04 May 2014

Bapa-bapa, USAH TANGGUH!



Semalam sewaktu saya menjalankan ‘tugas’ menemankan anak saya menyetai pertandingan bercerita di sebuah sekolah di Seremban, saya berkesempatan bersembang-sembang dengan seseorang yang juga menjalankan ‘tugas kebapaan’ sama seperti saya. Inilah kesimpulan yang boleh saya buat tentang sembang di kaki lima sekolah pagi itu;

USAH BERTANGGUH!

Masa berlalu tidak akan kembali. Tiada konsep qodho’ dalam masa. Maka buatlah apa yang sepatutnya pada waktunya. Kalau kita perlu mula sekarang maka mulalah sekarang. Kalau kita rasa perlu berhenti merokok sekarang sebab dah nak kahwin atau anak akan lahir atau baru dapat kerja, maka berhentilah sekarang.

Usah tunggu esok, lusa atau bila tiba masa yang tepat. Kerana masa yang tepat itu sebenarnya bermaksud ‘sekarang’ apabila ditafsirkan. Kalau perlu ajak anak solat berjemaah, maka mulalah malam ini juga sebab amalan itu tidak mungkin diqodho’ esok bila mereka sudah besar panjang. Kalau perlu bercakap baik-baik dengan anak kita maka bercakaplah dengan mereka hari ini juga sebab esok kalau dia dah tak nak dengar cakap kita biar elok macam mana pun kita bercakap dia tidak akan percaya.

Jangan tangguh. Nak buat benda baik jangan tangguh. Tapi, nak buat benda jahat baik sangat kalau dapat ditangguhkan. Esok masih ada adalah ‘dadah’ yang memabukkan kita tentang masa. Kesannya, kita tangguh lagi kerja atau hasrat yang baik sebab termabuk dengan esok masih ada. Dia berkongsi pengalaman dengan saya katanya lebih sembilan tahun lepas dia nekad berhenti merokok apabila anak ketiga lahir dan rumah yang didiami sekarang adalah  bukti dan hasil tindakan itu yang tidak ditangguhkan sembilan tahun lepas.

Cara terbaik nak latih diri kita supaya kurangkan bertangguh ialah solat awal waktu. Dengar sahaja azan, terus bingkas bangun bersedia untuk solat. Saya sendiri juga tercabar dalam hal ini. Tapi jika itulah jalannya untuk meraih kejayaan, kenapa perlu risau dan gusar. Buat! Bila? Hari ini.

TIADA JALAN PINTAS

Dia berkongsi lagi. Nak jadi bapa yang baik atau nak didik anak supaya jadi anak yang baik tiada jalan pintas. Ia perlukan masa dan perlu mula dari awal. Macam nak pandai mengaji Al Quran bagi yang buta Quran perlu mula dari muqaddam.

Saya pernah lihat sendiri orang yang bergelar datuk, Datuk dan profesional mula belajar mengaji dari muqaddam. Malu? Semestinya! Siapa suruh tak mengaji dari kecil. Tapi kalaulah orang itu terus menyembunyikan ‘malunya’ dan tidak mahu mula dari awal, apa mungkin dia boleh membaca ayat-ayat Allah hari ini? Tidak! Rugi bukan?

Mula dari awal walau selewat manapun jauh lebih baik dan besar manfaatnya berbanding dengan tidak berbuat apa-apa langsung atas alasan telah terlewat. Dalam kerja, bisnes dan keluarga tiada istilah jalan pintas. Kalaupun kita terjumpa jalan pintas, ia mungkin jalan mati di hujungnya. Lebih baik mula dari awal.

BANGUN AWAL PAGI

Kongsinya lagi semasa di tingkatan satu dia selalu membantu datuknya berniaga buah. Ada empat gerai Melayu tiga gerai Cina di tempat atuknya berniaga. Dia perhatikan, subuh-subuh lagi gerai-gerai orang Cina dah buka. Kalaupun belum mula berniaga tapi mereka dah ada di gerai menyapu, menyusun, mengelap dan membersihkan gerai. Mula pagi-pagi rezeki lebih mudah masuk. Itu kata mereka. Orang kita? Asal buka kedai rezeki masuk juga.

Cerita bangun pagi ini mungkin sesuai untuk orang berniaga. Bagaimana dengan orang yang kerja makan gaji, ada kena mengenakah? Bagi orang yang bekerja di KL bangun awal pagi adalah rutin bagi mereka. Jika tidak mereka akan jadi mangsa kesesakan jalanraya.

Bagi yang mungkin kerja di Jerantut, di Bahau atau di Yan, bangun awal pagi boleh menjadikan mereka positif dan produktif. Kesegaran awal pagi akan menyegarkan jiwa, minda dan fizikal kita. Orang yang bangun awal, mandi, pakai pakaian bersih, berjalan beberapa langkah ke surau, menghirup udara segar pagi, solat berjemaah dalam saf yang rapat dan lurus, mendengar dan kemudian membaca ayat-ayat suci Al Quran, bersalaman, bertegur sapa seusai solat dan balik ke rumah untuk bersiap ke pejabat. Pasti jauh lebih baik dari kita yang bangun, mandi, pakai baju pejabat, solat subuh sendirian dan bergegas ke pejabat.

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati insan yang ikhlas berkongsi pengalaman baik dan hebat untuk pengajaran kita bersama. Wallahu a’lam

Che E