Siapa yang baiki mentol lampu
yang terbakar atau kipas syiling yang berhenti berpusing di rumah anda?
Wireman? Bapa-bapa muda yang sedang membesarkan anak-anak di bawah usia 12 tahun, perlu baca sehingga akhir tulisan ini.
“Danial, cuba Danial tekan suis lampu tu, hidup tak?” Si kecil
berusia 5 tahun pun tekan. Tiba-tiba, lampu menyala kembali setelah semalaman
bilik tidurnya bergelap. “Wah! Hebatnya
papa. Macam mana papa buat?” Tak perlu jelaskan macam dalam buku teks
sains, cukup sekadar jawab “Mestilah
hebat, papakan SUPERMAN…!” sambil-sambil buat muka separuh ego dan
tersengeh.
Setiap hari tonjolkan ciri-ciri superman dalam diri anda di hadapan
anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan. Anak-anak memerlukan superhero dalam hidup mereka. Siapa lagi
superhero terbaik kalau bukan anda
sebagai bapanya.
Cuba selesaikan apa-apa situasi
atau masalah kecil di rumah secara terang-terangan. Paip bocor, tayar kereta
pancit, gas memasak habis, tandas tersumbat, cicak mati dan macam-macam lagi ‘home life games’. Benar, ia sekadar games. Biar mereka nampak. Mereka boleh
lihat apa yang anda buat untuk memenangi setiap game itu. Ajak mereka untuk bantu anda.
Ya betul, mereka mungkin akan
banyak bertanya, jawab sedaya mampu. Jangan dimarah atau disekat. Tindakan anda
menyelesaikan apa jua masalah dalam hidup mereka memberi isyarat jelas bahawa
anda ambil berat, sayang dan akan buat apa sahaja untuk bahagiakan mereka.
Bukan wireman.
Jika wireman yang selesaikan,
maka dialah hero dan bukan anda walaupun beratus duit anda keluarkan. Lebih
malang lagi, anak-anak anda mungkin tidak akan bertanya apa-apa kepada wireman
yang menyelesaikan masalahnya. Bila wireman datang pun dia tak sedar. Berapa
banyak pun duit yang anda keluarkan tidak mampu menyaingi kuasa kasih sayang yang
terbias dari kejernihan titisan peluh yang mengalir di dahi anda. Mungkinkah
anak anda mengelap peluh di dahi wireman?
Benar duit anda
bertingkat-tingkat. Tapi nilai kasih sayang yang tulus dan sejati sukar
difahami melalui duit. Tuhan itu adil. Ramai anak amat sayang dan kagumi bapa
mereka walaupun bapa mereka miskin. Kenapa? Kerana kasih sayang si ayah
terjelma jelas depan mata si anak dari kecil sehingga dewasa dalam
menyelesaikan setiap masalah yang timbul dalam hidupnya dengan segala daya yang
si ayah mampu.
Wahai bapa-bapa muda sekalian,
belajarlah asas wiring. Anda pasti boleh jadi bapa yang hebat selepas ini. Syukurlah ada subjek kemahiran hidup semasa di sekolah menengah dulu. Tapi sayang, tak pernah pula cikgu beritahu subjek itu ada kaitan dengan parenting.
Terima kasih.