Seorang peserta
bengkel yang kami anjurkan bercerita sewaktu minum pagi. Katanya syarikat
tempat dia bekerja sedang dalam usaha mempraktiskan budaya korporat islamik.
Kecerdasan emosi (EQ) adalah salah satu elemen yang amat ditekankan di tempat
kerjanya.
Jawapan saya dan beliau sering saya kongsikan dalam bengkel-bengkel yang saya kendalikan.
Saya bersetuju dengan
beliau bahkan memuji usaha baik majikannya itu. Saya berdoa semoga Allah SWT
mempermudahkan segala usaha syarikatnya dalam menegakkan syariah dan syiar
Islam dalam nilai dan budaya urus tadbir syarikat.
Saya menegaskan kepada
beliau bahawa Islam secara fitrah adalah sangat korporat sifatnya. Kita tidak
perlu ‘mengkorporatkan’ Islam. Ia sememangnya korporat.
Budaya korporat sangat
menekankan nilai kerja yang produktif. Bukankah produktiviti sangat ditekankan
oleh Islam?
Sewaktu saya bertugas
dengan sebuah syarikat korporat multinasional suatu masa dahulu, mereka sangat
menekankan kepada disiplin kakitangan untuk melaksanakan tugas mengikut sistem
dan piawai yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi apa yang telah ditetapkan
akan menyebabkan ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Budaya ini diakronimkan sebagai
PONC (price of non conformance). Harga ini adalah satu kerugian bagi syarikat
kerana ia tidak perlu dibayar jika kakitangan melaksanakan tugas dengan betul,
cekap dan amanah.
Saya suka budaya ini
kerana ia amat Islamik. Islamik tidak perlu kepada label. Ia hanya perlukan
amalan yang tulus, telus dan sejajar dengan apa yang telah Islam tunjukkan. Jelas
sekali budaya ini akan merangsang integriti, kecekapan dan produktiviti
kakitangan.
Mengambil contoh mudah
budaya menjawab panggilan telefon. Ada sesetengah organisasi panggilan telefon
diurus dengan cekap, mesra dan produktif. Panggilan telefon adalah simbol
kewujudan sesebuah organisasi diperlukan. Jika tidak diperlukan tiada siapa
yang akan menghubunginya.
Bagaimana cara
kakitangan di tempat anda melayan panggilan telefon? Adakah pejabat anda
dibingitkan oleh deringan telefon bertali arus? Berapa cepat kakitangan anda
mengangkat gagang telefon untuk melayan panggilan? Adakah orang ramai selesa
membuat panggilan telefon ke organisasi anda? Atau adakah robot yang menjawab
panggilan telefon di pejabat anda? Perlu diingat tiada robot yang membuat
panggilan telefon tetapi sayang banyak pejabat membiarkan robot yang menjawab panggilan
telefon. Panggilan telefon adalah menifestasi hubungan dan interaksi insani,
iaitu manusia dengan manusia bukan manusia dengan robot.
Lihatlah bagaimana
Rasulullah SAW melayan setiap pertanyaan dan permintaan samada daripada ahli
keluarga, para sahabat mahupun golongan yang menentang Baginda. Jika orang
bernada lembut maka Baginda lebih lembut lagi dan jika orang bernada keras
Baginda tetap bernada lembut. Bukankah itu korporat dan produktif?
Saya pernah ditanya
oleh seorang pegawai bank berbangsa Cina. Dia bertanya siapakah yang bangun
lebih awal, orang Melayu atau orang Cina. Satu soalan yang saya kira cukup
sinikal.
Jawapan saya dan beliau sering saya kongsikan dalam bengkel-bengkel yang saya kendalikan.
Cuma di sini ingin
saya tegaskan bahawa pekerja muslim sebenarnya amat produktif jika mereka
benar-benar mengamalkan sunnah Nabi SAW. Tetapi sayang perkara ini bagai
fatamorgana. Belum ramai atau tidak cukup ramai yang terkesan dengan sunnah
Nabi SAW.
Dalam satu hadith
Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai berdoa kepada Allah SWT agar umat Islam peduli dan mengoptimumkan
waktu pagi yang amat bernilai dan istimewa.
Nabi SAW berdoa: “Ya Allah, berkahilah umatku di pagi hari.” Rasulullah SAW biasa mengirim sariyyah atau
pasukan perang di awal pagi dan Sakhru merupakan seorang pedagang, ia biasa
menghantar kafilah dagangnya di awal pagi sehingga dia sejahtera dan hartanya
bertambah.” (Riwayat Abu Dawud)
Justeru itu
mengamalkan budaya hidup dan cara kerja yang produktif bukan sahaja memberi
impak besar kepada prestasi pekerja dan organisasi tetapi ia sebenarnya membuka
jalan untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Barulah kerja kita
menjadi ibadah. Baca lanjut tentang Slot Booster Produktif 1.5 (Executive
Talk), klik di sini.
Terima kasih kerana
membaca. Wallahu a’lam
CHE E
Perunding Utama
AsasInsan