Utama

03 January 2019

2019: Anda Kebanyakan Atau Segelintir?



Tahun baru bagi kebanyakan orang hanyalah peralihan angka atau masa untuk dapatkan kalendar kuda percuma dari pasaraya. Selain itu, ia tiada apa-apa makna.

Hari ini dan semalam, sama sahaja. Tidak banyak benda yang boleh diceritakan tentang mereka. Hidup ini adalah nasib yang telah ditentukan, mereka percaya begitu. Sampai masa, mati.

Tapi bagi segelintir orang, peralihan angka pada tahun mesti seiring dengan pencapaian diri. Semakin banyak angka tahun, semakin banyak hasil yang dicapai.

Bagi mereka hari ini adalah keputusan bagi tindakan semalam. Semalam dan hari ini kedua-duanya penting. Mereka sentiasa teruja dan bersedia untuk meneroka hari esok. Jangan mati sebelum capai sesuatu yang bermakna. 

Mereka memang tak berupaya menangguhkan ajal maut. Maka itulah sebabnya mereka manfaatkan setiap detik hayat yang Tuhan kurniakan.

Allah SWT berfirman, Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk menguji kamu atas apa yang diberikan-Nya kepada kamu.” Surah Al-An’am: 165.

Jangan marah, dengki atau pelik dengan orang yang jauh lebih maju dari kita lantaran mereka lebih bijak memanfaatkan potensi anugerah Tuhan berbanding kita.

Jadi tanyalah diri kita masing-masing, “aku ini jenis kebanyakan atau yang segelintir?”.

Selamat Tahun Baru 2019.

Terima kasih
- Che E