Sebenarnya usaha
memboikot produk pengguna yang dikatakan ada simpati kepada rejim zionis telah
lama dibuat. Saya sendiri dan keluarga sudah 3-4 tahun tidak membeli atau makan
beberapa produk yang diboikot sekarang walaupun asalnya produk-produk itu
adalah kegemaran saya. Cuma kempen boikot kali ini nampak lebih menjadi.
Paling
ketara yang terkesan nampaknya ialah sebuah rangkaian restoran makanan segera
roti berlapis daging yang cukup popular. Buktinya, dalam siri-siri kempen
boikot berkaitan konflik Israel-Palestin sebelum ini, tidak pernah terlapor
dalam media tentang mereka terkesan samada dari segi perniagaan mahupun
kebimbangan para pekerjanya. Hari ini lain.
Kita simpati
kepada abang, kakak, adik-adik dan anak-anak kita yang bekerja di restoran
tersebut. Mereka tidak bersalah. Mereka tidak kena mengena langsung dalam hal
ini. Yang kita boikot bukan mereka. Mereka darah daging seagama dan sebangsa
kita. Ini kita perlu faham betul-betul dan mereka juga kena faham betul-betul.
Bukan mereka yang disimbah cuma mereka terkena tempias kerana berada di situ.
Apa pun yang
kita buat perlu didasari dengan ilmu yang betul. Barulah matlamatnya
kesampaian. Boikot sesuatu produk bukan bermaksud memusnah lingkupkan
perniagaan syarikat yang mengeluarkan produk tersebut. Kita perlu menghargai
penat lelah, pengorbanan, pelaburan dan usaha di sebalik perniagaan tersebut.
Boikot
adalah sebagai amaran dan peringatan kepada pengusaha sesuatu perniagaan.
Boikot adalah menifestasi formula umum perdagangan ‘supply and demand’. Ia
lambang kuasa pengguna. Peniaga tidak harus lupa diri yang berkuasa bukan
mereka tetapi pengguna.
Ambil contoh
ini, jika pengeluar sesuatu produk memilih untuk ‘memboikot’ penggunanya dengan
mengurang atau menghentikan produksinya, pengguna langsung tidak terkesan
kerana dalam pasaran sentiasa ada pilihan. Tetapi jika pengguna yang memboikot,
peniaga tiada pilihan. Silap haribulan boleh gulung tikar.
Boikot
adalah ‘silent killer’ yang menggunakan kecanggihan persenjataan psikologi.
Maka tindakan kita dalam memboikot janganlah sampai menghilangkan sifat
‘silent’nya. Membuat hingar, menconteng, mengejek apatah lagi merosakkan apa
saja yang berkaitan perniagaan produk yang diboikot bukanlah cara boikot yang
betul. Tapi mungkin rakyat Malaysia agak ‘kebaru-baruan’ dalam hal boikot ini
jadi ada sekelumit yang agak ‘over reaction’ atau ‘over excited’.
Apabila
perniagaan mereka terjejas akibat diboikot, mereka pasti terfikir sesuatu.
Fikirlah kenapa orang boikot. Boikot yang kita lakukan sekarang mungkin tidak
menghentikan perang Israel-Palestin hari ini tetapi siapa yang tahu apa yang
berlaku di masa hadapan?
Umat Islam
di seluruh dunia berjumlah lebih 2 bilion. Sayangnya umat ini adalah umat
utilitirian iaitu pengguna dan bukan inventor dan pengeluar. Tapi cuba
bayangkan pula kuasa pengguna yang kita ada. Jika seluruh umat Islam di dunia satu
hati memboikot, bukan sekadar satu perniagaan boleh terlingkup tapi Israel dan semua
negara sekutunya pasti terjelepuk. Allahu Akbar!
Dalam hal
restoran roti berlapis daging di negara kita yang sedang diboikot sekarang,
perniagaan mereka pasti terjejas. Tipulah jika mereka kata tidak terjejas
langsung. Maka, silalah sampaikan suara rakyat Malaysia kepada pemilik francais
perniagaan anda. Ajak dan ajar mereka berfikir. Malaysia negara kecil. Yang
boikotpun bukan seluruh rakyatnya. Jadi kesan kerugian perniagaan hasil boikot
kita mungkin tidaklah sebesar mana. Tapi seekor semut api yang menggigit kaki
kita tetap kita lumatkannya akibat sakit, gatal dan geram digigit.
Jadi hati-hati
rakyat Malaysia ada orang geram tengok kita. Kita bukan ajak berperang cuma
mengajak setiap manusia berfikir waras sebagai manusia yang diamanahkan Tuhan
untuk memakmurkan alam ini. Itu saja.
Ya Allah
tetapkanlah hati-hati rakyat Malaysia untuk bersatu atas jalan yang benar. Amin.
Wallahu
a’lam
Che E