Anda
telah buktikan!
Tahniah
kepada mereka yang telah berjaya mengharungi cabaran SPM dan STPM 2013. Semalam
adalah hasil dan bukti titik peluh anda, ibuayah, guru-guru dan siapa jua yang menyokong
anda selama ini.
Jika tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Bersusah-susah dahulu bersenang-senang
kemudian. Hari ini kepada yang berjaya ataupun sebaliknya pasti akan mengakui
kebenaran dua pepatah ini.
13,720 daripada 442,588 calon SPM 2013 telah
berjaya mencapai keputusan A dalam semua subjek dan 405 daripada mereka berjaya
mencapai A+ dalam semua subjek. Lebih menarik lagi 8 orang daripada mereka yang
berjaya capai A dalam semua subjek adalah calon berkeperluan khas sama ada
buta, pekak dan mengalami kecacatan lain.
Saya petik kata-kata Ketua Pengarah Pendidikan
Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof seperti yang dilaporkan akbar semalam; “Tahniah kepada calon-calon yang berjaya
dengan cemerlang dalam SPM dan berharap mereka dapat meneruskan budaya
kecemerlangan dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Kepada calon yang kurang
berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta
kejayaan lain pada masa akan datang.”
KURANG BERJAYA? Apakah maksud kurang berjaya?
Kurang satu A, tiada A langsung atau gagal dalam semua subjek? Ternyata
walaupun hanya kurang satu A anda tidak akan termasuk dalam kelompok 13,720 di
atas. Menarik untuk difikirkan.
Ternyata yang akan dijulang oleh kawan-kawan
ialah mereka yang dapat semua A atau semua A+. Kurang satu A, siapa akan julang
anda?
Kalau yang kurang satu A pun tidak dijulang, bagaimana pula kalau tiada A langsung? Silap-silap kehadiran anda juga tidak disedari. Semua A pasti kehadiran mereka dinanti-nanti.
Tetapi saya sangat bersetuju dengan kata-kata
Ketua Pengarah di atas. “Kepada calon
yang kurang berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta
kejayaan lain pada masa akan datang.” Pagi tadi saya dengar DJ dalam Radio 24
berpesan SPM dan STPM bukanlah pengakhiran tetapi satu permulaan.
Wah! Jika ia satu permulaan ini adalah satu
berita baik. Cuba lihat perlumbaan F1, berapa buah jentera yang boleh duduk di
petak pertama? Hanya SEBUAH! Dan adakah pasti dia akan jadi JUARA di akhir
perlumbaan? Anda jawab.
Maka, hari ini sesiapa yang tiada A langsung,
A kurang satu, semua C atau gagal, anggaplah anda bukan berada di petak pertama
perlumbaan F1. Tetapi anda berada dalam litar perlumbaan yang sama. Siapa
juara? Belum tahu lagi!
Maka hari ini, biar apapun keputusan anda senyumlah
lebar-lebar, sujudlah pada Tuhan tanda syukur tidak terhingga, peluk ciumlah
ibu dan ayah anda tanda terima kasih yang tulus atas pengorbanan dan doa mereka
dan salam peluk guru-guru anda tanda banyaknya budi mereka yang anda terhutang,
dan mulakan langkah seterusnya penuh bergaya.
Insan yang berjaya bukanlah mereka yang tidak
pernah gagal atau sentiasa berjaya. Tetapi insan berjaya adalah mereka yang tidak
pernah jemu bangkit setiap kali tersungkur gagal.
Kejayaan ibarat gula dan kegagalan ibarat pahit.
Anda benar-benar menghargai rasa manis kerana tahu bagaimana peritnya rasa pahit.
Kami di AsasInsan mengucapkan setinggi
tahniah kepada semua yang telah berjaya mengharungi cabaran dalam SPM dan STPM
2013.
Kepada ibuayah dan guru-guru, TAHNIAH! dan teruskanlah
berdoa untuk anak-anak kita demi kejayaan mereka yang sebenar di masa hadapan.
Kepada adik-adik yang bakal bertarung dengan SPM
tahun ini, jom bersedia dari sekarang. Klik di sini.
Terima kasih. Wallahu a'lam
Che E
Perunding Utama
Terima kasih. Wallahu a'lam
Che E
Perunding Utama