17 August 2016

Tabiat Bina Hubungan

Setiap hari kita berinteraksi dengan orang lain. Samada ahli keluarga, rakan di pejabat, jemaah di surau atau masjid, pelanggan mahupun dengan orang lain yang tidak dikenali.

Bahkan hari ini, interaksi kita tidak terbatas sekadar interaksi verbal tetapi juga interaksi non-verbal khususnya melalui pelbagai aplikasi komunikasi dalam talian. Hari ini, tanpa bertemu sesiapa pun sebenarnya kita berinteraksi.

Persoalannya, sejauh mana interaksi kita dengan orang lain memberi manfaat kepada diri kita sendiri dan orang lain?

Manusia adalah makhluk sosial iaitu memerlukan kepada orang lain untuk hidup dengan sempurna dan mencapai makna hidup yang sebenar. Umum mengetahui, individu yang terasing dari orang lain atau hidup sebatang kara jarang sekali bahagia.

Hatta, penghuni pusat tahanan juga diberi ruang untuk berinteraksi dengan orang lain walau dalam keterbatasan.

Dalam Bengkel Efikasi Diri™ yang dianjurkan oleh Pusat Citra Universiti UKM pada 3 dan 4 Ogos 2016 yang lalu, saya ada berkongsi beberapa tip ringkas, praktikal dan mudah untuk membina hubungan yang baik dengan orang lain.


Saya Penting

Secara fitrahnya setiap manusia lahir dengan perasaan ‘diriku penting’. Itu sebab kita memerlukan rasa hormat, kepercayaan, pengiktirafan dan pujian daripada orang lain.

Seseorang adalah bijak dalam berinteraksi apabila dia berjaya ‘memberi’ perkara-perkara ini kepada orang lain yang sedang berinteraksi dengannya. Samada orang lain itu pasangannya, anak, jiran, imam surau, rakan sepejabat, bos, cashier 7-11, guard sekolah, rakan anak atau sesiapa sahaja.

Mengangkat tangan sambil mengukir sedikit senyuman kepada pak guard yang berkawal di pintu masuk kawasan perumahan atau pejabat anda menjadikan dia merasa dirinya diiktiraf, dihargai dan dipercayai.

Berapa ramai di kalangan kita yang menonong memandu kereta keluar atau masuk melepasi palang pintu masuk kawasan perumahan atau pejabat tanpa sedikit pun mengiktiraf manusia lain yang berfungsi untuk kita di situ? Bukannya kita pandu kereta mewahpun.

Biar kereta kita kecil, buruk dan keempat-empat tayarnya botak tetapi hati kita mewah dan berbunga mekar dengan sifat serta perangai yang menyenangkan orang lain.

Hukum Boomerang

Buat baik dibalas baik dan begitulah sebaliknya. Sebagai insan yang rasional dan waras, kita tahu semua orang berhak dilayan dengan baik dan wajar. Formulanya mudah, kita layan orang lain dengan baik, orang lain akan layan kita dengan baik.

Bagi individu yang sering komplen kononnya dia tidak gemar bersikap mesra kepada orang lain kerana dia sering dikasari oleh orang lain atau orang lain tidak menghargainya, sebenarnya telah terkena kesan Hukum Boomerang. Saya meminjam istilah ini daripada tulisan Brian Tracy dalam bukunya No Excuses! The Power of Self Discipline.

Uniknya hukum ini ialah anda tidak perlu meletakkan sebarang papan tanda atau mengangkat sepanduk agar orang lain bersikap mesra terhadap anda.

Gelombang positif dalam diri anda akan memancar keluar secara automatis dan menghantar isyarat psiko (psychic signal) ke minda orang lain untuk bersikap baik dan mesra kepada anda. Tapi anda perlulah mulakannya terlebih dahulu.

Hukum Boomerang ini sebenarnya adalah manifestasi firman Allah SWT dalam Surah Al Qasas QS 28:84 yang maksudnya:

“Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Minta Puji

Siapa yang tidak suka dipuji. Dari pekerja bawahan sehinggalah bos-bos yang bergaji puluhan ribu sebulan, semua suka dipuji.

Ini fitrah kanak-kanak dalam diri manusia. Kanak-kanak sangat suka dipuji. Apabila dipuji dia akan lebih bersemangat, seronok dan bersungguh-sungguh. Sama seperti ramai orang dewasa.

Adakalanya kita betul-betul memujinya dan sering juga terjadi kita sekadar olok-olok memuji. Tetapi seorang budak kecil tidak tahu membezakan antara pujian tulen dan olok-olok.

Bagaimana dengan anda? Boleh atau tidak anda bezakan antara pujian tulen dan olok-olok?

Daripada anda pening memikirkan samada pujian rakan, bos atau isteri anda itu tulen atau olok-olok, lebih baik anda ambil sikap ‘kalis pujian’. Jadi jika pujian yang anda terima itu tulen atau olok-olok, ia tidak memberi apa-apa kesan negatif kepada anda.

Bekerja keras untuk mendapat pujian orang lain akan menjadikan anda sakit kepala, mudah stress dan penuh sifat was-was. Darah tinggi juga mudah mendadak jika anda ada penyakit ini. Tidak hairanlah kenapa ada orang marah-marah, stress, murung dan sedih apabila tidak dicalon sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang.

Uniknya, insan yang selalu mendapat pujian tulen daripada manusia lain ialah mereka yang tidak pernah terkesan dengan pujian kerana mereka tidak pernah mengharapkan pujian. Bahkan mereka inilah yang selalu memuji ikhlas kerja dan usaha orang lain.

Angkat Tangan

Satu perkara lagi yang boleh dilakukan agar interaksi anda dengan orang lain menjadi luar biasa dan amat disenangi oleh orang lain ialah selalu ‘angkat tangan’. Maksud saya ialah hulurkan pertolongan secara sukarela. Selalulah jadi yang pertama mengangkat tangan.

Ada sesetengah orang sangat berkira dalam menghulurkan tenaga. Seolah-olah seperti dia langsung tidak memerlukan pertolongan orang lain pada masa hadapan. Setiap tenaga yang dikeluarkannya untuk orang lain dihitung, diingat dan diungkit.

Dalam konteks bekerja dan berorganisasi, faktor angkat tangan ini amat penting untuk mewujudkan keterikatan, semangat kekitaan dan kerjasama yang erat.

Mana mungkin sebuah organisasi boleh bergerak maju ke hadapan dan menyaingi organisasi lain seandainya ahli-ahlinya sangat berkira, saling tolak-menolak dan mementingkan diri sendiri.

Angkat tangan bukan bermakna kita melakukan kerja orang lain dan orang lain itu akan bersenang-lenang. Ia sekadar menterjemahkan nilai hebat dalam diri kita bahawa kita sangat menghormati dan menghargai orang lain.

Anda basuh bersih telekung infaq di pejabat tanpa ada sesiapa yang suruh. Anda menghormati dan menghargai orang lain dengan memberikan mereka kebersihan, kesucian dan ketenangan dalam beribadah. Dalam keadaan ramai kita yang menghina diri sendiri dengan sanggup mengguna telekung, kain pelekat atau kopiah infaq yang berdaki.

Jika kita rajin bersusah payah untuk orang lain hari ini, maka hukum alam (sunnatullah) menentukan akan ada orang lain yang akan bersusah payah untuk anda pula nanti.

Kesimpulannya, estim diri anda dan orang lain akan meningkatkan sekiranya anda mengamalkan tabiat bina hubungan yang baik sesama insan tanpa mengira siapa mereka.

Hubungan kekeluargaan, di tempat kerja, dengan rakan-rakan dan perniagaan menjadi lebih mesra, tulen dan berbaloi. Kehadiran anda penting dan bernilai kepada orang lain.

Jadilah insan yang disenangi hadirnya, ditunggu-tunggu kedatangannya dan dirindui kehilangannya. Mana mungkin anda bahagia jika anda tahu orang lain meluat mendengar nama anda disebut.

Semoga ada manfaat. Allahu a’lam.


Che E