“Terima kasih tuan. Satu ceramah yang bagus!
Tapi saya rasa apa yang tuan sampaikan tadi pada realitinya sukar dibuat.”
Itu komentar spontan seorang peserta lelaki terhadap
ceramah motivasi yang saya sampaikan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ)
Seremban baru-baru ini. Slot ceramah motivasi saya bertajuk ‘Nasi Lemak
Kacang Lebih: Rahsia Seronok Bekerja.’
Sukar dibuat? Adakah perkara-perkara yang saya
sarankan dalam ceramah itu terlalu bersifat tulus, mulus dan retorik? Sehingga ia
kelihatan ‘cantik’ disebut tetapi hakikatnya tiada sesiapa yang mampu mencapainya.
Bukankah seorang motivator sememangnya retorik? Saya
periksa maksud ‘retorik’ dalam enjin carian dan ini jawapan yang saya dapat: Language designed to
have a persuasive or impressive effect on its audience, but often regarded as
lacking in sincerity or meaningful content.
Mungkin saya boleh bersetuju dengan saudara yang
memberi komen tersebut tentang susunan kata, tutur bicara dan gaya penyampaian
saya. Ia mungkin retorik dalam erti kata bicara saya kelihatan begitu ‘real’
dan bersungguh-sungguh. Sehingga hilang suara saya dua-tiga hari selepas itu.
Tetapi niat saya dalam menyampaikan sesuatu yang
baik dan membakar semangat khalayak untuk bergerak ke arah yang lebih baik bukanlah
retorik.
Saya bagi contoh. Dalam ceramah tersebut saya
pampangkan kiraan mudah untuk jadi ‘kaya’ seperti berikut:
200 bungkus nasi lemak / 8 lokasi = 25 bungkus di
setiap lokasi
200 bungkus x RM1.50 sebungkus = RM300 hasil
jualan sehari
RM300 sehari x 25 hari berniaga = RM7,500 kutipan
kasar sebulan
Jika kos ialah ialah 1/3 daripada kutipan kasar,
maka untung bersih ialah RM5,000 sebulan.
Bangun awal pagi setiap hari untuk sediakan 200
bungkus nasi lemak dan edarkan hanya 25 bungkus di setiap 8 lokasi berbeza. 25
bungkus lebih mudah terjual berbanding 200 bungkus. Ini berniaga ala gerila
namanya.
Jam 11.00 pagi, saya kata pada hari itu, ialah
masa untuk kutip hasil! Saya bertanya pula kepada para peserta, “Jadi petang
nak buat apa?” Ada yang menjawab dengan kuat “TIDUR!” sambil
disambut dengan gelak tawa seisi dewan.
Jadi adakah saya retorik? Adakah kiraan mudah
yang saya tunjukkan itu lacking meaningful content. Maksudnya saya tidak
jujur dan semua kiraan itu tidak berasas, tidak betul dan tidak boleh dipakai. Ia
sekadar penyedap rasa untuk pembentangan seorang penceramah motivasi.
Betul, saya sendiri tidak pernah menjual nasi
lemak. Saya tiada pengalaman menjual nasi lemak. Saya tidak pandai buat nasi
lemak. Saya sendiri tidak suka makan nasi lemak. Tapi, kalau makan nasi lemak,
saya suka nasi lemak lengkap bukan nasi lemak ‘telanjang’ bak kata Chef Wan.
Cuma, sejak Mei lepas saya baru mula menjual
Nasi Lemak Kacang Lebih, bukan nasi tapi buku karangan saya terbitan Must Read
Sdn. Bhd. dan boleh dibeli di kedai-kedai buku MPH dan Popular berhampiran
anda. Tajuk ceramah saya di HTJ adalah sempena tajuk buku pertama saya ini.
Tetapi apa yang lebih penting ialah, bukan satu
kisah benar yang saya tahu tentang ‘jasa’ nasi lemak sebagai talian hayat. Banyak!
Saya yakin anda juga serupa. Mungkin lebih hebat kerana anda sendiri tahu atau pernah
menjual nasi lemak.
Terbaru sewaktu saya berjalan kaki dari stesyen
LRT KLCC ke Menara Lembaga Getah Malaysia untuk menyampaikan ceramah di LGM,
saya melintasi seorang lelaki yang berniaga nasi lemak di siar kaki dan
kedudukannya betul-betul menghadap menara berkembar tertinggi di dunia. Dia tenang,
bersungguh-sungguh melayan pelanggan dan kelihatan cukup ceria.
Maknanya, di situ tegak berdiri menara mercu
kekayaan sebuah negara yang menggali minyak dan juga sebuah meja lipat penanda si
pengais mencari sesuap rezeki dengan menjual nasi lemak.
Saya pernah dikunjungi oleh seorang bisnesman yang
usianya pertengahan 50-an di pejabat saya. Dakwanya dia dan isterinya dahulu
masing-masing memandu kereta mewah. Dia mewah dan banyak duit. Tapi hari itu, dia
hulurkan resume untuk minta kerja yang sesuai di pejabat saya. “Bisnes saya
sudah gulung tikar.” katanya. “Sekarang saya dan isteri menjual nasi
lemak di hujung simpang sana untuk sara anak-anak.” Saya gamam.
Semasa saya belajar di universiti dahulu, ada seorang
rakan saya hampir setiap malam pergi ke Jalan Chow Kit dan dia biasanya akan
balik semula ke asrama sebelum subuh. Satu hari dalam was-was saya bertanya dia
“Apa kau buat setiap malam ke Chow Kit?” Rupa-rupanya dia membantu
pakcik saudaranya berniaga nasi lemak bungkus di Jalan Chow Kit. Sebungkus RM0.50
dan biasa orang beli paling sikit 2 bungkus. Satu hari dia beri tahu saya yang
pakciknya itu baru beli kereta mewah second hand, cash!
Pastinya ini bukan retorik. Semua kisah ini benar.
Benar-benar terjadi kepada insan-insan hebat di luar sana. Menjadi inspirasi
buat kita yang masih lagi tercari-cari.
Suka saya petik pesanan Steve Jobs: “And the only way
to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep
looking. Don’t settle. As with all matters of the heart, you’ll know when you
find it.”
Seronok mencari rezeki adalah kunci kebahagiaan.
Setiap rezeki yang sampai kepada kita adalah kiriman penuh kasih sayang daripada
Tuhan yang maha Pencipta. Dia beri apa yang kita perlukan.
Berdoalah tatkala menerima rezeki kerana saat
itu Tuhan sedang memanggil anda. Dalam ceramah saya di HTJ, saya ada kongsikan sepotong
ayat Al Quran yang baik dibaca tatkala menerima rezeki, Surah As-Sad 38:54. Tapi
sayang, berapa ramai yang dengar panggilan Tuhan. Kita merungut, mencebik dan komplen
pada rezeki yang tiba. Sikit, tak cukup, balik-balik yang sama. Sedang Tuhan lebih
tahu apa yang kita perlukan. Bersyukurlah.
Beli dan baca buku Nasi Lemak Kacang Lebih untuk
ketahui lebih banyak rahsia dan petua mencapai keseronokan dalam bekerja. Wallahu
a’lam.
Terima kasih kerana membaca.
Che E