Tersengguk-sengguk,
lentok sehingga ke lantai, tersandar, ternganga dan macam-macam lagi gaya lena dalam
masjid. Khususnya sewaktu khatib di atas mimbar.
Kadang-kadang
orang lain sudah mengangkat takbiiratul
ihram, masih ada lagi yang ‘khusyuk’ tertunduk. Terpaksalah digosok
belakangnya, diurut tengkuk, dijentik telinga atau dicuit paha. Tidak pasti samada
para khatib perasan atau tidak gelagat jemaah jumaat di bawah.
Cuba anda
pilih sebab-sebab terlena semasa khutbah jumaat seperti yang saya senaraikan di
bawah:-
1. Waktu tengahari
2. Suhu masjid
3. Keadaan saf
4. Perut lapar
5. Tempoh khutbah
Mana
satu faktor utama? Saya yakin ramai yang kurang setuju dengan faktor-faktor
yang saya senaraikan di atas. Jadi apa faktor utama yang menjadikan anda terlena
semasa khutbah jumaat?
PERHATIAN!
Ya itulah faktor yang utama. Perhatian anda terhadap khutbah jumaat terlalu
sedikit atau langsung tiada semasa khatib menyampaikannya.
Sedangkan
pada hari-hari lain, waktu tengahari anda boleh sahaja memberikan perhatian terhadap
perkara yang anda lakukan. Bekerja, mengajar, makan, memandu, berniaga,
menonton, memasak dan sebagainya.
Jadi,
mengapa waktu tengahari pada hari jumaat, anda sukar memberi perhatian kepada
khutbah yang disampaikan? Sedangkan rata-rata masjid hari ini menggunakan sistem
suara (sound system) yang canggih dan
persembahan visual melalui layar putih yang besar.
Ternyata
sound system, projector, sejadah panjang, kipas gergasi, aircond dan mimbar berukir tidak mampu menarik perhatian jemaah terhadap
khutbah jumaat. Hanya satu yang boleh melakukannya, khatib!
Khatiblah orang yang
bertanggungjawab penuh terhadap khutbah jumaat. Bukan sekadar menyediakan isi
khutbah dan menyampaikan, tetapi juga menarik perhatian para jemaah agar
mendengar dengan serius dan penuh penghayatan.
Rasa mengantuk pada waktu
tengahari adalah fitrah biologi manusia, bahkan juga haiwan. Ia satu daripada circadian rhythm dalam tubuh manusia. Maka,
jika khatib tidak berusaha untuk menarik perhatian, maka rasa mengantuk tersebut
akan menguasai jemaah dan akhirnya mereka akan terlena.
Pasti ada rahsia mengapa
Allah SWT mensyariatkan khutbah jumaat pada waktu tengahari, bukannya waktu pagi
atau malam jumaat.
Memaksa jemaah untuk dengar
sahaja apa yang disampaikan adalah satu ketidakadilan. Mereka telah tunaikan
tanggungjawab dengan hadir ke masjid dan senyap tatkala khatib di atas mimbar.
Sekadar membaca teks
khutbah dengan intonasi suara senada (monotonous)
atau ada juga yang terjerit-jerit tidak kena tempat, pada waktu tengahari ‘buta’
amatlah sukar untuk menarik perhatian jemaah.
Justeru tidak hairan mengapa
jemaah kanak-kanak dilihat sering membuat bising sewaktu khutbah. Bahkan sekolah-sekolah
agama yang bersebelah dengan masjid juga gagal ‘mendiamkan’ anak-anak didik
mereka sewaktu khutbah jumaat.
Saya sendiri pernah
melihat bagaimana seorang khatib selebriti seolah-olah hilang punca sewaktu
menyampaikan khutbah kerana suara jemaah kanak-kanak bersembang di tingkat dua
masjid jauh lebih riuh, kuat dan ‘menarik’ perhatian jemaah. Ternyata khatib
tidak mampu ‘menguasai dan mengawal’ jemaah kanak-kanak tersebut padahal
beliaulah yang paling tinggi dan berkuasa pada waktu itu.
Tiada apa yang menarik
bagi mereka dalam khutbah. Bercerita dengan kawan jauh lebih menarik. Bahkan, jemaah
tua juga ramai yang memilih untuk berborak. Di luar masjid sambil merokok,
menjamah pisang free atau minum susu
soya sejuk.
Ini cabaran dakwah bagi
para khatib. Mereka tidak boleh lagi complacent
sewaktu memanjat tangga mimbar. Cabaran mimbar sangat besar pada hari ini.
Tingginya mimbar hari ini
kian hilang maknanya kerana yang ramai di bawah hanya tertunduk dan tiada minat
lagi mendongak. Tambah-tambah lagi, mereka lebih banyak ‘belajar’ dari apa yang
dibaca di tapak tangan daripada mendengar apa yang datang dari atas mimbar.
Para khatib perlu sedar, setiap
kali khutbah jumaat disampaikan, ada para solehiin, ahli agama, ilmuan, profesional,
muallaf, OKU, penjenayah, pemabuk, fasiqiin, penzina, kanak-kanak, wanita, orang
tua, murtaddiin, non-muslim dan ramai lagi yang mendengar. Mereka semua berhak
mendapat manfaat daripada khutbah yang didengar.