Lepaskan,
ampunkan dan redhai mereka.
Itulah
saranan ikhlas saya kepada ibu ayah yang hadir menyokong usaha anak-anak mereka
di Majlis Solat Hajat SMK Seksyen 5 Wangsa Maju minggu lepas.
Ampunkan
mereka. Jika diangkat hijab saya yakin kita boleh melihat tubuh anak-anak kita
akan bercahaya lantaran ampunan yang kita berikan.
Mereka akan
berasa tenang. Dada mereka akan berasa lapang. Mudah untuk mereka berjuang
dalam peperiksaan penting yang diduduki.
Padat
dengan pelajar, ibubapa dan guru-guru pada malam itu. Dalam kepadatan itu,
serentak anak-anak ini bangun tanpa lengah, tanpa ragu, tanpa fikir apabila
saya bertanya “Siapa mahu ibu ayahnya ampunkan dosa-dosanya, sila bangun!”
Mereka bangun
secara sub-conscious. Mereka memang sentiasa mengharap dan perlukan
ampunan daripada ibu ayah. Tambahan pada saat-saat genting menghadapi
peperiksaan.
Dalam kerisauan
kita memikirkan persediaan anak-anak menghadapi peperiksaan, kadang-kadang ada
gelagat mereka yang mencuit sabar kita.
Lidah kita
laju bagai petir untuk marah, bebel, herdik atau ancam mereka. “Kalau Along malas
macam ni, tak tahulah Along nak jadi apa besar nanti.” Kita mengalahkan
Malaikat.
Dalam ceramah
malam itu, saya pesan kepada ibu ayah ‘gulunglah lidah’, tahan sikit perasaan
amarah kita.
Kita boleh
‘buang’ mereka kalau mereka gagal esok. Sebab kita mungkin ada lagi anak-anak lain
yang kita rasa boleh penuhi harapan kita. Tapi si gagal yang ‘dibuang’ itu
tiada lagi ibu dan ayah yang lain. Dia hanya ada kita sebagai ibu dan ayahnya.
Ibu-ibu,
ayah-ayah. Esok apabila keputusan keluar, iringi anak-anak kita pergi mengambil
keputusan. Pamerkan wajah ceria. Saat betul-betul sebelum dia mengambil dan
memegang slip keputusannya, pegang kepalanya dan bisik ke telinganya, “Along…
buka jer keputusan tu dan usah risau sebab apa pun keputusannya, Along tetap anak
ayah dan ibu. Ayah dan ibu sayang Along.”
Ampunkanlah
mereka. Ya Allah, permudahkan segala urusan anak-anak kami dan kurniakanlah mereka
kesudahan yang sempurna dan baik. Amiin
Terima
kasih
Che E