07 November 2016

Politik Wajah Dalam Program Ilmu?

Assalamu ‘alaikum wrt. wbh.

“Tuan-tuan dan puan-puan hadir ceramah ini sebab tengok gambar saya atau tajuk ceramah dalam poster?” Tanya saya kepada hadirin dalam slot ceramah kekeluargaan sempena Progam Semarak Ilmu di MAMPU Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Kedengaran suara majoriti menjawab serentak “Tajuk ceramah!”. Saya bertanya soalan ini sekadar ingin membuktikan kepada pegawai penyelaras program, seorang pegawai kanan wanita yang kelihatan cukup trampil dan dedikasi, bahawa dakwaan saya betul.

Sewaktu saya tiba di lokasi program, saya lihat poster promosi slot ceramah yang bakal saya kendalikan terpampang di beberapa sudut strategik termasuk di dalam lif. Poster tersebut bagi saya direka cukup menarik. Cuma satu perkara yang menggusarkan dan membuat saya berfikir ialah foto saya juga terselit dalam poster tersebut.

Saya faham mengapa promosi program sebegini mesti dibuat bergrafik, menarik dan membujuk (compelling). Ia majlis ilmu, perlu berfikir, menaakul dan membuat analisis kendiri, bukannya acara hiburan.

Jujur dan tegas saya katakan kepada pegawai wanita tersebut sewaktu kami mula-mula bertemu bahawa tiada perlunya foto saya diletakkan dalam poster tersebut. Ia tidak akan mempengaruhi jumlah kehadiran peserta. Tanpanya peserta tetap akan hadir.

 Saya mengangkat topik ini kerana melihat telah menjadi ikutan masa kini promosi program ilmiah perlu menggunakan politik wajah persis pilihanraya. Khalayak dipengaruhi minda tingkahlakunya melalui grafik wajah individu dan bukan pengisian (substance) programnya. Hebahan kuliah di papan kenyataan di sesetengah masjid juga ‘semak’ dengan foto-foto pengkuliah. Ada yang popular dan ada juga yang rasa macam popular. Kadang-kadang lebih foto dari tajuk.

Manusia adalah makhluk visual. Tingkahlaku kita memang mudah dipengaruhi melalui kesan visual. Mari kita uji. Bayangkan anda baru sahaja masuk ke bilik hotel dan mendapati di atas meja ada nota tertulis ‘Bilik Ini Seram’. Apakah yang anda akan lakukan? Dan cuba bayangkan pula jika bukan nota yang diletakkan tapi foto seram berambut panjang dengan sedikit catatan ‘Ada Dalam Bilik Ini’. Yang mana satu membuatkan anda lebih cepat untuk minta bertukar ke bilik lain?

Dalam kempen pilihanraya, foto calon-calon yang bertanding akan terpampang di merata tempat. Tujuannya untuk memperkenalkan calon parti masing-masing kepada rakyat yang bakal mengundi.


Namun dalam politik, biar tampan wajah calon yang dipampang dalam poster, akhirnya rakyat akan memilih calon atau tokoh yang ada substance bukan berwajah segak tapi cakapnya kosong. Jadi kepada calon-calon pilihanraya jangan marah jika ada poster wajah kalian yang dikoyak, diconteng, didialogkan dan diedit bertanduk bertaring. Kenali rakyat sebelum anda mahu dikenali.

Berbeza pula halnya dengan rokok. Kesan visual nampaknya seperti kurang menjadi untuk menurunkan nafsu perokok. Grafik ngeri yang dicetak pada kotak rokok seolah-olah menambah selera para perokok. Kesan ketagih mengatasi kesan visual.

Tetapi tidak pasti apa kesannya jika ditulis pada kotak rokok ‘Ini Mungkin Kotak Terakhir Anda, Peluk Eratlah Mereka Yang Tersayang Dan Wasiatkanlah Rokok Yang Terakhir Kepada Anak Kesayangan Anda.’ Gantikan grafik penyakit dengan grafik jenazah berkafan putih dalam liang lahad. Hendak seribu daya tak hendak macam-macamlah alasan kita beri.

Berbalik kepada promosi program ilmiah berfoto, saya berpandangan kita jangan tersilap dalam membentuk minda dan persepsi masyarakat. Biarlah ilmu yang menjadi penarik bukan individu. Kita elak bibit-bibit budaya pengidolaan atau dalam istilah yang agak keras ‘pemberhalaan’. Semak kamus dan lihat kata asal idola.

Mungkin inilah hikmahnya Islam melarang memvisualkan figura para Nabi. Mengelak pemberhalaan. Tanpa visual atau foto para Nabi khususnya Nabi Muhammad SAW, Islam tetap sampai kepada kita walaupun terjarak lebih 1,400 tahun daripada baginda. Lihat apa yang terjadi kepada agama Kristian. Graham E. Fuller dalam bukunya A World Without Islam menulis bahawa orang Islam sering menegaskan bahawa kerja-kerja seni yang mempersenda para Nabi termasuk Jesus (Nabi Isa AS) adalah berdosa. Bahkan menurutnya lagi orang Yahudi dan Islam tidak boleh menerima apabila orang Kristian memvisualkan Jesus dalam bermacam rupa.

Biarlah orang ramai berbondong-bondong masuk ke dewan orang ramai, masjid, stadium, auditorium atau padang kerana terhidu wanginya ilmu yang bakal ditimba dan mengangkat darjat diri, bukan kerana terpesona ingin melihat kelibat-kelibat fatamorgana, yang kalau bernasib baik dapatlah disalam atau diselfie tapi yang pasti tidak boleh dibawa balik.

Pesan saya kepada penyampai-penyampai ilmu dalam apa jua bidang di luar sana, jauhi perasaan suka dipuja dan suka diberhalai. Takut-takut kalian memperdaya bukan mendaya.

Terima kasih kerana membaca. Allah sahajalah yang Maha Tahu.

Che E