07 May 2015

Landasan Iman


Dari Abu Malik Al Harith bin ‘Asim AL Asy’ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Suci itu sebahagian dari iman. Alhamdulillah itu memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi atau memenuhi antara bumi dan langit. Sembahyang itu cahaya. Sedekah itu keterangan. Sabar itu sinaran. Al Quran itu hujjah (dalil) bagi engkau atau atas engkau. Tiap pagi ada manusia menjual dirinya, lalu dimerdekakannya atau dibinasakannya


[Hadith riwayat Muslim.]

BERSUCI adalah perbuatan membersihkan diri dari hadath. Hadath besar atau hadath kecil. Dalam pengertian lain, mengangkat hadath bermaksud mengambil wudhuk selepas membersihkan hadath. Orang yang bersuci maksudnya orang yang telah ada wudhuk.

Dengan berwudhuk itu membolehkan seseorang melakukan ibadat, seumpama sembahyang, tawaf, menyentuh Al Quran. Sekaligus mnendekatkan diri kepada Allah. Mafhumnya kelakuan bersuci itu adalah untuk beribadat kepada Allah s.w.t.

Dengan kata lain, bersuci itu untuk tujuan beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Beribadat itu adalah salah satu tuntutan iman. Natijahnya bersuci itu adalah sebahagian dari iman.

Boleh juga dikatakan bersuci itu satu laluan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Membersih diri mengikut rukun syarat yang ditentukan tidak dilakukan melainkan hanya semata-mata bagi tujuan ibadah kepada Allah s.w.t.

Supaya kita sentiasa dapat mendekatkan diri kepada Allah, maka hendaklah tetap berada dalam keadaan suci, dan berada di tempat yang suci dari segala kemungkaran

SUCI atau kesucian menurut Imam Al Ghazali, adalah berkaitan dengan kesucian atau kebersihan hati (kebersihan batin) daripada sifat mazmumah; khianat, curang, dengki, dendam dan seumpamanya.

Iman yang sempurna adalah dengan kesucian dan kebersihan hati dari segala noda maksiat.

Menurutnya barangsiapa yang mengucap dua kalimah syahadah mendapat sebahagian iman. Jika diikuti dengan bersih hatinya daripada sifat yang kotor maka sempurnalah imannya

Dari mafhum hadith tersebut jelas bahawa suci hati itulah yang melonjakkan seseorang melakukan amal salih dengan ikhlas dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.

Dengan itu Rasulullah langsung mengaitkan kesucian itu dengan lafaz ‘Alhamdulillah’. Subhanallah, sembahyang, sedekah, sabar dan al Quran.


1- Ucapan Alhamdulillah
Ganjaran pahala diberi kepada yang mengucapkannya dan melaksanakan tuntutannya. Ia memenuhi timbangan kebajikan di akhirat kelak.

Melaksanakan tuntutan Alhamdulillah ialah menggunakan segala nikmat Allah dijalan-jalan yang diredhaiNya. Itulah makna syukur.

2- Ucapan Subhanallah
Kedua-dua ucapan Alhamdulillah dan Subhanallah, selain dari memenuhi timbahan di akhirat kelak, ia juga memenuhi ruang antara langit dan bumi. Memberi gambaran amat banyaknya ganjaran yang dibalas kepada orang yang berzikir dengan dua kalimah itu, hingga ganjarannya memenuhi dari langit hingga ke bumi.

3- Sembahyang itu cahaya
Ertinya cahaya yang menerangi jalan hidup bagi orang yang mengerjakannya. Cahaya dari dunia hingga ke akhirat.


Ini bermakna orang yang tidak sembahyang, tiada baginya cahaya untuk menyuluh kehidupannya.
Orang yang tiada cahaya, berada dalam kegelapan.
Orang yang berada dalam kegelapan tidak akan berjaya sama ada di dunia maupun di akhirat.

4- Sedekah itu keterangan

Sedekah adalah menjadi bukti dan keterangan yang nyata dan kukuh bahawa seseorang itu sempurna imannya


Sedekah itu sama ada yang sunat atau yang wajib (zakat).
Harta adalah sangat disayangi oleh manusia. Apabila seseorang itu bersedekah yang wajib atau sunat, ia mengikis sifat tamak dan kedekut.

Mengeluarkan sedekah dengan ikhlas adalah tanda imannya yang kuat dan sempurna. Jika ia tidak ikhlas maka dia merasa hartanya akan berkurang dengan sedekah itu, maka sia-sialah ibadahnya.

5- Sabar itu sinaran
Sabar itu bermakna tahan menempuh ujian atau kesukaran.
Bentuk kesabaran;

1- Sabar melakukan perkara ketaatan
2- Sabar menjauhi maksiat, yang dilarang
3- Sabar diatas segala takdir yang datang

Sabar pada melakukan taat dan sabar meninggalkan maksiat adalah sangat utama dari sabar menerima takdir.

Kata Saidina Ali, tiga jenis sabar:

• sabar melakukan perkara taat ditulis 300 darjat
• sabar dari segala maksiat 900 darjat

Baginda Rasulullah s.a.w, menyebut bahawa puasa sebagai ibadat memupuk kesabaran – bulan Ramadhan dinyatakannya sebagai bulan kesabaran.

6- Al Quran sebagai hujjah kepada engkau atau atas engkau

Ia menjadi hujjah untuk menolong seseorang di hari akhirat. Al Quran datang kepada tuannya di hari akhirat memberi syafaat.

Al Quran akan menjadi hujah atasnya terhadap segala kejahatan yang dilakukannya.

7- Menjual diri
Manusia bangun di pagi hari, ada yang menjual dirinya kepada Allah dengan beramal salih. Dengan itu dia merdeka dari azab
Allah swt. Malah ramai yang sanggup mati di medan perang untuk mendapat syahid.

Ada juga manusia bangun pagi lalu menjualkan dirinya kepada syaitan dan hawa nafsunya. Dengan itu dia membinasakan dirinya

Ada manusia berusaha memperbaiki dirinya.
Ada manusia berusaha membinasakan dirinya
Disinilah letak pentingnya suci dan bersih hati yang menjadi sebahagian dari iman.