15 August 2014

Apa faedahnya kita boikot?



Sebenarnya usaha memboikot produk pengguna yang dikatakan ada simpati kepada rejim zionis telah lama dibuat. Saya sendiri dan keluarga sudah 3-4 tahun tidak membeli atau makan beberapa produk yang diboikot sekarang walaupun asalnya produk-produk itu adalah kegemaran saya. Cuma kempen boikot kali ini nampak lebih menjadi.

Paling ketara yang terkesan nampaknya ialah sebuah rangkaian restoran makanan segera roti berlapis daging yang cukup popular. Buktinya, dalam siri-siri kempen boikot berkaitan konflik Israel-Palestin sebelum ini, tidak pernah terlapor dalam media tentang mereka terkesan samada dari segi perniagaan mahupun kebimbangan para pekerjanya. Hari ini lain.

Kita simpati kepada abang, kakak, adik-adik dan anak-anak kita yang bekerja di restoran tersebut. Mereka tidak bersalah. Mereka tidak kena mengena langsung dalam hal ini. Yang kita boikot bukan mereka. Mereka darah daging seagama dan sebangsa kita. Ini kita perlu faham betul-betul dan mereka juga kena faham betul-betul. Bukan mereka yang disimbah cuma mereka terkena tempias kerana berada di situ.

Apa pun yang kita buat perlu didasari dengan ilmu yang betul. Barulah matlamatnya kesampaian. Boikot sesuatu produk bukan bermaksud memusnah lingkupkan perniagaan syarikat yang mengeluarkan produk tersebut. Kita perlu menghargai penat lelah, pengorbanan, pelaburan dan usaha di sebalik perniagaan tersebut.

Boikot adalah sebagai amaran dan peringatan kepada pengusaha sesuatu perniagaan. Boikot adalah menifestasi formula umum perdagangan ‘supply and demand’. Ia lambang kuasa pengguna. Peniaga tidak harus lupa diri yang berkuasa bukan mereka tetapi pengguna.

Ambil contoh ini, jika pengeluar sesuatu produk memilih untuk ‘memboikot’ penggunanya dengan mengurang atau menghentikan produksinya, pengguna langsung tidak terkesan kerana dalam pasaran sentiasa ada pilihan. Tetapi jika pengguna yang memboikot, peniaga tiada pilihan. Silap haribulan boleh gulung tikar.

Boikot adalah ‘silent killer’ yang menggunakan kecanggihan persenjataan psikologi. Maka tindakan kita dalam memboikot janganlah sampai menghilangkan sifat ‘silent’nya. Membuat hingar, menconteng, mengejek apatah lagi merosakkan apa saja yang berkaitan perniagaan produk yang diboikot bukanlah cara boikot yang betul. Tapi mungkin rakyat Malaysia agak ‘kebaru-baruan’ dalam hal boikot ini jadi ada sekelumit yang agak ‘over reaction’ atau ‘over excited’.

Apabila perniagaan mereka terjejas akibat diboikot, mereka pasti terfikir sesuatu. Fikirlah kenapa orang boikot. Boikot yang kita lakukan sekarang mungkin tidak menghentikan perang Israel-Palestin hari ini tetapi siapa yang tahu apa yang berlaku di masa hadapan?

Umat Islam di seluruh dunia berjumlah lebih 2 bilion. Sayangnya umat ini adalah umat utilitirian iaitu pengguna dan bukan inventor dan pengeluar. Tapi cuba bayangkan pula kuasa pengguna yang kita ada. Jika seluruh umat Islam di dunia satu hati memboikot, bukan sekadar satu perniagaan boleh terlingkup tapi Israel dan semua negara sekutunya pasti terjelepuk. Allahu Akbar!

Dalam hal restoran roti berlapis daging di negara kita yang sedang diboikot sekarang, perniagaan mereka pasti terjejas. Tipulah jika mereka kata tidak terjejas langsung. Maka, silalah sampaikan suara rakyat Malaysia kepada pemilik francais perniagaan anda. Ajak dan ajar mereka berfikir. Malaysia negara kecil. Yang boikotpun bukan seluruh rakyatnya. Jadi kesan kerugian perniagaan hasil boikot kita mungkin tidaklah sebesar mana. Tapi seekor semut api yang menggigit kaki kita tetap kita lumatkannya akibat sakit, gatal dan geram digigit.

Jadi hati-hati rakyat Malaysia ada orang geram tengok kita. Kita bukan ajak berperang cuma mengajak setiap manusia berfikir waras sebagai manusia yang diamanahkan Tuhan untuk memakmurkan alam ini. Itu saja.

Ya Allah tetapkanlah hati-hati rakyat Malaysia untuk bersatu atas jalan yang  benar. Amin.

Wallahu a’lam

Che E