23 October 2015

Bajet 2016, Ukur Baju Di Badan Sendiri Tetap Prinsip Terbaik

Prinsip terbaik untuk menerima apapun yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2016 hari ini ialah ukurlah baju di badan sendiri.

Kos sara hidup yang meningkat saban waktu bukan lagi suatu yang pelik. Bahkan sudah lagi tidak boleh dielakkan. Maka kita tiada pilihan selain daripada menempuhnya.

Sukatlah apa sahaja yang ada dalam genggaman, poket seluar, kocek baju, dalam laci almari baju, tabung ayam atau tabung haji. Itulah hakikat anda.

Potong, kurangkan, sikit-sikit atau elakkan adalah pilihan yang ada dalam menerima hakikat keadaan ekonomi semasa. Belajarlah perlahan-perlahan jika ia perkara baru bagi anda.

Ini bukanlah satu perkara ganjil. Hidup dalam zaman yang mencabar ini, anda harus bijak membuat pilihan dan keputusan. Pilihan yang semalam baik, mungkin sebaliknya hari ini.

Pakailah kaca mata anda kemas-kemas. Lihat keperluan diri anda dari kaca mata sendiri. Kaca mata orang lain berbeza kuasanya. Ada yang rabun jauh, rabun dekat atau rabun ayam.

Usah malu menonjolkan diri anda dengan apa yang anda ada. Fake it till you make it adalah simptom orang kurang yakin dengan diri sendiri. Berhentilah berlakon dan jadilah diri sendiri.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Bijak anda menyelitkan pepatah ini dalam karangan Bahasa Melayu semasa di sekolah menengah dahulu tapi amat sukar menyelitkannya dalam rutin amalan hidup.

Ternyata tekanan ekonomi hari ini adalah masa dan pendorong terbaik untuk anda mulakan tabiat positif dalam mengurus hal ehwal kewangan diri dan keluarga.

Apapun caranya Perdana Menteri mengurus ekonomi negara, itu pilihan dan keputusan dia. Itu amanah yang dipikulnya. Dia bertanggungjawab atas apa jua pilihan dan keputusan yang diambil.

Anda sebagai pemimpin dalam keluarga, juga bertanggungjawab atas pilihan dan keputusan yang anda buat. Usah terburu-buru dan beremosi dalam membuat keputusan. Berbincanglah dengan waras dan adil. Biarlah kekal berat sama dipikul ringan sama dijijing.

Ada bonus atau tiada, harga turun atau tidak, cukai kurang atau tidak, peruntukan bertambah atau tidak, ukurlah semua di badan masing-masing. Tepuk dada tanyalah selera masing-masing. Jika anda masih ada selera.


Terima kasih.