Jika anda diminta berlari sambil memikul tong
gas memasak sejauh dua kilometer, otak kiri (minda logik) anda akan berkata
bahawa ia satu tindakan yang sukar, memenatkan dan pasti anda ‘berat’ untuk
melakukannya.
Tetapi jika anak kecil anda yang berusia tujuh
tahun cedera parah dalam kemalangan, anda pasti sanggup berlari sejauh dua
kilometer sambil menggendongnya untuk sampai ke hospital terdekat walaupun
beratnya lebih kurang berat tong gas memasak. Kenapa?
Itulah ‘kuasa’ yang dibiaskan oleh potensi otak
kanan. Ia boleh lakukan apa yang otak kiri tidak boleh atau ‘berat’ untuk
lakukan. Otak kanan akan berfungsi penuh apabila ia memahami ‘makna dan tujuan’
yang jelas.
Mencari
penyelesaian yang logik semata-mata bermakna anda masih belum menggunakan
potensi otak sepenuhnya. Beranikan diri untuk keluar daripada kebiasaan. Begitu
juga dalam cara anda berfikir.
Bagaimana
syarikat hebat seperti Airasia boleh terbang megah menyaingi syarikat yang jauh
lebih ‘tua’ dan berpengalaman. Penerajunya berani menggunakan potensi otak
kanan dalam membangunkan syarikat warna merah tersebut.
Logikkah
dengan mengenakan tambang yang sangat murah, sebuah syarikat penerbangan boleh beroperasi
dan maju? Memang tidak logik! Itulah cara fikir otak kiri. Tapi otak kanan
kata, boleh dan tidak mustahil! Dan lihatlah kuasanya.
Ramai
orang merungut tentang masalah kerja, masalah keluarga, masalah peribadi dan
macam-macam lagi masalah. Masalah adalah pencetus kepada pemikiran. Lebih banyak
masalah sepatutnya menjadikan anda lebih ligat, mahir dan pakar dalam berfikir.
Tetapi sayang, hakikatnya bukan begitu.
Kreativiti
tidak diajar secara serius di sekolah. Mungkin itulah sebabnya rakyat kita
sedikit kekok untuk berfikir secara kreatif. Baru sekaranglah kerajaan cuba
memulakan sesuatu dengan memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
dalam sistem pendidikan. Itupun ternyata perjalanan kita masih terlalu jauh. Tetapi
bak kata orang putih, better late than
never.
Kreativiti
bukan hanya tentang seni. Ia juga bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa. Ia adalah
fitrah. Namun, ia perlu dilatih untuk berkembang.
Ambil
contoh mudah, sampah! Kenapa orang kita mudah sangat membuang sampah di merata
tempat semasa berada di luar rumah. Plastik pembungkus kotak rokok, kotak
rokok, puntung rokok, cawan kertas, plastik makanan dan macam-macam lagi.
Puncanya
ialah ramai kita berfikir secara linear (lurus) dan logik. Tiada tong sampah,
jadi di mana harus saya buang sampah? Bagi kita, sampah adalah kotor dan mesti segera
dibuang. Akibatnya apabila tiada tong sampah, campak sahajalah di mana yang
sesuai.
Sedikit sahaja ‘adjustment’ yang perlu dibuat di sini agar otak kanan boleh mula berfungsi. Cuba bayangkan, selagi sampah di tangan anda itu bukan TAHI, ia BERSIH dan tidak perlu SEGERA dibuang. TUNGGU sehingga anda jumpa tong sampah, kemudian buang.
Beg
plastik, poket sisi pintu kereta, poket seluar, poket baju, poket handbag, poket
beg galas, poket dompet dan apa saja yang ‘berpoket’ asalkan sesuai dan muat,
jadikan ‘tong sampah’ singgahan. Takut kotor? Bukankah saya sudah katakan tadi,
ia bukan tahi. Hatta jika tahi sekalipun ia tetap boleh dibersihkan.
Apabila
anda memahami makna dan tujuan yang jelas mengapa anda tidak sepatutnya
membuang sampah sesuka hati, maka otak kanan anda pasti bijak dalam ‘mengurus’
sampah yang anda sendiri hasilkan.