Setiap hari
kita berinteraksi dengan orang lain. Samada ahli keluarga, rakan di pejabat, jemaah
di surau atau masjid, pelanggan mahupun dengan orang lain yang tidak dikenali.
Bahkan hari
ini, interaksi kita tidak terbatas sekadar interaksi verbal tetapi juga
interaksi non-verbal khususnya melalui pelbagai aplikasi komunikasi dalam
talian. Hari ini, tanpa bertemu sesiapa pun sebenarnya kita berinteraksi.
Persoalannya,
sejauh mana interaksi kita dengan orang lain memberi manfaat kepada diri kita
sendiri dan orang lain?
Manusia adalah
makhluk sosial iaitu memerlukan kepada orang lain untuk hidup dengan sempurna
dan mencapai makna hidup yang sebenar. Umum mengetahui, individu yang terasing
dari orang lain atau hidup sebatang kara jarang sekali bahagia.
Hatta,
penghuni pusat tahanan juga diberi ruang untuk berinteraksi dengan orang lain
walau dalam keterbatasan.
Dalam Bengkel
Efikasi Diri™ yang dianjurkan oleh Pusat Citra Universiti UKM pada 3 dan 4 Ogos
2016 yang lalu, saya ada berkongsi beberapa tip ringkas, praktikal dan mudah
untuk membina hubungan yang baik dengan orang lain.
Saya
Penting
Secara
fitrahnya setiap manusia lahir dengan perasaan ‘diriku penting’. Itu sebab kita
memerlukan rasa hormat, kepercayaan, pengiktirafan dan pujian daripada orang
lain.
Seseorang adalah
bijak dalam berinteraksi apabila dia berjaya ‘memberi’ perkara-perkara ini
kepada orang lain yang sedang berinteraksi dengannya. Samada orang lain itu
pasangannya, anak, jiran, imam surau, rakan sepejabat, bos, cashier 7-11, guard
sekolah, rakan anak atau sesiapa sahaja.
Mengangkat tangan
sambil mengukir sedikit senyuman kepada pak guard yang berkawal di pintu masuk
kawasan perumahan atau pejabat anda menjadikan dia merasa dirinya diiktiraf,
dihargai dan dipercayai.
Berapa ramai
di kalangan kita yang menonong memandu kereta keluar atau masuk melepasi palang
pintu masuk kawasan perumahan atau pejabat tanpa sedikit pun mengiktiraf
manusia lain yang berfungsi untuk kita di situ? Bukannya kita pandu kereta
mewahpun.
Biar kereta
kita kecil, buruk dan keempat-empat tayarnya botak tetapi hati kita mewah dan
berbunga mekar dengan sifat serta perangai yang menyenangkan orang lain.
Hukum Boomerang
Buat baik dibalas
baik dan begitulah sebaliknya. Sebagai insan yang rasional dan waras, kita tahu
semua orang berhak dilayan dengan baik dan wajar. Formulanya mudah, kita layan
orang lain dengan baik, orang lain akan layan kita dengan baik.
Bagi individu
yang sering komplen kononnya dia tidak gemar bersikap mesra kepada orang lain
kerana dia sering dikasari oleh orang lain atau orang lain tidak menghargainya,
sebenarnya telah terkena kesan Hukum Boomerang. Saya meminjam istilah ini daripada
tulisan Brian Tracy dalam bukunya No Excuses! The Power of Self Discipline.
Uniknya hukum
ini ialah anda tidak perlu meletakkan sebarang papan tanda atau mengangkat
sepanduk agar orang lain bersikap mesra terhadap anda.
Gelombang positif
dalam diri anda akan memancar keluar secara automatis dan menghantar isyarat psiko
(psychic signal) ke minda orang lain untuk bersikap baik dan mesra
kepada anda. Tapi anda perlulah mulakannya terlebih dahulu.
Hukum Boomerang
ini sebenarnya adalah manifestasi firman Allah SWT dalam Surah
Al Qasas QS 28:84 yang maksudnya:
“Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya
(pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang
dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang
yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang
dahulu mereka kerjakan.”
Minta Puji
Siapa yang
tidak suka dipuji. Dari pekerja bawahan sehinggalah bos-bos yang bergaji
puluhan ribu sebulan, semua suka dipuji.
Ini fitrah
kanak-kanak dalam diri manusia. Kanak-kanak sangat suka dipuji. Apabila dipuji
dia akan lebih bersemangat, seronok dan bersungguh-sungguh. Sama seperti ramai orang
dewasa.
Adakalanya kita
betul-betul memujinya dan sering juga terjadi kita sekadar olok-olok memuji. Tetapi
seorang budak kecil tidak tahu membezakan antara pujian tulen dan olok-olok.
Bagaimana dengan
anda? Boleh atau tidak anda bezakan antara pujian tulen dan olok-olok?
Daripada anda
pening memikirkan samada pujian rakan, bos atau isteri anda itu tulen atau
olok-olok, lebih baik anda ambil sikap ‘kalis pujian’. Jadi jika pujian yang
anda terima itu tulen atau olok-olok, ia tidak memberi apa-apa kesan negatif kepada
anda.
Bekerja keras
untuk mendapat pujian orang lain akan menjadikan anda sakit kepala, mudah stress
dan penuh sifat was-was. Darah tinggi juga mudah mendadak jika anda ada
penyakit ini. Tidak hairanlah kenapa ada orang marah-marah, stress,
murung dan sedih apabila tidak dicalon sebagai penerima Anugerah Pekerja
Cemerlang.
Uniknya, insan
yang selalu mendapat pujian tulen daripada manusia lain ialah mereka yang tidak
pernah terkesan dengan pujian kerana mereka tidak pernah mengharapkan pujian. Bahkan
mereka inilah yang selalu memuji ikhlas kerja dan usaha orang lain.
Angkat
Tangan
Satu perkara
lagi yang boleh dilakukan agar interaksi anda dengan orang lain menjadi luar
biasa dan amat disenangi oleh orang lain ialah selalu ‘angkat tangan’. Maksud saya
ialah hulurkan pertolongan secara sukarela. Selalulah jadi yang pertama
mengangkat tangan.
Ada sesetengah
orang sangat berkira dalam menghulurkan tenaga. Seolah-olah seperti dia
langsung tidak memerlukan pertolongan orang lain pada masa hadapan. Setiap tenaga
yang dikeluarkannya untuk orang lain dihitung, diingat dan diungkit.
Dalam konteks
bekerja dan berorganisasi, faktor angkat tangan ini amat penting untuk mewujudkan
keterikatan, semangat kekitaan dan kerjasama yang erat.
Mana mungkin
sebuah organisasi boleh bergerak maju ke hadapan dan menyaingi organisasi lain
seandainya ahli-ahlinya sangat berkira, saling tolak-menolak dan mementingkan
diri sendiri.
Angkat tangan
bukan bermakna kita melakukan kerja orang lain dan orang lain itu akan
bersenang-lenang. Ia sekadar menterjemahkan nilai hebat dalam diri kita bahawa kita
sangat menghormati dan menghargai orang lain.
Anda basuh
bersih telekung infaq di pejabat tanpa ada sesiapa yang suruh. Anda menghormati
dan menghargai orang lain dengan memberikan mereka kebersihan, kesucian dan
ketenangan dalam beribadah. Dalam keadaan ramai kita yang menghina diri sendiri
dengan sanggup mengguna telekung, kain pelekat atau kopiah infaq yang berdaki.
Jika kita
rajin bersusah payah untuk orang lain hari ini, maka hukum alam (sunnatullah)
menentukan akan ada orang lain yang akan bersusah payah untuk anda pula nanti.
Kesimpulannya,
estim diri anda dan orang lain akan meningkatkan sekiranya anda mengamalkan
tabiat bina hubungan yang baik sesama insan tanpa mengira siapa mereka.
Hubungan kekeluargaan,
di tempat kerja, dengan rakan-rakan dan perniagaan menjadi lebih mesra, tulen
dan berbaloi. Kehadiran anda penting dan bernilai kepada orang lain.
Jadilah insan
yang disenangi hadirnya, ditunggu-tunggu kedatangannya dan dirindui kehilangannya.
Mana mungkin anda bahagia jika anda tahu orang lain meluat mendengar nama anda
disebut.
Semoga ada
manfaat. Allahu a’lam.
Che E