Duduk dalam lingkungan zon selesa kita
memang rasa selamat dan stabil. Hampir tiada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan
dan rutin hidup kita akan bersilih ganti mengikut kitaran yang biasa. Selepas ini
itu, selepas itu ini. Sampai masa habis dan esok mula semula dari awal.
Adakah anda mempunyai apa-apa matlamat
yang masih belum tercapai. Ambil contoh mengerjakan haji ke Baitullahil Haram. Jika
anda sekarang ini memang telah mula menyimpan untuk tujuan itu dan anda jangka
simpanan anda akan cukup dalam tempoh tertentu contohnya 3 tahun dari sekarang,
maka matlamat haji anda itu berada dalam zon selesa anda walaupun ia terjarak
beberapa tahun dari anda sekarang. Anda selesa dan tidak tertekan menyimpan
beberapa jumlah dari gaji bulanan anda. Anda rasa selamat dan stabil kerana
sampai masa simpanan anda akan mencukupi.
Memiliki matlamat untuk dicapai dalam
tempoh beberapa tahun dari sekarang tidak bermakna anda telah keluar dari zon
selesa. Kenapa pula kita perlu keluar dari zon selesa?
“Your life
begins at the end of your comfort zone.” Saya petik kata-kata motivator Brian
Tracy. Maknanya kehidupan yang sebenar atau benar-benar memuaskan dan
membahagiakan berada di luar garisan zon selesa kita. Apa akan terjadi jika
kita melangkah keluar dari garisan tersebut? Jawapannya mudah, risiko dan tiada
jaminan.
Inilah punca utama kenapa ramai orang memilih
untuk tidak melangkah keluar dan kekal dengan keadaan kehidupan yang biasa
dalam zon selesa. Ada sesuatu yang mereka tidak miliki!
Dan inilah juga puncanya kenapa orang yang
berjaya, kaya, bahagia dan membahagiakan jumlahnya tidak ramai. Mereka berani
melangkah keluar dari zon selesa. Berani mengambil risiko. Tidak bimbang dan bijak
mengurus sesuatu perkara yang tiada jaminan. Mereka memiliki keberanian.
10 tahun bekerja makan gaji. Dari bergaji
mula RM1,500 kini gajinya mencecah hampir RM5,000 sebulan. Anak-anak semuanya
telah bersekolah menengah dan ada juga beberapa hutang pinjaman seperti rumah
dan kereta. Dengan gaji yang diperolehi walaupun tidak mewah, hidupnya selesa,
tiada kebimbangan dan stabil.
Tiba-tiba dia mengambil keputusan
untuk berhenti kerja dan memulakan kehidupan baru dengan bekerja sendiri. Segala-galanya
berubah. Tiada lagi keselesaan, kestabilan dan ketenangan seperti sebelum ini.
Tiada lagi keselesaan sebab masa
bekerja bukan lagi 8 pagi – 5 petang tetapi 24 jam sehari 7 hari seminggu. Tiada
lagi kestabilan kerana perbelanjaan harian dan bulanan adakala cukup adakala
tidak. Tiada lagi ketenangan kerana hujung bulan tiada satu angka tetap dalam
akuan bank yang boleh dijangkakan.
Jika begitu keadaannya kenapa dia mengada-ngada
melangkah keluar dari garisan zon selesanya? Sekarang cuba kita lihat apa yang
berlaku.
Dulu setiap bulan jumlah gaji yang
berbaki untuk simpanannya adalah sekitar RM500 setelah ditolak segala
perbelanjaan. Kiraan mudahnya begini, RM500 x 12 bulan x 5 tahun bersamaan
RM30,000. Sudah pasti jumlah simpanannya akan lebih sedikit jika ditambah
dengan dividen dan bonus yang diberikan bank. Oklah.
Sekarang dengan bekerja sendiri
setelah ditolak segala perbelanjaan jumlah keuntungan yang boleh disimpan
selepas 1 tahun ialah sekitar RM50,000. Bermakna dalam tempoh 5 tahun dia boleh
menyimpan sebanyak RM250,000. Itu belum ditambah dengan dividen dan bonus yang
diberi bank. Dalam kiraan mudah keadaanya selepas keluar dari zon selesa iaitu
berhenti kerja ialah 8 kali ganda lebih baik dan memuaskan.
Jadi di mana yang selesa sebenarnya di
dalam atau di luar garisan?
Memang benar dengan kekal di dalam zon
selesa tiada risiko besar yang dipikul berbanding dengan kerja sendiri
(berniaga). Namun, suatu yang pasti dalam zon selesa ialah anda sudah boleh jangkakan
penghujung jalan cerita kehidupan anda. Seperti menonton filem Hindi dan
sesetengah drama dan filem Melayu. Sebagai contoh, istilah ‘gaji mati’. Kenapa kita
perlu benarkan dan redha orang lain ‘mematikan’ hasil yang patut kita dapat
daripada modal (potensi), peluang dan kekuatan diri yang kita miliki. Di luar
zon selesa tiada istilah seperti itu.
Modal utama yang dimiliki oleh setiap
orang adalah sama, hayat. Bezanya cuma jangka hayat, ada yang 40, 55, 62, 71
dan 92. Terserahlah di mana tempat anda melabur modal anda. Contoh, Allahyarham
Ustaz Asri Rabbani telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2009 ketika usia 40
tahun, sehingga ke hari ini suaranya tetap menyerikan corong-corong radio dan
tv dengan nasyid yang mendidik jiwa, alunan doa, zikir dan solawat. Album-albumnya masih diterbitkan, terjual dan pasti memberi pulangan kepada waris dan syarikatnya walaupun dia telah lama pulang ke pangkuan Penciptanya. Kita pada
usia yang mungkin telah lebih dari itu, apakah ‘seri’ yang telah kita hasilkan?
Sekali lagi saya memetik kata-kata
menarik Brian Tracy “your comfort zone is
the greatest enemy of your self-potentials.”
Keluar zon selesa bukan bermakna
berhenti kerja. Itu hanya satu contoh. Solat-solat sunat, puasa sunat, sedekah
sunat dan macam-macam lagi amalan sunat adalah contoh lain perkara yang berada
di luar zon selesa. Dalam zon selesa kita mungkin cuma ada solat lima waktu.
Cuba 3 hari bermula esok anda keluar
dari zon selesa buat berapa amalan sunat yang lain, anda pasti kurang selesa,
teragak-agak dan sangat kuat rasa untuk kembali masuk ke zon selesa, tunai hanya
yang 5 waktu. Betul tak? Cubalah!
Cuba 3 hari bermula esok anda tunaikan
solat yang 5 waktu itu seusai azan, maknanya di awal waktu. Zon selesa
benar-benar akan menguji anda.
Cuba 3 hari bermula esok anda datang awal
ke pejabat dan buat kerja-kerja extra yang disukai bos yang tidak pernah anda
buat sebelum ini. Suara panggilan pulang zon selesa sangat kuat, bukan?
Cuba 3 hari bermula esok anda peluk dari
belakang dan cium pipi isteri anda setiap kali dia tengah memasak atau mencuci
pinggan di dapur. Anda mungkin boleh dengar ketawa zon selesa di belakang anda?
Cuba 3 hari bermula esok anda baca 5
muka surat buku sebelum tidur. Cuba tengok sampai muka surat berapa zon selesa
anda akan suruh anda berhenti membaca!
Tetapi sekarang cuba anda bayangkan pula
bagaimana kalau anda boleh abaikan suara-suara manis zon selesa anda. Selepas 3
hari anda teruskan lagi 3 hari sehingga akhirnya menjadi sebulan dan setahun,
bagaimana rasanya keadaan diri anda? Ternyata di luar zon selesa keadaan diri kita
sangat berbeza. It’s happening and
growing! bak kata orang putih.
Fikir dan bertindaklah segera. Itulah yang
membezakan orang yang berada di dalam zon selesa dengan mereka yang berada di
luar. Zon anda pilihan anda.
Terima kasih kerana membaca. Semoga ada
manfaat.
CHE E
Perunding
Utama AsasInsan
1 April 2014
Jom sertai
bengkel yang boleh bantu kita melatih diri melangkah keluar dari zon selesa,
klik di sini.