Semalam sewaktu saya menjalankan ‘tugas’ menemankan
anak saya menyetai pertandingan bercerita di sebuah sekolah di Seremban, saya
berkesempatan bersembang-sembang dengan seseorang yang juga menjalankan ‘tugas
kebapaan’ sama seperti saya. Inilah kesimpulan yang boleh saya buat tentang
sembang di kaki lima sekolah pagi itu;
USAH
BERTANGGUH!
Masa berlalu tidak akan kembali. Tiada konsep qodho’ dalam
masa. Maka buatlah apa yang sepatutnya pada waktunya. Kalau kita perlu mula
sekarang maka mulalah sekarang. Kalau kita rasa perlu berhenti merokok sekarang
sebab dah nak kahwin atau anak akan lahir atau baru dapat kerja, maka
berhentilah sekarang.
Usah tunggu esok, lusa atau bila tiba masa yang tepat.
Kerana masa yang tepat itu sebenarnya bermaksud ‘sekarang’ apabila ditafsirkan.
Kalau perlu ajak anak solat berjemaah, maka mulalah malam ini juga sebab amalan
itu tidak mungkin diqodho’ esok bila mereka sudah besar panjang. Kalau perlu
bercakap baik-baik dengan anak kita maka bercakaplah dengan mereka hari ini
juga sebab esok kalau dia dah tak nak dengar cakap kita biar elok macam mana
pun kita bercakap dia tidak akan percaya.
Jangan tangguh. Nak buat benda baik jangan tangguh.
Tapi, nak buat benda jahat baik sangat kalau dapat ditangguhkan. Esok masih ada
adalah ‘dadah’ yang memabukkan kita tentang masa. Kesannya, kita tangguh lagi kerja
atau hasrat yang baik sebab termabuk dengan esok masih ada. Dia berkongsi
pengalaman dengan saya katanya lebih sembilan tahun lepas dia nekad berhenti
merokok apabila anak ketiga lahir dan rumah yang didiami sekarang adalah bukti dan hasil tindakan itu yang tidak
ditangguhkan sembilan tahun lepas.
Cara terbaik nak latih diri kita supaya kurangkan
bertangguh ialah solat awal waktu. Dengar sahaja azan, terus bingkas bangun
bersedia untuk solat. Saya sendiri juga tercabar dalam hal ini. Tapi jika
itulah jalannya untuk meraih kejayaan, kenapa perlu risau dan gusar. Buat!
Bila? Hari ini.
TIADA JALAN
PINTAS
Dia berkongsi lagi. Nak jadi bapa yang baik atau nak
didik anak supaya jadi anak yang baik tiada jalan pintas. Ia perlukan masa dan
perlu mula dari awal. Macam nak pandai mengaji Al Quran bagi yang buta Quran
perlu mula dari muqaddam.
Saya pernah lihat sendiri orang yang bergelar datuk,
Datuk dan profesional mula belajar mengaji dari muqaddam. Malu? Semestinya!
Siapa suruh tak mengaji dari kecil. Tapi kalaulah orang itu terus menyembunyikan
‘malunya’ dan tidak mahu mula dari awal, apa mungkin dia boleh membaca
ayat-ayat Allah hari ini? Tidak! Rugi bukan?
Mula dari awal walau selewat manapun jauh lebih baik
dan besar manfaatnya berbanding dengan tidak berbuat apa-apa langsung atas
alasan telah terlewat. Dalam kerja, bisnes dan keluarga tiada istilah jalan
pintas. Kalaupun kita terjumpa jalan pintas, ia mungkin jalan mati di
hujungnya. Lebih baik mula dari awal.
BANGUN AWAL
PAGI
Kongsinya lagi semasa di tingkatan satu dia selalu
membantu datuknya berniaga buah. Ada empat gerai Melayu tiga gerai Cina di
tempat atuknya berniaga. Dia perhatikan, subuh-subuh lagi gerai-gerai orang
Cina dah buka. Kalaupun belum mula berniaga tapi mereka dah ada di gerai
menyapu, menyusun, mengelap dan membersihkan gerai. Mula pagi-pagi rezeki lebih
mudah masuk. Itu kata mereka. Orang kita? Asal buka kedai rezeki masuk juga.
Cerita bangun pagi ini mungkin sesuai untuk orang
berniaga. Bagaimana dengan orang yang kerja makan gaji, ada kena mengenakah?
Bagi orang yang bekerja di KL bangun awal pagi adalah rutin bagi mereka. Jika
tidak mereka akan jadi mangsa kesesakan jalanraya.
Bagi yang mungkin kerja di Jerantut, di Bahau atau di
Yan, bangun awal pagi boleh menjadikan mereka positif dan produktif. Kesegaran
awal pagi akan menyegarkan jiwa, minda dan fizikal kita. Orang yang bangun
awal, mandi, pakai pakaian bersih, berjalan beberapa langkah ke surau,
menghirup udara segar pagi, solat berjemaah dalam saf yang rapat dan lurus,
mendengar dan kemudian membaca ayat-ayat suci Al Quran, bersalaman, bertegur
sapa seusai solat dan balik ke rumah untuk bersiap ke pejabat. Pasti jauh lebih
baik dari kita yang bangun, mandi, pakai baju pejabat, solat subuh sendirian
dan bergegas ke pejabat.
Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati insan yang ikhlas
berkongsi pengalaman baik dan hebat untuk pengajaran kita bersama. Wallahu a’lam