Prinsip terbaik untuk menerima apapun yang bakal diumumkan
oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2016 hari ini ialah ukurlah baju di badan
sendiri.
Kos sara hidup yang meningkat saban waktu bukan lagi suatu
yang pelik. Bahkan sudah lagi tidak boleh dielakkan. Maka kita tiada pilihan
selain daripada menempuhnya.
Sukatlah apa sahaja yang ada dalam genggaman, poket seluar, kocek
baju, dalam laci almari baju, tabung ayam atau tabung haji. Itulah hakikat
anda.
Potong, kurangkan, sikit-sikit atau elakkan adalah pilihan
yang ada dalam menerima hakikat keadaan ekonomi semasa. Belajarlah perlahan-perlahan
jika ia perkara baru bagi anda.
Ini bukanlah satu perkara ganjil. Hidup dalam zaman yang
mencabar ini, anda harus bijak membuat pilihan dan keputusan. Pilihan yang
semalam baik, mungkin sebaliknya hari ini.
Pakailah kaca mata anda kemas-kemas. Lihat keperluan diri
anda dari kaca mata sendiri. Kaca mata orang lain berbeza kuasanya. Ada yang
rabun jauh, rabun dekat atau rabun ayam.
Usah malu menonjolkan diri anda dengan apa yang anda ada. Fake it till you make it adalah simptom orang
kurang yakin dengan diri sendiri. Berhentilah berlakon dan jadilah diri
sendiri.
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Bijak anda menyelitkan
pepatah ini dalam karangan Bahasa Melayu semasa di sekolah menengah dahulu tapi
amat sukar menyelitkannya dalam rutin amalan hidup.
Ternyata tekanan ekonomi hari ini adalah masa dan pendorong
terbaik untuk anda mulakan tabiat positif dalam mengurus hal ehwal kewangan diri
dan keluarga.
Apapun caranya Perdana Menteri mengurus ekonomi negara, itu
pilihan dan keputusan dia. Itu amanah yang dipikulnya. Dia bertanggungjawab
atas apa jua pilihan dan keputusan yang diambil.
Anda sebagai pemimpin dalam keluarga, juga bertanggungjawab
atas pilihan dan keputusan yang anda buat. Usah terburu-buru dan beremosi dalam
membuat keputusan. Berbincanglah dengan waras dan adil. Biarlah kekal berat sama
dipikul ringan sama dijijing.
Ada bonus atau tiada, harga turun atau tidak, cukai kurang
atau tidak, peruntukan bertambah atau tidak, ukurlah semua di badan
masing-masing. Tepuk dada tanyalah selera masing-masing. Jika anda masih ada
selera.
Terima kasih.