Lain sungguh perasaan dapat berprogram dalam masjid yang sudah berusia
lebih 100 tahun. Ruangnya kecil, ukir hiasannya biasa-biasa sahaja, tiada kubah
gah dan tiada dewan besar. Tapi semangat di dalamnya besar. Inilah yang penting
dalam sebuah masjid. Semangat, jiwa dan ruh. Tanpa ruh, jiwa dan semangat,
masjid hanyalah bangunan rumah ibadat.
Masjid perlu berbeza dari rumah-rumah ibadat yang lain. Dikunjungi hanya
kala hati terasa ingin ketemu Tuhan. Dalam Islam, Tuhan bukan di masjid. Kita ke
masjid bukan ketemu Tuhan walapun ia disebut ‘baitullah’ (rumah Allah).
Jadi untuk apa kita ke masjid kalau bukan untuk bertemu Tuhan?
Kita mendengar dan menjawab seruan Tuhan. Allah SWT suka kita
melakukan amal baik dan mulia. Ke masjid bermakna kita melakukan amalan mulia. Beriktikaf,
berzikir, beribadah, berjemaah, bermusyawarah, berkongsi pengalaman, bertadabbur,
belajar, berjaringan dan macam-macam ‘ber’ lagi. Selagi mana ia amal soleh,
lakukannya dan Allah SWT suka. Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang
beriman dan melakukan amal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai. Jelas Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 12.
Baru-baru ini team AsasInsan dijemput untuk mengendalikan Seminar Keibubapaan Al-Amin di Masjid Dato Dagang, Kampong Jawa, Klang. Meriah,
bersemangat dan berinspirasi.
Walaupun kurang dari dua minggu promosi untuk seminar tersebut, pihak
AJK masjid berjaya menggamit penyertaan luar jangka. Walaupun had dan sasaran
peserta ialah 50 orang, pada hari program hampir 70 orang hadir dan menerima
sijil penyertaan dengan jayanya.
Satu yang menarik dalam seminar tersebut ialah hadirnya golongan ‘ibubapa
kepada ibubapa’. Dalam bahasa mudah kelompok ‘Datuk dan Nenek’. Mereka sama
teruja bahkan lebih lagi dalam menelaah dan berkongsi ilmu dan skil keibubapaan
yang dikongsikan.
Tugas membesarkan seorang anak bukan setakat usianya mencecah 18 atau
21 tahun atau sebelum dia berkahwin. Selagi mana dia bergelar anak, maka dia
perlu ‘dididik’. Bukankah kita biasa dengar orang berkata ‘menuntut ilmu dari
dalam buaian sehingga ke liang lahad’. Maka begitu jugalah tugas ibubapa mendidik
anak.
Kita tidak bersekolah untuk belajar ilmu dan kemahiran keibubapaan. Tiada
sijil atau kelulusan. Rata-rata apabila ditanya akan menjawab bahawa ilmu itu ‘datang
dengan sendiri’ atau turun-temurun. Lebih dramatik lagi ada yang berkata tidak
perlu belajar ilmu ini sebab nanti pandai-pandailah sendiri.
Anak kita hari ini lahir, membesar dan membina perspektif dalam zaman
yang berbeza dengan kita. Cabarannya juga berbeza. Justeru itu, sebagai ibubapa
yang bertanggungjawab, sebelum kita boleh menjadi bijak, mahir dan layak
mendidik anak, kita perlu terlebih dahulu ‘belajar’ bagaimana untuk menjadi ibubapa
yang kompeten. Membaca, hadiri kursus dan kuliah dan berkongsi pengalaman.
Dalam seminar ini, Trainer kami En. M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak atau
Che E telah berkongsi pengalaman, tip dan panduan dalam mengenali, berinteraksi
dengan berkesan dan membimbing anak-anak bermula dari usianya dalam kandungan
sehinggalah dewasa.
Antara intipati terpenting dari diskusi bersama Che E, ibubapa memikul
amanah untuk membesar setiap anak sebagai Rahmatan Lil A’lamin. Rasulullah SAW
telah terpisah masa dengan kita hari ini lebih 1,400 tahun. Maka, umat Islam
hari ini adalah pemegang amanah untuk menyampaikan Rahmat baginda Rasulullah
SAW kepada sekalian alam melalui sikap, perilaku, budaya dan cara hidup umat
Islam yang mulia, memuliakan dan dimuliakan. Rahmat baginda kepada sekalian
alam bukan setakat usia baginda di dunia sahaja tetapi sehingga akhir zaman.
Ambil contoh di negara kita, kesilapan dan kealpaan ramai ibubapa
dalam mendidik anak-anak hari ini, memperlihatkan betapa segelintir umat Islam (Melayu) hari
ini bukan lagi rahmat tetapi bala, ancaman dan kerugian kepada masyarakat dan negara.
Siapa mendahului dalam statistik jenayah, kemiskinan, penyalahgunaan dadah dan
rasuah dalam negara kita? Di mana Rahmat kita sebagai umat Muhammad SAW? Biar
anak kita tiada sebutir A pun dalam keputusan peperiksaannya tetapi dia membesar
sebagai rahmat kepada dunia kerana sebutir sampah pun dia tidak pernah buang ke
luar jendela.
Pada peringkat awal seminar, kaunselor kami Cr. Nurhazreen Hj. Mohd
Nor telah berkongsi pengalaman daripada pelbagai kes kaunseling yang
dikendalikan di Pusat Kaunseling Keluarga AsasInsan yang mendedahkan betapa
rapuhnya ilmu dan skil ramai ibubapa hari ini dalam memahami siapa anak mereka
yang sebenarnya. Kes-kes yang dikongsikan diharap mampu menjadi teladan dan
pengajaran berguna kepada para peserta.
Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada Masjid Dato Dagang dan para
peserta yang telah menjayakan Seminar Keibuapaan Al Amin pada 14 November 2015
yang lalu. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati segala usaha ikhlas setiap
orang yang menjayakan dan menyertai seminar tersebut. Amin.
Wallahu A’lam.