11 January 2019

Sup Kaki Ayam Dan Kisah Ibu 24 Jam!



Selepas solat Isya’ malam tadi, saya sempat berborak santai dengan bekas pensyarah saya semasa di UIA dulu, sambil menikmati sup kaki ayam sumbangan jemaah surau yang pemurah.

Tiba-tiba anaknya datang minta satu gula-gula lollipop. Dia tanya anaknya sudahkah kawan-kawan yang lain dapat gula-gula. Anaknya mengangguk. Jadi sekarang giliran dia pula. Si pensyarah itu pun menyeluk kocek dan memberi satu gula-gula kepada anaknya. Orang tua bawa gula-gula lollipop ke surau? Satu perbuatan yang sangat sunnah dan ‘dakwah bil hal’ sifatnya.

“Itu anak bongsu Dr. kah?” Dia jawab “Bukan! Tapi yang paling muda setakat ini.” Dia gelak dan saya tergamam.

“Sheikh, kita terima apa sahaja rezeki yang Allah bagi. Kalau Allah nak bagi lagi saya terima.”

“Berapa orang semua anak Dr.?” Saya cuba merungkai. “11!” Jawabnya. Saya bertanya lagi “from one mother?” “Yup!” Dia jawab yakin sambil menghirup lazat sup panas suam-suam kuku.

Perbualan kami tentang peranan seorang ibu berterusan. Ini antara mutiara yang sempat saya hadam;

1.    Jika isteri bekerja, bila anak jatuh di rumah dan luka, siapa akan ‘sambut’ dia? Pasti orang gaji! Ikatan emosi anak dengan seorang ibu adalah luar biasa dan tiada sesiapa dapat menggantikan tempat ibu. Anak perlukan ibu waktu itu! Bukan orang lain.

2.     Cara seorang ibu ‘sambut’ anak yang jatuh pasti berbeza dari orang lain kerana anak itu adalah ‘daging dan darahnya’ sendiri.

3.    Jangan minta isteri anda menjadi super woman! Jadi pekerja dan jadi ibu dalam satu masa yang sama. Anda perlu pilih.

4.   Jangan pisahkan anak kecil berusia 3-4 tahun dari ibunya atas alasan pendidikan. Tempoh itu adalah masa mereka untuk berada di rumah dan bermain. Itu cara mereka belajar. Ibulah orang terbaik mendampingi mereka waktu itu dan bukan orang lain.

5.   Tiada istilah quality time. Itu semua alasan (excuse) kerana kita tidak dapat atau tidak mahu berikan hak masa yang sepatutnya anak-anak dapat.

6.   Rezeki yang seorang ayah bawa balik setiap hari pasti cukup untuk semua ahli keluarganya. Yakinlah kerana itu janji Allah.

Pensyarah itu menutup borak santai kami dengan satu statement yang saya kira cukup deep. Dia kata “kalau satu masa nanti anak-anak saya bertanya apa yang telah saya buat untuk mereka, saya akan jawab I gave you a 24-hour mother!”

Sup habis, dia beredar dan saya cuci semua mangkuk.

Terima kasih kerana membaca. Semoga memberi kesan. Mohon sebarkan jika bermanfaat.

Wallahu a’lam

Che E
11 Januari 2019