“Boleh tak kita
sebagai ibubapa tetapkan masa depan atau cita-cita (kerjaya) anak kita sejak
dari dia kecil lagi. Contohnya, saya nak anak saya jadi doktor. Jadi saya
sentiasa cakap dia akan jadi doktor bila besar nanti. Bahkan saya juga selalu sebut
namanya sebagai Dr. Danish walaupun dia baru berusia 4 tahun.”
Soalan ini saya olah
semula daripada soalan asal yang diajukan kepada saya dan rakan panel saya Puan
Hajjah Zaharah Awang, Timbalan Presiden Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dalam Forum Keibubapaan dalam Program Jelajah Generasi Idaman
Selangor (GEMS) Daerah Kuala Langat anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Selangor pada 4 September 2016 yang lepas.
Tuan/puan rasa boleh
tak?
Saya pasti kita akan
temui pelbagai pendapat.
Sekarang, saya bawa
satu cerita sewaktu saya mengendalikan satu kursus motivasi untuk sekumpulan doktor
perubatan termasuklah beberapa orang doktor pakar beberapa tahun sudah.
“Siapa di kalangan tuan-tuan
dan puan-puan yang betul-betul minat dan seronok jadi doktor? Tolong angkat
tangan tinggi-tinggi.” Seru saya kepada mereka.
Melihat jumlah tangan
yang diangkat, saya tersenyum dan sebahagian besar mereka juga tersenyum. Menarik,
kerana bukan semua mengangkat tangan.
Saya pilih beberapa
orang yang tidak mengangkat tangan untuk kongsikan apa yang mereka rasa
sebenarnya. Ada di kalangan mereka dengan jujur meluahkan bahawa menjadi doktor
bukanlah cita-cita mereka tetapi adalah cita-cita ibubapa mereka.
Rakan saya seorang kaunselor
sebuah IPTA pernah berkongsi cerita dengan saya bahawa ramai pelajar dari
jurusan perubatan tertekan dalam belajar kerana ada di kalangan mereka yang ‘dipaksa’
oleh ibubapa untuk mengambil jurusan tersebut selain daripada jurusan tersebut
sememangnya ‘tough’.
Satu lagi, pusat kaunseling saya juga pernah menerima satu kes pelajar universiti dari jurusan
perubatan yang tertekan dan ingin menukar jurusan pengajiannya sedangkan dia
telahpun berada di tahun akhir pengajian.
Sekarang saya tanya anda
pula, siapa yang suka anaknya menjadi seorang doktor perubatan tolong angkat
tangan? Anda rasa berapa orang akan angkat tangan kalau dalam dewan hari itu
ada 50 orang ibubapa.
Jadi boleh atau tidak
tetapkan cita-cita anak?
Mari kita lihat dari
sebelah sini pula.
Kenapa Tarzan boleh
memanjat, bergayut, bergerak, melompat dan melaung persis seekor monyet atau gorila?
Dia boleh buat semua
itu kerana sejak dari kecil dia percaya bahawa dia adalah seekor monyet atau gorila
walaupun rupa fizikalnya terlalu jauh berbeza.
Dongeng? Memang kisah
Tarzan adalah rekaan tetapi hakikatnya sifat manusia yang ditonjolkan dalam
watak Tarzan adalah logik, benar dan berasas. Dia bukan terbang macam Superman
atau melekat macam Cicak Man.
Tingkahlaku seseorang individu digerakkan oleh
minda bawah sedarnya. Jika minda ini sentiasa diasak dengan kepercayaan bahawa
dirinya adalah perempuan, maka jadilah dia persis perempuan walaupun dia
berjambang dan ber’anu’.
Seorang anak yang dilahirkan oleh pasangan berbangsa Cina akan membesar dengan keperibadian 'Melayu' jika dia dibesarkan dari kecil oleh ibubapa angkat berbangsa Melayu.
Seorang anak yang dilahirkan oleh pasangan berbangsa Cina akan membesar dengan keperibadian 'Melayu' jika dia dibesarkan dari kecil oleh ibubapa angkat berbangsa Melayu.
Itu sebab ibu-ibu di
luar sana, tolong jangan bersolek di hadapan anak-anak lelaki di bawah usia tujuh
tahun. Jangan sesekali beri anak lelaki kecil anda mencuba-cuba gincu, compact
powder, inai, tudung dan apa sahaja yang bersifat keperempuanan. Ia boleh
mengganggu ‘frekuensi kelelakiannya’ yang masih lemah. Begitu juga sebaliknya
dengan anak perempuan kecil.
Jadi boleh atau tidak
tetapkan cita-cita anak?
Jawapannya, boleh
tetapi mestilah berilmu.
Ramai ibubapa guna ‘ilmu
parenting pusaka’ dalam membesarkan anak-anak. Enggan belajar ilmu parenting
terkini dengan alasan mereka sudah tahu. Berguni sudah garam yang mereka telan.
Jangan kata kursus atau kelas parenting, buku parenting pun tak
pernah baca.
Sekarang bukan zaman Jepun.
Sekarang zaman ilmu dan maklumat. Siapa berilmu dan bermaklumat, dia dapat.
Memang boleh tetapkan
cita-cita anak. Tetapi sudahkah anda benar-benar tahu potensi, kecenderungan
dan personality trait anak anda sebelum anda ‘menetapkan’ cita-citanya.
Sebenarnya ramai orang
dewasa di luar sana yang sukar berjaya dalam kerjaya tidak pernah sedar bahawa
kerja mereka tidak selari dengan personality trait mereka. Jadi mereka
sukar menyerlah. Kenapa? Kerana mereka tidak pernah belajar tentang diri
sendiri.
Sudahlah tidak pernah
belajar tentang diri sendiri, sekarang mereka hendak tetapkan pula cita-cita
anak-anak mereka.
“Kenapa mak ayah
saya tak pernah faham saya macam Abang E faham saya. Padahal saya baru jumpa
Abang E dua hari jer.” Itu luahan sambil menangis seorang pelajar lelaki tingkatan 5 yang
menyertai kem motivasi kemahiran belajar yang saya kendalikan. Saya jawab “Sebab
Abang E belajar banyak tentang kamu.”
Usah harungi masa
depan bersandarkan nasib semata-mata. Belajar dan rancanglah yang terbaik. Samada
berjaya dicapai atau tidak, itu urusan Tuhan, usah dipersoal. Urusan kita
belajar, rancang dan laksanakan.
Anak-anak adalah
urusan kita. Ambil masa untuk belajar tentang mereka. Sesen pun tidak rugi. Apabila
kita belajar tentang mereka sebenarnya kita akan tahu banyak tentang diri kita
sendiri. Anak-anak adalah cerminan diri kita. Dalam diri mereka tersimpan
rahsia tentang diri kita.
Terima kasih kerana
membaca, semoga bermanfaat. Wallahu a’lam.
Che E