22 September 2016

Anak Buka Rahsia Anda?

“Boleh tak kita sebagai ibubapa tetapkan masa depan atau cita-cita (kerjaya) anak kita sejak dari dia kecil lagi. Contohnya, saya nak anak saya jadi doktor. Jadi saya sentiasa cakap dia akan jadi doktor bila besar nanti. Bahkan saya juga selalu sebut namanya sebagai Dr. Danish walaupun dia baru berusia 4 tahun.”

Soalan ini saya olah semula daripada soalan asal yang diajukan kepada saya dan rakan panel saya Puan Hajjah Zaharah Awang, Timbalan Presiden Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dalam Forum Keibubapaan dalam Program Jelajah Generasi Idaman Selangor (GEMS) Daerah Kuala Langat anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 4 September 2016 yang lepas.


Tuan/puan rasa boleh tak?

Saya pasti kita akan temui pelbagai pendapat.

Sekarang, saya bawa satu cerita sewaktu saya mengendalikan satu kursus motivasi untuk sekumpulan doktor perubatan termasuklah beberapa orang doktor pakar beberapa tahun sudah.

“Siapa di kalangan tuan-tuan dan puan-puan yang betul-betul minat dan seronok jadi doktor? Tolong angkat tangan tinggi-tinggi.” Seru saya kepada mereka.

Melihat jumlah tangan yang diangkat, saya tersenyum dan sebahagian besar mereka juga tersenyum. Menarik, kerana bukan semua mengangkat tangan.

Saya pilih beberapa orang yang tidak mengangkat tangan untuk kongsikan apa yang mereka rasa sebenarnya. Ada di kalangan mereka dengan jujur meluahkan bahawa menjadi doktor bukanlah cita-cita mereka tetapi adalah cita-cita ibubapa mereka.

Rakan saya seorang kaunselor sebuah IPTA pernah berkongsi cerita dengan saya bahawa ramai pelajar dari jurusan perubatan tertekan dalam belajar kerana ada di kalangan mereka yang ‘dipaksa’ oleh ibubapa untuk mengambil jurusan tersebut selain daripada jurusan tersebut sememangnya ‘tough’.

Satu lagi, pusat kaunseling saya juga pernah menerima satu kes pelajar universiti dari jurusan perubatan yang tertekan dan ingin menukar jurusan pengajiannya sedangkan dia telahpun berada di tahun akhir pengajian.

Sekarang saya tanya anda pula, siapa yang suka anaknya menjadi seorang doktor perubatan tolong angkat tangan? Anda rasa berapa orang akan angkat tangan kalau dalam dewan hari itu ada 50 orang ibubapa.

Jadi boleh atau tidak tetapkan cita-cita anak?

Mari kita lihat dari sebelah sini pula.

Kenapa Tarzan boleh memanjat, bergayut, bergerak, melompat dan melaung persis seekor monyet atau gorila?

Dia boleh buat semua itu kerana sejak dari kecil dia percaya bahawa dia adalah seekor monyet atau gorila walaupun rupa fizikalnya terlalu jauh berbeza.

Dongeng? Memang kisah Tarzan adalah rekaan tetapi hakikatnya sifat manusia yang ditonjolkan dalam watak Tarzan adalah logik, benar dan berasas. Dia bukan terbang macam Superman atau melekat macam Cicak Man.

Tingkahlaku seseorang individu digerakkan oleh minda bawah sedarnya. Jika minda ini sentiasa diasak dengan kepercayaan bahawa dirinya adalah perempuan, maka jadilah dia persis perempuan walaupun dia berjambang dan ber’anu’.

Seorang anak yang dilahirkan oleh pasangan berbangsa Cina akan membesar dengan keperibadian 'Melayu' jika dia dibesarkan dari kecil oleh ibubapa angkat berbangsa Melayu.

Itu sebab ibu-ibu di luar sana, tolong jangan bersolek di hadapan anak-anak lelaki di bawah usia tujuh tahun. Jangan sesekali beri anak lelaki kecil anda mencuba-cuba gincu, compact powder, inai, tudung dan apa sahaja yang bersifat keperempuanan. Ia boleh mengganggu ‘frekuensi kelelakiannya’ yang masih lemah. Begitu juga sebaliknya dengan anak perempuan kecil.

Jadi boleh atau tidak tetapkan cita-cita anak?

Jawapannya, boleh tetapi mestilah berilmu.

Ramai ibubapa guna ‘ilmu parenting pusaka’ dalam membesarkan anak-anak. Enggan belajar ilmu parenting terkini dengan alasan mereka sudah tahu. Berguni sudah garam yang mereka telan. Jangan kata kursus atau kelas parenting, buku parenting pun tak pernah baca.

Sekarang bukan zaman Jepun. Sekarang zaman ilmu dan maklumat. Siapa berilmu dan bermaklumat, dia dapat.

Memang boleh tetapkan cita-cita anak. Tetapi sudahkah anda benar-benar tahu potensi, kecenderungan dan personality trait anak anda sebelum anda ‘menetapkan’ cita-citanya.

Sebenarnya ramai orang dewasa di luar sana yang sukar berjaya dalam kerjaya tidak pernah sedar bahawa kerja mereka tidak selari dengan personality trait mereka. Jadi mereka sukar menyerlah. Kenapa? Kerana mereka tidak pernah belajar tentang diri sendiri.

Sudahlah tidak pernah belajar tentang diri sendiri, sekarang mereka hendak tetapkan pula cita-cita anak-anak mereka.


“Kenapa mak ayah saya tak pernah faham saya macam Abang E faham saya. Padahal saya baru jumpa Abang E dua hari jer.” Itu luahan sambil menangis seorang pelajar lelaki tingkatan 5 yang menyertai kem motivasi kemahiran belajar yang saya kendalikan. Saya jawab “Sebab Abang E belajar banyak tentang kamu.”

Usah harungi masa depan bersandarkan nasib semata-mata. Belajar dan rancanglah yang terbaik. Samada berjaya dicapai atau tidak, itu urusan Tuhan, usah dipersoal. Urusan kita belajar, rancang dan laksanakan.

Anak-anak adalah urusan kita. Ambil masa untuk belajar tentang mereka. Sesen pun tidak rugi. Apabila kita belajar tentang mereka sebenarnya kita akan tahu banyak tentang diri kita sendiri. Anak-anak adalah cerminan diri kita. Dalam diri mereka tersimpan rahsia tentang diri kita.

Terima kasih kerana membaca, semoga bermanfaat. Wallahu a’lam.


Che E