Fenomena masjid dan surau penuh
pada malam-malam awal Ramadan adalah lazim di negara kita. Seronok dan meremang
bulu roma apabila melihat berbondong-bondong jemaah lelaki berketayap, wanita bertelekung
dan kanak-kanak memasuki masjid. Lebih ramai daripada solat jumaat. Saf panjang
dan tersusun sehingga ke kawasan berumput di luar masjid dan surau. Apa agaknya
perasaan rakan-rakan non-muslim kita yang melihat suasana ini.
Ramadan adalah masa kebanyakan
kita berlumba-lumba buat benda baik. Semua tahu sebabnya. Ganjaran pahala berlipat
kali ganda. Buat yang wajib pahalanya tujuh kali berganda, buat yang sunat
dapat pahalanya macam buat yang wajib. Itulah tanda-tanda Rahmat Ilahi dan bukti
kasih Allah yang mahukan hamba-hambaNya menjadi penghuni syurga.
Namun, setiap kali Ramadan kita
pasti dengar orang-orang masjid samada imam atau ajk yang merungut tentang
fenomena jemaah sesak pada minggu pertama Ramadan sahaja. Maka, berpesanlah
mereka supaya jemaah kekalkan momentum untuk penuhkan masjid terutamanya
sehingga ke minggu terakhir Ramadan.
Kebanyakannya ajak-ajak ayam
sahaja sebab orang-orang masjid ini tahu ajaklah macam mana pun jemaah pasti
akan berkurangan. Ramai mula sibuk buat persiapan sambut hari raya. Setakat ini
itulah logiknya. Tarikan hari raya yang satu hari lebih kuat daripada malam al
Qadar yang bersamaan 30,000 hari. Pernahkah anda cuba fikirkan sebab-sebab
lain?
Sekarang cuba kita renung
sekejap! Pahala yang mana lebih besar, amalan wajib atau amalan sunat? Pastilah
yang wajib. Jadi yang wajiblah sepatutnya ditingkatkan dan yang sunat menjadi
penambah. Fokus kita berbondong pada malam hari Ramadan untuk buat yang wajib
atau yang sunat?
Cuba bayangkan kalau kita
berbondong untuk solat berjemaah maghrib, isyak, subuh, zuhur dan asar. Bagaimana
agaknya suasana Ramadan jika fenomena itu berlaku? Kita pasti menjadi umat yang
menggempar dan menggentarkan!
Andai kita berbondong lima waktu
yang wajib dalam bulan Ramadan, mungkin tanpa perlu diajak, masjid dan surau
akan sesak sepanjang 29 hari Ramadan. Bahkan akan beri kesan limpah (spillover
effect) selepas Ramadan, masjid dan surau sentiasa penuh dengan jemaah.
Kenapa jemaah susut selepas
seminggu Ramadan? Mungkin kerana titik fokus ibadah Ramadan kita tersasar. Kita
fokus kepada yang sunat bukan yang wajib. Banyak masjid tidak lokek mengeluar
biaya untuk melantik imam-imam hafiz dalam atau luar negara. Juga untuk memberi
fokus kepada yang sunat bukan yang wajib.
Mengukuhkan lagi premis ini ialah
cara kita jalani ibadah puasa. Ibadah puasa adalah satu pakej. Ia termasuk
sahur, niat, menahan makan, minum, syahwat sepanjang siang dan iftar. Hikmah
berpuasa adalah supaya kita fahami dan insafi erti perut kosong. Ibadah ini ada
caranya. Semua sudah jelas terpandu dalam sunnah Nabi SAW.
Namun amalan puasa kita tetap memberi
fokus kepada makan. Lihatlah cara kita bersahur dan iftar. Promosi dan iklan
berkaitan Ramadan, semuanya pasal makan. Ramadan juga amat sinonim dengan
bazar. Akibatnya, latihan 14 jam berlapar selama sebulan langsung tidak memberi
kesan kepada diri kita. Lebih malang lagi ada yang sudah puluhan tahun melalui
Ramadan tetapi Ramadan hanya memberi mereka lapar dan dahaga. Fokus kita silap.
Melakukan ibadah wajib sedikit
berat berbanding amalan sunat. Itu sebab pahalanya besar. Dengan memfokus niat,
cinta, tenaga dan masa untuk meningkatkan dan menyempurnakan amalan ibadah
wajib dalam bulan Ramadan pasti akan mencetuskan momentum yang memberi impak besar.
Masjid-masjid usah berlumba
promosikan solat tarawih atau iftar tapi promosikan bersungguh-sungguh solat
fardhu yang lima terutamanya subuh. Jika solat subuh di masjid kita jemaahnya
berbodong-bondong, usah risau zuhur, asar, maghrib, isyak apatah lagi tarawih, masjid
pastikan sahaja sejadah dan tikarnya cukup.
Jika datang Ramadan masjid dan
surau hanya ramai pada waktu iftar dan tarawih, maka selepas Ramadan masjid dan
surau pasti kembali menjadi bangunan-bangunan sunyi.
Jika sejak sekalian lama, ajk
masjid buntu mencari jalan untuk meramaikan jemaah, solusinya ada dalam Ramadan
tapi bukan pada tazkirah oleh penceramah glamour, imam hafiz tarawih, tarawih
20 rakaat atau ruang solat berdingin hawa tetapi pada solat berjemaah lima
waktu yang fardhu.
Wallahu a'lam.