Berapa kerap
kita memberi? Adakah kita jenis manusia yang memberi apabila kita betul-betul telah
berada? Adakah kita memberi apabila ada mood atau terpaksa untuk memberi? Atau adakah
kita jenis manusia yang berusaha memberi walaupun keadaan kita lebih layak
menerima daripada memberi?
Apa hebatnya
memberi sehingga ia selalu dicanang orang sebagai satu tabiat yang memberi
kesan luar biasa?
Tidakkah kita
sedar dan rasa nikmat keluar-biasaan memberi selama ini? Jika benar kita tidak
perasan, itu mungkin isyarat kita masih belum banyak memberi.
Pada saat
kita melakukan tabiat memberi ia sebenarnya menyelak pintu rezeki untuk orang
lain. Jika kita beri RM2, maka pintu rezeki orang itu terbuka dan kantung
rezekinya bertambah RM2. Cuba lihat janji Allah SWT jika orang yang menerima itu
bersyukur atas tambahan rezeki RM2 itu.
“Dan (ingatlah juga), tatkala
Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan
menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya
azab-Ku sangat pedih." Ibrahim: 7
Subhanallah!
Benarlah Allah SWT itu Maha Pemurah.
Jadi kita
yang memberi dapat apa? Adakah kantung rezeki kita juga akan terkena tempias tambahan
nikmat yang Allah SWT berikan kepada orang itu jika dia bersyukur?
Setiap anak Adam telah ditentukan rezeki masing-masing. Kita tak perlu bimbang sekelumit pun kerana rezeki kita tidak akan diambil oleh orang lain sejemput pun dan kita juga tidak akan dapat mengambil rezeki orang lain.
Jadi kita
yang memberi dapat apa?
Kenapa perlu
risau sebab rezeki RM2 kita yang kita berikan kepada orang lain itu bukan orang
itu atau manusia yang akan menggantikannya tetapi Allah SWT, Tuhan Maha Pemberi
Rezeki yang gugur setiap helaian daun ke bumi diketahuiNya. Maka apatah lagi
gugurnya RM2 dari kantung rezeki kita atas nama memberi pasti Allah SWT tahu. Bahkan
lebih dasyat lagi Dia tahu niat kita disebalik pemberian RM2 itu.
Jadi kita
yang memberi dapat apa?
Pastinya kita
akan dapat gantian rezeki daripada Allah SWT. Gantian yang Allah SWT berikan
jauh lebih baik. Memberi tidak sama sekali akan mengurangkan rezeki kita bahkan
menambahkannya. Lihatlah janjiNya.
“Bandingan (sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;
tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan
melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas
(rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” Al-Baqarah: 261
Jadi kita tunggu apa lagi. Memberilah. Dengan memberi Allah SWT akan gantikan dengan banyak. Bayangkan jika memberi banyak-banyak, apa kita akan dapat? Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya. Kita pasti akan bahagia dan membahagiakan ramai insan lain. Hidup kita pasti disenangi, dihargai dan dikenangi. Lebih penting diberkati.
Jangan tangguh untuk memberi. Bertangguh memberi bermakna kita
menangguhkan rezeki orang lain. Bimbang-bimbang Allah SWT menangguhkan pula
rezeki kita.
Memberilah sekarang. Bukan sewaktu kita berada. Yang dikira Allah
SWT bukan nilai pemberian kita tetapi berapa banyak kita melakukan pemberian. Jangan
tunggu sehingga terlalu lewat untuk memberi. Ingat pesan Rasulullah SAW
“Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw
lalu bertanya: Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar? Nabi saw
menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika
engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau
bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong,
barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu
dan sekian lagi untuk si anu.” Riwayat Al-Bukhari
Jom berikanlah dengan apa sahaja yang kita ada,
sekarang. Tiada harta, tenaga. Tiada tenaga, senyuman. Tidak mampu lagi untuk
senyum, berikanlah sangka yang baik kepada orang lain.
Setiap muslim wajib bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana
kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bekerja
dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu
bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?"
Nabi menjawab: "Menolong orang yang memerlukan dan yang sedang
teraniaya" Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak
melakukannya?" Nabi menjawab: "Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka
bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi s.a.w.
menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah." Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim
Terima kasih kerana membaca. Semoga ada manfaat.