Persediaan terbaik untuk mencapai keputusan hebat dalam
peperiksaan bukan sekadar membuat ulangkaji. Kawalan gemuruh, kecergasan,
kesihatan, kecerdasan, motivasi dan keseimbangan emosi penting untuk
calon-calon peperiksaan. Bolehkah semua itu diperolehi dengan hanya membuat
ulangkaji?
Sama seperti ahli sukan, pemain bola sepak atau badminton
sebagai contoh. Membuat latihan bermain (sama seperti ulangkaji dalam belajar)
akan memberikan mereka kecekapan, kemahiran dan seni dalam bermain. Tetapi
tanpa kekuatan minda, psikologi dan fizikal yang mantap, kemahiran bermain
semata-mata sukar menghadiahkan kemenangan kepada mereka. Lihat dan nilailah
sendiri. Pasukan Piala Thomas negara kita tewas kepada pasukan Jepun bukan
kerana pemain kita tidak mahir bermain tetapi mereka sedikit kurang mantap dari
segi psikologi. Mungkin perkara sama terjadi kepada pasukan Brazil dalam Piala
Dunia yang baru sahaja berakhir.
Melalui pengalaman kami mengendalikan program motivasi
persediaan psikologi peperiksaan sejak 10 tahun lalu, kami dapati majoriti
calon SPM tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam menghadapi peperiksaan
penting tersebut. Mereka langsung tidak menetapkan sasaran skor yang ingin
dicapai. Rata-rata mereka belajar ikut rasa (mood) sahaja. Sampai masa jawablah
apa jua soalan yang tertera dalam kertas soalan. Kemudian tunggulah apa jua
keputusan yang bakal keluar. Selepas itu mohon apa sahaja kursus pengajian
tinggi yang layak dengan keputusan yang diperolehi. Kalau langsung tak layak,
kerja. Fuh, sungguh mudah hidup mereka. Bukan seorang dua tetapi majoriti
pelajar yang kami temui.
Mengajar para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan
penting seperti SPM bukan satu tugas yang mudah. Kami yakin itulah yang dilalui
oleh guru-guru. Tugas ini menjadi bertambah mencabar apabila kelompok pelajar
yang diajar langsung tidak mempunyai perspektif dan halatuju yang jelas tentang
masa depan mereka sendiri. Guru-guru penat menolak sedangkan mereka bergerak pun
tidak mahu. Yang anehnya kenapa kelompok ini majoriti?
Tetapi bagi para pelajar yang mempunyai matlamat yang jelas
sejak dari awal, estim diri, cara blajar dan keberhasilan mereka ternyata
berbeza. Kalaupun tidak mencapai keputusan luar biasa mereka tetap terkelompok
dalam golongan yang berjaya. Golongan ini dengan sedikit tolakan dari guru,
ibubapa, rakan atau sesiapa sahaja, mereka terus meluncur laju.
Sekadar menyalahkan yang majoriti tidak akan merubah
apa-apa. Bahkan kita akan kekal ditakuk lama. Maka, ambillah langkah proaktif
dan berdoa. Melalui program ini, walaupun singkat ia ternyata telah membantu
ramai pelajar yang kebanyakannya dari kelompok majoriti di atas. Program ini
juga menjadi pengukuh dan pencetus semangat kepada golongan minoriti di atas.
Dengan kadar yuran kami yang sangat berpatutan dan
dikendalikan oleh perunding profesional kami yang berpengalaman luas, kami
yakin banyak sekolah boleh menganjurkan dan memperoleh manfaat daripada program
ini.
Membiarkan anak-anak bangsa kita belajar tanpa haluan bagai
mencurah air ke daun keladi atau mencurah garam ke laut, sia-sia. Bimbang esok
tugas mulia kita mendidik mereka menjadi beban tak terpikul apabila kita diaudit
di mahkamah Tuhan kelak lantas kita sekadar mengajar menghabiskan masa yang
telah dijadualkan. Tugas mendidik anak-anak bangsa bukan sekadar menghabiskan
lembaran bercetak dalam buku teks tetapi memimpin mereka untuk merentas laluan
masa depan yang cukup beranjau.
Laluan masa depan boleh disuluh dengan perspektif, halatuju
dan matlamat yang jelas. Soal sampai ke destinasi atau tidak, itu babak kedua.
Yang penting matlamat mesti dijelaskan. Jika ia tidak dijelaskan maka kita
membiarkan anak-anak bangsa kita meredah masa depan mereka dengan mata terbuka
tetapi dalam laluan yang gulita tanpa cahaya.
Selamat maju jaya kepada semua adik-adik yang bakal
menduduki PT3, SPM, STAM & STPM 2014.
Untuk organisasi atau sekolah yang berminat menganjurkan bengkel ini, sila berhubung terus dengan Unit Pemasaran AsasInsan di talian 03-89222934.