengan melihat anda berniaga
sahaja tidak menjadikan anak-anak anda menghargai nilai duit dengan sendirinya.
Anda tetap perlu mengasuhnya.
Budaya dan gaya hidup hari ini lebih
banyak mengajar anak-anak kita untuk berbelanja berbanding mendapatkan dan
menyimpan duit. Lihat sahaja di sekolah. Ada kantin, kedai koperasi dan penjaja
luar pagar. Kadang-kadang ada juga guru yang berniaga. Seringgit sudah tiada
nilai.
Tidak salah untuk berbelanja. Tetapi asuh
anak anda untuk berbelanja kepada perkara-perkara yang signifikan, bernilai dan
perlu. Ajar mereka tentang beza keperluan dan kehendak.
Si A: ada RM1, belanja untuk keperluan = baki
RM0.20 (boleh, mudah, cepat kaya)
Si B: ada RM1, belanja untuk kehendak = habis
(tidak, lambat atau susah kaya)
Tidak salah berbelanja untuk anak-anak untuk
nafkah dan sebagai tanda kasih sayang. Cuma perlu diingat tabiat berbelanja anda
boleh menghantar mesej salah kepada anak-anak tentang duit. Duit dan anak anda
adalah pilihan anda, saya sekadar berpandangan.
Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam.
Che E